Bahaya Kencing Kotor Ketahui Risiko Punca Langkah Berjaga Jaga
Bahaya Kencing Kotor, Ketahui Risiko, Punca & Langkah Berjaga-Jaga
Umum mengetahui bahawa kehamilan merupakan satu fasa yang penting bagi seorang wanita kerana ia membawa pelbagai perubahan, baik dari segi fizikal, emosi mahupun kesihatan.
Dalam tempoh ini, sistem tubuh bakal ibu akan bekerja dengan lebih keras untuk menyokong perkembangan. Ini juga akan menyebabkan wanita hamil lebih terdedah kepada banyak masalah kesihatan.
Antara masalah yang sering berlaku ialah masalah air kencing kotor atau jangkitan pada bahagian salur kencing. Biasanya masalah ini berlaku disebabkan oleh perubahan hormon dalam tubuh.
Malah, jika tidak dirawat dengan lebih awal, masalah ini turut menjejaskan kesihatan ibu dan turut memberi kesan kepada kandungan.
Untuk mengetahui lebih info mengenai masalah ini, ikuti perkongsian dari Hello Doktor di bawah ini.
Kencing kotor lazim dialami wanita
Apabila kita berbicara tentang kencing kotor, pasti anda akan terbayangkan air kencing keruh umpama air teh dan berkeladak. Hakikatnya, bukan semua Individu yang mengalami masalah kencing kotor dapat didiagnosis daripada rupa air kencing mereka.
Jangkitan kuman pada saluran kencing (UTI) merupakan masalah kesihatan yang lazim dialami oleh golongan wanita. Pada kebanyakan kes, jangkitan ini disebabkan oleh bakteria, namun ada juga yang disebabkan oleh kulat atau virus meskipun ia jarang berlaku.
Saluran kencing melibatkan organ buah pinggang, salur ureter (menghubungkan buah pinggang ke pundi kencing), pundi kencing dan salur urethra (saluran yang membawa keluar air kencing).
Kebanyakan UTI yang berlaku hanya melibatkan salur urethra dan pundi kencing. Jika jangkitan tersebut berlaku pada organ buah pinggang atau salur ureter, kebiasaannya individu tersebut akan mengalami simptom yang lebih teruk.
BACA: Bahaya Kudis Api, Ibu Bapa Wajib Tahu Punca & Cara Rawatan
Mengapa wanita lebih berisiko
Salur urethra wanita lebih pendek berbanding dengan lelaki
Kedudukan salur urethra wanita yang berdekatan dengan vagina dan anu, memudahkan kuman merebak
Penggunaan pelbagai jenis produk kontraseptif seperti spermisida (pembunuh sperma) menyebabkan populasi bakteria baik pada faraj berubah
Wanita menopaus mengalami perubahan hormon
Kencing kotor semasa mengandung
Kencing kotor semasa mengandung memang boleh mendatangkan risiko bahaya. kepada ibu dan janin di dalam kandungan. Namun, pernah tak anda terfikir, kenapa wanita hamil lebih berisiko kencing kotor semasa hamil 37 minggu?
Perubahan hormon yang berlaku ketika hamil bukan sahaja boleh memberikan kesan positif kepada janin untuk membesar, ia juga boleh menyebabkan kekuatan otot salur ureter dan pundi kencing bertambah renggang.
Apabila rahim mula membesar, ia berupaya untuk menyekat lebih banyak air kencing. Ditambah pula dengan kelemahan otot pundi kencing untuk menolak air kencing keluar, ia boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kuman.
Faktor-faktor lain seperti peningkatan tahap keasidan air kencing dan gula yang terdapat di dalamnya berikutan perubahan hormon yang berlaku menjadikan wanita hamil mudah untuk didiagnosis dengan masalah kencing kotor.
Tanpa rawatan, jangkitan tersebut boleh menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan keradangan pada organ buah pinggang.
Apabila sudah sampai ke tahap itu, kuman yang terdapat pada sistem salur kencing wanita hamil mudah untuk bergerak masuk ke dalam aliran darah.
Jika tidak dirawat dengan serta merta, ibu yang mengalami kencing kotor semasa mengandung boleh mati.
Jadi, adakah anda enggan menjalani ujian air kencing seperti yang dipinta oleh doktor hanya kerana anda rasa prosedur tersebut menyusahkan dan anda tidak mengalami sebarang tanda kencing kotor semasa hamil?
Ketahuilah bahawa kencing kotor tidak selalunya didiagnosis pada mereka yang mempunyai air kencing yang keruh atau berkeladak. Mereka yang mempunyai masalah kencing kotor semasa mengandung kebiasaannya akan mengalami simptom seperti:
Rasa terbakar sewaktu kencing
Darah di dalam air kencing
Air kencing keruh
Kerap kencing ketika hamil trimester 3 walaupun hanya sedikit urin yang keluar
Tidak dapat menahan kencing
BACA: Sering Minum Kopi, Ini 5 Tip Pastikan Anda Kekal Sihat
Jika seseorang itu mengalami jangkitan pada buah pinggang, antara tanda kencing kotor semasa hamil yang akan dialami adalah:
Demam
Loya
Muntah
Sejuk menggigil
Sakit pada bahagian belakang badan, di bawah rusuk
Ambil langkah berjaga-jaga
Ujian saringan yang dilakukan oleh doktor merupakan satu keperluan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi kencing kotor seperti jangkitan buah pinggang. Jika anda disahkan positif jangkitan, cara hilangkan kencing kotor dengan cepat adalah dengan memberikan antibiotik dengan serta merta.
Doktor akan menentukan jenis antibiotik yang selamat dimakan oleh anda mengikut kepada keperluan semasa. Jika anda hamil, sudah semestinya antibiotik yang diberikan tidak akan menyebabkan komplikasi kepada anda mahupun anak di dalam kandungan.
Bagaimana pula dengan mereka yang tidak dijangkiti? Anda boleh mencuba tip berikut untuk mengelakkan berlakunya tanda kencing kotor semasa hamil:
Minum air mengikut kadar saranan harian (6-8 gelas) atau seperti yang dipreskripsikan oleh doktor anda.
Jangan bertangguh untuk membuang air kecil kerana ia boleh menyebabkan lebih banyak bakteria membiak di dalam pundi kencing.
Selepas membuang air kecil, pastikan anda mengelap kemaluan dari depan ke belakang. la boleh meminimumkan risiko bakteria untuk merebak dari kawasan punggung ke faraj.
Pakai pakaian dalam yang longgar dan diperbuat daripada kapas.
Tukar tuala wanita atau seluar dalam dengan lebih kerap.
Elakkan daripada mengambil minuman bergula atau berkafein.
Konklusi
Kencing kotor semasa mengandung lazim dialami oleh wanita hamil. Pemeriksaan awal oleh doktor penting bagi memastikan komplikasi kencing kotor dapat dielakkan.
Jika anda mengalami tanda kencing kotor semasa hamil seperti yang tersenarai di atas, pastikan anda mendapatkan khidmat nasihat dan pemeriksaan kesihatan daripada doktor.
BACA: Jangan Ambil Ringan, Ini Kesan Kepada Tubuh Badan Jika Kurang Minum Air
Sumber: Hello Doktor
The post Bahaya Kencing Kotor, Ketahui Risiko, Punca & Langkah Berjaga-Jaga appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/16/bahaya-kencing-kotor-ketahui-risiko-punca-langkah-berjaga-jaga/