Bank Dunia Turunkan Jangkaan Pertumbuhan Ekonomi Malaysia
Kehebatan ekonomi Malaysia yang digembar-gemburkan oleh kerajaan Perikatan Nasional, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang dijangka akan melonjak tinggi pada tahun ini dinafikan oleh Bank Dunia.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bank Dunia dalam laporan yang diterbitkan semalam telah menurunkan 25% unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kerana kurangnya reformasi struktural dan strategi menangani Covid 19 yang tidak berkesan bagi membuka semula ekonomi.
“Kita lihat pemantauan ekonomi yang baru diterbitkan oleh Bank Dunia. Malaysia dalam keadaan lesu. Tidak berkembang.
“Unjuran pertumbuhan yang dibuat dulu semuanya meleset. Malah disebut dikaji semula, turun 25% kerana lemahnya proses reformasi, struktural dan tidak dapat memperbaiki peraturan serta tidak ada pelaburan.
“Sekali lagi bertentangan dari luahan menteri yang menyebut ada potensi dan keupayaan,” katanya dalam siaran Facebook, malam tadi.
Hal demikian, menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, berakibat daripada tidak berjayanya kerajaan Malaysia melaksanakan ujian saringan Covid secara besar-besaran, yang menyebabkan jangkitan kekal tinggi seterusnya menghalang pembukaan sektor ekonomi pada skala penuh.
“Sehingga Ketua Pengarah Kesihatan menyebut harus meningkatkan ujian saringan ke 150,000 sehari. Ini telah disebut bulan Mac yang lalu.
“Tetapi (hakikatnya ujian) turun (naik) 80,000 sehingga 50,000. Padahal angka kes positif menurun ke 4,000 dan 5,000 kerana yang diuji dulu 150,000 sekarang 50,000. Ini satu bentuk kekeliruan dan penipuan kepada rakyat.
“Sebab itu ikut Bank Dunia (strategi pemulihan ekonomi termasuk) keupayaan untuk mengawal (dan) cara membuat ujian saringan serta strategi kenal pasti kawasan yang terlibat. Kerana ini sahaja yang membolehkan kita membuka semula ekonomi
“Kebanyakan orang berfikir tidak bersetuju dengan PKP kerana rajah kes positif. (Hakikatnya wujud) PKP tetapi angka tidak menurun. Maknanya perlu ada kesediaan untuk mengkaji semula. Dengan PKP rakyat terbeban, kes sama. Malah jika kita buat ujian 150,000, saya percaya kes lebih tinggi setelah PKP (jika ujian lebih banyak dilakukan),” kata beliau.
Selain itu, Pengerusi Pakatan Harapan itu turut memaparkan surat terbuka Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang menulis kepada semua Ahli-ahli Parlimen – kerana kerajaan tidak mahu dengar – menyatakan kelemahan-kelemahan dari segi keupayaan negara mengawal Covid. Juga masalah yang menghimpit sektor perubatan dan mengusulkan perlaksanaan pemulihan berdasarkan saiz serta penyelerasan.
Anwar juga mendedahkan luahan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul baru-baru ini, menceritakan bagaimana pejabatnya didatangi oleh orang-orang susah Melayu, Cina dan India yang belum pernah disaksikan sebegitu rupa. Rakyat seolah-olah menggemis untuk mencari kehidupan dan menjaga keluarga mereka.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/32409