Apa Hebatnya Khairy Jamaluddin Nih Atau Pernah Menjadi Utusan Suatu Ketika Dahulu Dizaman Pak Lah Menjadi Pm
WARNA WARNI KJ
DENGAN ANWAR, SIAPA UNTUNG JIKA BELIAU DIBERI JAWATAN?
Di sebalik riuh rendah orang
ramai bercakap mengenai kehadiran Khairy Jamaluddin dalam perjumpaan bersama
beberapa ahli ekonomi dengan Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu, yang lebih banyak
diperkatakan akhirnya ialah apa akan jadi kepada bekas Menteri Kesihatan itu
selepas ini?
Ada yang mengatakan beliau akan diberi jawatan menteri dalam
tempoh terdekat ini.
Yang lain menyatakan Khairy atau KJ akan dijadikan sebagai
penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri.
Ada pula menyebut bekas Ketua
Pemuda UMNO yang dipecat daripada parti itu, dengan jawatan dalam kerajaan
diberikan lebih dulu kepadanya, selepas ini akan menyertai PKR untuk meneruskan
perjuangannya.
Aspek ilmu ekonomi dan memulihkan keadaan negara yang mampu
disumbangkannya hampir tidak dipedulikan sama sekali.
Yang lebih diperkirakan, jawatan apa dan apa jadi kepada masa
depannya selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri itu.
Soalnya, apakah Anwar turut memikirkan ke arah itu dan memang
itu tujuan beliau menjemput KJ bertemu dengannya bersama sekumpulan ahli ekonomi,
baru-baru ini?
Ternampak ramai yang teruja dengan jemputan Anwar terhadap KJ
itu, termasuk ada penyokong PKR yang mengatakan jika menantu Tun Abdullah
Badawi itu memilih bersama dalam kerajaan perpaduan, ia adalah suatu tamparan
kepada PN yang lebih dulu cuba memikat bekas Ahli Parlimen Rembau itu sebelum
ini.
Kata mereka lagi, dengan KJ
memilih bersama kerajaan perpaduan juga, PN dijangka lebih awal tersungkur sama
ada untuk menawan Selangor atau Negeri Sembilan dalam PRN akan datang ini.
Menyelak kembali sejarah masa lalu, hubungan Anwar dengan KJ
sebenarnya bukanlah baru, walaupun hubungan mereka ada warna warninya yang
tersendiri.
Lama sebelum menceburi dunia politik, KJ dikatakan sebagai
peminat Anwar sejak beliau belajar di luar negara lagi.
Ketika Anwar dibebaskan daripada penjara pada 2004 melalui
keputusan Mahkamah Persekutuan yang mendapatinya tidak bersalah dalam kes Liwat
1, KJ yang ketika itu merupakan menantu Tun Abdullah Badawi telah berkunjung ke
rumah Anwar di Bukit Damansara berkaitan urusan passport yang dipohon agar
dipercepatkan.
Ia bagi tujuan untuk Anwar segera menjalani rawatan tulang
belakang di Jerman selepas pembebasannya itu.
Sejak itu, selain peranannya mengetuai apa yang disebut sebagai
Budak-Budak Tingkat 4 menjadi bualan, nama KJ terus hangat diperkatakan
berhubung pengaruhnya dalam kerajaan, sambil beliau sendiri terus meniti tangga
demi tangga dalam karier politiknya bersama UMNO
Dalam kempen PRU 2008 di mana dalam sebuah ceramah di Lembah
Pantai, beliau didapati mengungkapkan perkataan “main belakang” serta
menggambarkan Anwar sebagai tidak bermoral, KJ telah disaman fitnah oleh Anwar.
Saman itu diputuskan pada 2017 oleh Mahkamah Tinggi di mana KJ
didapati bersalah dan diarah membayar RM210 ribu kepada Anwar.
Mahkamah Rayuan pada 2018
kemudiannya juga mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Sehinggalah pada 2022 di mana KJ sendiri menarik balik rayuannya
di Mahkamah Persekutuan, maka kekallah Anwar sebagai pemenang dalam kes saman
itu.
Selepas kekalahan BN pada PRU
2018, KJ yang hilang jawatan menteri ketika itu sekali lagi
menjadi bualan apabila beliau dilihat minum-minum bersama anak sulung Anwar,
Nurul Izzah dan Rafizi Ramli di Bangsar.
Perjumpaan mereka itu juga mencetuskan spekulasi kemungkinan
ketiga-tiga menubuhkan sebuah parti baru, tambahan lagi Rafizi dan Nurul Izzah
ketika terketepi dalam pentadbiran kerajaan PH yang dikuasai Tun Mahathir
Mohamad.
Bagaimanapun, semua itu tidak menjadi kenyataan di mana KJ
akhirnya kekal bersama UMNO, manakala Rafizi dan Nurul Izzah tetap setia
bersama PKR.
KJ pula selepas Langkah Sheraton pada 2020 turut beroleh jawatan
menteri, bermula di era Mahiaddin Md Yasin dan kemudian di bawah Ismail Sabri
Yaakob.
Selepas kalah di Sungai Buloh pada PRU15 dan dipecat daripada
UMNO kerana dilihat sebagai ancaman kepada Zahid Hamidi, seterusnya menjadi
penyampai radio Hotfm dan mempopularkan dirinya melalui podcast Keluar Sekejap
dengan mengulas pelbagai isu semasa dalam negara, KJ pada hakikatnya tidak
membiarkan dirinya tenggelam dalam arus politik negara.
Lantaran ada harga pada dirinya, beliau cuba dipikat oleh
Bersatu dan PN untuk menyertai parti itu dengan dijanjikan sebagai calon dalam
PRN akan datang.
Walau bertemu beberapa kali
dengan Mahiaddin, tetapi KJ tidak membuat sebarang keputusan, sehinggalah
beliau dijemput pada Jumaat lalu untuk berbincang mengenai hala tuju ekonomi
negara bersama sejumlah ahli ekonomi dan turut disertai bekas Menteri Kewangan
Kedua, Johari Ghani.
Susulan perjumpaan tersebut dan spekulasi mengenai dirinya, Mahiaddin
dilaporkan akan bertemu KJ sekali lagi minggu depan untuk memuktamadkan tawaran
kepadanya.
Ada khabar menyebut, Mahiaddin mungkin menawarkan KJ sesuatu
yang sukar ditolak iaitu bertanding di Selangor, seterusnya ditonjolkan sebagai
calon Menteri Besar bagi PN dalam usaha mereka menawan negeri itu.
Pokoknya, terutama selepas berjumpa Anwar Jumaat lalu, harga KJ
semakin mahal sekarang ini dan PH serta PN seolah-olah saling berebut dirinya.
Apa pilihan KJ?
Bersama Anwar dan kerajaan perpaduan atau bersama Mahiaddin dan
PN?
Apa pun pilihan KJ akhirnya, keputusannya tentulah yang
memungkinkan mampu memberi lorong lebih baik kepada masa depannya dalam
politik.
Kalau Anwar lebih memberi untung, maka itulah pilihan KJ dan
sekiranya dengan bersama Mahiaddin pula dirasakan membawa lebih untung, maka
bersama Mahiaddinlah pilihan beliau akhirnya.
Di waktu yang sama, baik Anwar atau Mahiaddin, kecenderungan
mereka untuk menarik KJ tentulah turut kerana merasakan ada manfaat yang boleh
diperolehi dan dipergunakan daripada watak bekas Menteri Kesihatan itu.
Cuma, kita sebagai rakyat dan pengundi biasa – apa untungnya
kita daripada mana-mana pilihan KJ itu? – ShahbudinHusin 18/06/2023.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2023/06/iry-jamaluddin-nih-atau-pernah-menjadi.html