Banyak Pulak Duit Azwanddin Bayar Saman
Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah memohon maaf kepada P Waythamoorthy atas kenyataan yang dikeluarkannya kepada menteri di jabatan perdana menteri itu dalam satu himpunan pada 25 Disember tahun lalu.
Azwanddin juga setuju untuk membayar ganti rugi sebanyak RM90,000 kepada Waythamoorthy dalam masa 30 hari.
Permohonan maaf itu dibuat di depan Pesuruhjaya Kehakiman Rohani Ismail di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Dalam satu himpunan di Klang pada 25 Disember lalu, Azwanddin ketika berucap menggelarkan Waythamoorthy sebagai 'pariah', satu istilah yang menghina di kalangan masyarakat India.
Dalam himpunan yang diadakan berkenaan kematian anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Azwanddin turut mendesak kerajaan memecat Waythamoorthy.
Susulan itu, Waythamoorthy memfailkan saman fitnah terhadap Azwanddin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Pendengaran saman itu dijadual bermula hari ini tetapi kedua-dua pihak setuju dengan penyelesaian itu sebelum prosiding bermula.
Selain itu, Azwanddin yang merupakan defendan tunggal setuju untuk membuat permohonan maaf yang akan disiarkan di akhbar Berita Harian dan Makkal Osai, serta di laman Facebooknya sendiri.
Dia turut dilarang mengulang semula kenyataan yang digunakan itu di mana-mana media, sama ada bercetak atau atas talian.
Sementara itu, Waythamoorthy yang turut hadir di prosiding itu menerima permohonan maaf Azwanddin.
"Saya fikir isu ini sudah selesai, setelah hampir setahun. Dia telah minta maaf dan setuju dengan tuntutan, maka isu ini selesai," katanya lagi.
Selain Waythamoorthy, Azwanddin juga sebelum ini meminta maaf kepada dua lagi ahli politik, iaitu Liew Chin Tong dan Teresa Kok.
Dalam kes Liew Chin Tong, dia turut perlu membayar RM40,000 kepada timbalan menteri pertahanan itu selepas mendakwa Liew memakai seragam komunis di depan anggota ATM, walaupun ia sebenarnya baju korporat bush jacket yang disediakan kementerian.Berkenaan Teresa pula, Azwanddin membuat permohonan maaf terbuka selepas mengaitkan menteri industri utama itu dengan rusuhan berhampiran Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, 25 Disember lalu.
Malaysiakini
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://bankami.blogspot.com/2019/12/banyak-pulak-duit-azwanddin-bayar-saman.html