Asri Ajak Berdoa Hal Itu Terjadi Dan Negara Ini Diselamatkan
MALAYSIAKINI 
Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyarankan tokoh politik  berwibawa di dalam dan luar kerajaan dibawa bekerjasama untuk  "menyelamatkan negara".
Dakwa beliau rakyat hari ini mendapati  pentadbiran kerajaan "banyak tersangkut" manakala majoriti rakyat pula  bimbang terhadap identiti negara yang terancam.
"Di sana sini rakyat merasai satu perjalanan pemerintahan yang tersangkut.
"Banyak  isu yang tidak dapat diselesaikan dengan cara yang sewajarnya. Majoriti  rakyat merasai bimbang dengan identiti negara yang seakan cuba  dicarik-carikkan," katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.
Kenyataan  itu dimuat naik Mohd Asri ketika iklim politik negara sedang dibayangi  khabar mengaitkan Umno dan PAS akan bekerjasama dengan Bersatu untuk  membentuk kerajaan baru.
Menurut teori berkenaan, jika ia menjadi kenyataan, dua parti komponen PH - DAP dan Amanah - akan kembali menjadi pembangkang.
Untuk  rekod PAS memang sejak beberapa tahun lalu cuba meminggirkan DAP dan  Amanah daripada pakatan yang dicadangkannya, manakala Mohd Asri pula  menjadi antara pengkritik lantang kepada beberapa pemimpin kedua-dua  parti terbabit.
Menurut Mohd Asri dalam keadaan sekarang satu  pembentukan kabinet diperlukan dengan membabitkan gabungan ahli parlimen  tertentu - yang didakwanya lebih dapat memelihara identiti dan  perlembangaan negara, berintegriti, berwawasan, mengukuhkan ekonomi,  menghormati Islam dan institusi asas negara.
Tak mahu pemerintahan korupsi
Dalam  kenyataan itu beliau turut menyatakan ciri-ciri lain yang diperlukan  untuk membentuk kabinet tersebut, iaitu menyelamatkan negara dari  provokasi perkauman yang membimbangkan, bebas daripada pemikiran  liberalisme melampau, bebas dari korupsi, tidak menjadi alat kepada  pihak anti-Islam, mempunyai pendekatan Islam yang sederhana dan luas  konsepnya.
"Tokoh-tokoh politik berwibawa dalam kerajaan dan luar  kerajaan perlu berkerjasama membentuk gabungan yang lebih menyelamatkan  keadaan, meyakinkan dan membangunkan negara atas landasan diterima oleh  majoriti rakyat.
"Marilah kita mendoakan agar hal itu terjadi dan negara ini diselamatkan," katanya.

Esok,  Umno dilaporkan bakal memuktamadkan keputusan sama ada akan bekerjasama  dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan campuran atau sebaliknya.
Malaysiakini difahamkan ada dua mesyuarat Umno berlangsung untuk membincangkan perkara itu.
"Jika tiada bantahan daripada Majlis Tertinggi (MT), kerjasama itu nampaknya akan menjadi kenyataan.
"Esok  sebelah pagi akan berlangsung mesyuarat jawatankuasa politik, manakala  sebelah petang MT Umno dijangka akan membuat keputusan mengenai perkara  itu," kata sumber dalaman Umno hari ini.

Lokman Noor AdamSpekulasi  mengenai kerajaan campuran membabitkan Bersatu, Umno dan PAS tercetus 3  Feb lalu apabila anggota Majis Tertinggi Umno, Lokman Noor Adam,  mendedahkan mengenai perkara itu.
Lokman tampil membidas  presidennya sendiri, Ahmad Zahid Hamidi yang didakwanya mahu bekerjasama  dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Dalam pada itu Asri  berkata negara memerlukan iklim baru apabila perkauman semakin  menjadi-jadi dan ekonomi negara berada pada tahap yang merungsingkan.
"Perkembangan ekonomi yang semakin sukar dan merunsingkan. Keyakinan terhadap hala tuju pemerintahan yang makin terhakis.
"Dalam  masa yang sama, tidaklah rakyat mahu hidup di bawah pemerintahan yang  penuh korupsi dan penyalahgunaan kuasa. Tidak juga mahu negara jatuh ke  tangan mereka yang boleh menjadi alat kepada pihak yang anti-Islam,"  katanya lagi.
Pun begitu, kata Asri, kerjasama itu tidak boleh menjadikan Malaysia negara yang radikal pendirian Islam dan kaumnya.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/asri-ajak-berdoa-hal-itu-terjadi-dan.html