Baiknya Hati Mahathir Adakah Ia Macam Baiknya Hati Abang Jamil Dalam Madu Tiga
“Baik betul hati Abang Jamil tu ya Pak,” kata Rohani, anak Pak Ali kepada bapanya.
Sebelum itu Rohani diberikan wang RM50 oleh Jamil untuk dia membawa bapanya ke klinik bagi rawatan sakit yang dialaminya sejak sekian lama.
“Ya, baik,” kata Pak Ali ringkas,
Tetapi, sebaik Rohani berlalu pergi ke biliknya, Pak Ali seraya berkata, “Baik ada makna tu.”
Di atas adalah sebahagian daripada dialog dalam filem Madu Tiga, lakonan Seniman Agung P Ramlee bersama Seniwati Sarimah.
Bermula dengan bantuan RM50 itu, Jamil berjaya membuatkan Rohani terpesona dengannya, lalu kemudian dapat menjadikan anak Pak Ali yang mempersona itu sebagai isterinya yang ketiga.
Kata kuncinya – bantu.
Dalam perlembangan politik semasa, Tun Mahathir Mohamad juga dilaporkan mahu membantu Anwar Ibrahim mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Tetapi, bantuan itu mestilah dengan syarat meletakkan dirinya sekali lagi sebagai Perdana Menteri terlebih dahulu.
Kata Tun Mahathir, Anwar tidak mempunyai sokongan yang cukup dan beliau mahu membantu Presiden PKR itu mencapai cita-citanya.
“Terdapat pihak yang menentang keras jika dia dicalonkan sebagai Perdana Menteri, mereka tidak akan sokongnya.
“Dan kita perlukan sokongan daripada parti kerajaan supaya mempunyai majoriti yang cukup.
“Saya bimbang dia tak dapat majoriti cukup jika bergantung pada dia seorang.
“Saya hendak bantu dia,” kata Tun Mahathir dalam wawancara dengan media Hong Kong, Asia Times.
Kononnya dengan menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga selama enam bulan terlebih dahulu, Tun Mahathir akan dapat membantu Anwar menjadi Perdana Menteri dengan janji akan melakukan peralihan kuasa kepadanya selepas itu.
Kata kuncinya juga sama – bantu.
Jamil mengumpan bantuan kewangan RM50 kepada Rohani untuk tujuan memikat dan menjadikan gadis yang tiba-tiba beliau jatuh cinta itu sebagai isterinya, walaupun ketika itu beliau sudah ada dua isteri, manakala Tun Mahathir yang sudah dua kali jadi Perdana Menteri juga cuba mengumpan Anwar dengan bantuan ingin merealisasikan cita-cita Anwar menjadi Perdana Menteri.
Amboiii…baiknya hati Tun Mahathir, sama macam baiknya hati Abang Jamil kepada Rohani, anak Pak Ali.
Dah tua-tua dan sudah dua kali menjadi Perdana Menteri pun masih ada perasaan mahu membantu Anwar lagi jadi Perdana Menteri.
Tetapi, bolehkah janji membantu Anwar oleh Tun Mahathir itu dipercayai atau ia seperti bantuan RM50 oleh Jamil kepada Rohani untuk mengubati sakit bapanya, Pak Ali?
Selepas berjaya menjadi Perdana Menteri, meski dengan janji hanya enam bulan, apakah selepas itu Tun Mahathir benar-benar akan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar?
Satu lagi musykilnya, kalau betul beliau ingin membantu Anwar, mengapa setelah Anwar menolak untuk bekerjasama dengannya, Pengerusi Bersatu terpecat itu masih tetap mahu menjadi Perdana Menteri melalui jalan lain bersama DAP dan Amanah?
Ini bantu seikhlas hati atau bantu ada makna macam Abang Jamil? (Shahbudindotcom 26/06/2020)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wrlr.blogspot.com/2020/06/baiknya-hati-mahathiradakah-ia-macam.html