Bad Indigo Perlukan Wang Tak Kisah Dapat Bantuan Asnaf
Anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdulah atau Bad, 46, mengakui memerlukan wang yang banyak untuk proses rawatan selepas semua jari kaki kirinya dipotong akibat diabetes, September lalu.
Bad ketika dihubungi berkata, dia perlu ke klinik untuk proses mencuci luka dengan bayaran RM35 setiap kali rawatan.
"Saya terpaksa lakukannya di klinik swasta kerana di klinik kerajaan terpaksa tunggu lama sedangkan saya memang tak larat untuk berbuat begitu," katanya.
Bad berkata, proses mencuci luka itu perlu dilakukan selang sehari dan setiap minggu dia perlu memperuntukkan kira-kira RM140.
"Ia sesuatu yang sukar sedangkan saya tiada cara lagi untuk dapatkan wang kerana sudah setahun hilang pendapatan," katanya kepada Harian Metro.
Bad berkata, dalam keadaan sekarang memang sukar untuk dia bekerja.
Pekerjaan saya dulu pun dalam pengendalian acara. Apabila berlaku penularan Covid-19, tiada acara dapat diadakan.
"Kalau ada pun, saya tak boleh bergerak. Satu lagi kepakaran saya ialah buat kertas kerja acara untuk orang, tapi malangnya acara pun tiada sekarang," katanya.
Menurutnya, untuk menjual makanan pula dia tidak mempunyai kepakaran memasak, manakala untuk membuat ulasan berbayar dia tidak mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.
"Saya juga minta tolong keluarga seperti kakak apa yang boleh dibantu. Mak pun banyak bantu dari segi kewangan. Siapa yang nak susahkan emak dan adik-beradik tapi dah terpaksa. Dah tiada cara lain.
"Isteri saya, Ashira sebelum ini pernah menyanyi di platform MICO. Mula-mula okey tapi lama-kelamaan banyak syarat menyusahkan dan terpaksa berhenti," katanya.
Bad berkata, Ashira boleh menjana pendapatan kira-kira RM1,000 hingga RM1,200 sebulan ketika itu.
"Sekarang memang dah tiada langsung. Syukur buat masa ini kami tidak putus makanan lagi. Saya harap sangat ada kerja untuk cari pendapatan.
"Selepas ini saya bercadang untuk minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sekurang-kurangnya dapatlah RM300 sebulan. Saya pun tak kisah jika dapat bantuan asnaf kerana sangat memerlukan wang," katanya.
Bad berkata, dia kini bergantung kepada pengeluaran wang skim i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menampung kehidupan.
"Ia cuma untuk lima bulan saja. Lepas itu entahlah, harapnya ada lagi sambungan. Wang itulah saya gunakan tanggung anak-anak, nafkah isteri dan membayar bil rawatan. Nasib baik untuk rawatan hospital saya dapat kad OKU (Orang Kelainan Upaya) dalam sebulan, kira okeylah.
"Sebelum itu saya kena bayar ribuan ringgit. Untuk proses potong sepenuhnya jari kiri kaki saya di PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) tiga minggu lalu pun dibiayai sepenuhnya untuk pembedahan. "Namun saya kena bergerak menggunakan perkhidmatan Grab untuk rawatan susulan. Status OKU banyak membantu saya," katanya.
Pembedahan itu juga membuatkan pergerakan Bad terbatas dan terpaksa menggunakan 'walker' kerana tidak boleh memijak lantai.
"Setengah tapak kaki kiri dipotong dan sebahagian kulit tapak kaki ditolak ke atas dan dijahit, tapi lukanya terbuka. Itu yang sakit apabila memijak. Bila daging naik dan sebati dengan kulit baru okey.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://artismeletop.blogspot.com/2021/10/bad-indigo-perlukan-wang-tak-kisah.html