Bagaimana Ujian Hidup Meningkatkan Kebergantungan Kepada Tuhan
Seringkali kita mendengar keluhan demi keluhan tentang masalah yang berlaku dalam hidup. Tentang kerjaya, bila akan dapat kerja. Tentang perjalanan menuntut ilmu, berjayakah untuk menamatkannya. Tentang hubungan dengan pasangan, adakah akan berakhir dengan kebahagiaan. Adakah berbaloi usaha yang telah dilakukan? Terlalu banyak tanda tanya dan ketidakpastian yang timbul di benak kita.
Semua hal yang disebutkan ini kadang-kadang menimbulkan keresahan di jiwa. Mengapa? Kerana kita terlalu menumpukan perhatian kepada hasil dan cerita di penghujungnya.
Adakah dengan mengetahui jalan cerita kita mampu mengubah segalanya? Atau apa yang perlu difahami di sebalik sebuah ujian sebenarnya tentang bagaimana Tuhan ingin memandu hati kita. Tuhan ingin menunjukkan cara bagaimana untuk menguruskan cabaran tersebut.
Setiap Kesukaran Yang Dilalui Akan Berharga Di Sisi Tuhan
Kita menyangka apabila satu masalah telah pergi dari hidup, pasti kita akan bahagia. Tetapi tidak sebenarnya. Setelah selesai satu masalah, akan datang pula masalah dan cabaran yang lain. Ia datang silih berganti. Proses yang sama akan berulang.
Maka tahulah kita bahawa kebahagiaan di dunia ini bukanlah satu destinasi, tetapi ia terselit dicelah-celah cabaran, kekecewaan, tangisan, kekuatan dan jalan yang kita tempuh setiap hari.
Itulah hakikat yang perlu kita fahami- bahawa hidup ini jadi lebih berwarna dengan segala macam cerita. Kebahagian yang kita cari pula ada di antaranya.
“Dan berserahlah kepada Allah (dan janganlah menumpukan harapanmu kepada yang lain), kerana cukuplah Allah menjadi pentadbir urusanmu”
(Surah Al-Ahzab 33:3)
Mari sejenak kita berfikir tentang perjalanan yang sedang kita tempuh, tentang usaha yang diletakkan, tentang kesungguhan yang kita tunjukkan. Pasti setiap satunya dinilai tinggi di sisi Tuhan.
Tinggi rendah tahap iman bukanlah tanda besar kecil cabaran dan ujian yang akan diterima. Usahlah melontarkan kata-kata seperti- “Allah menguji kerana Allah membencimu’ atau ‘Allah menguji kerana dosa yang engkau lakukan’. Nabi Yusuf antara Nabi yang banyak sekali diuji sejak baginda kecil. Adakah itu tanda bahawa imannya lemah atau dosanya banyak? Tentu sekali tidak!
Hakikat Cabaran
Jika kita renung sedalam-dalamnya pasti kita akan menyedari bahawa setiap ujian yang didatangkan Allah dalam hidup kita bukanlah suatu yang sia-sia. Allah Maha Merancang maka pasti setiap perkara yang berlaku juga sudah dirancang dengan rapi.
Kata Mufti Menk, Allah tidak akan membenarkan sesuatu terjadi dalam hidup tanpa alasan dan sebab . Setiap ujian punya tujuan untuk kita mempelajari sesuatu, untuk kita berkembang menjadi seorang manusia yang lebih baik.
“Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”
(Surah At-Taghabun 64:11)
Hakikatnya, setiap ujian yang Allah berikan adalah untuk membawa diri kita lebih dekat denganNya. Allah ingin memberikan kebaikan berupa hidayah dan panduan kepada hati yang sedang diuji. Dan itulah ganjaran terbaik dan paling berharga- hati yang dipandu olehNya.
Sumber: Tazkirah.net
The post Bagaimana Ujian Hidup Meningkatkan Kebergantungan Kepada Tuhan appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/bagaimana-ujian-hidup-meningkatkan-kebergantungan-kepada-tuhan/