Antara Hadi Dan Anwar Mahathir Lebih Percaya Siapa
SELEPAS SUBUH
Pertemuan terbaharu Hadi dengan Mahathir.WALAUPUN parti agama (Pas) sering mengubah sikap dan pendirian mereka dan pemimpinnya selalu buat u-turn dengan tiba-tiba atau bersifat macam ikan keli dalam besen, tetapi perubahan sikap terbaharu kini sedikit mengejutkan. Ada yang meroyan dan kebingungan serta skeptikal dengan perangai Pas.
Perkembangan terbahru Pas kini menjadikan mereka cetak ilmu siasah, yang tidak dapat membaca tohor atau dalam anak sungai politik Pas terus digodam kebingungan.
Wahyu atau waridat apa pula yang singgah dalam minda pemimpin nombor satu parti itu. Apakah perjuangan Pas digerakkan berdasarkan mimpi? Atau Rasulullah ada memberi alamat agar Pas menyokong Mahathir. Sebelum ini Abdul Hadi pernah dilaporkan bermimpi dengan Rasulullah. Aik..macam arawak Ustaz Ashaari pula.
Sikap dan perubahan itu ialah pengakuan Pas menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri. Sokongan ini dinyatakan ketika presiden parti itu Abdul Hadi Awang bersama MB Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berjumpa dengan PM itu Jumaat lepas.
Sokongan ini tidak dinyatakan secara terbuka. Ia terdedah apabila Mahathir memberi tahu khayalak bahawa Pas akan menyokong calon PH di Pirake N 24 DUN Semenyih. Menurut Mahathir sokongan itu bukan secara lisan, tetapi ada dokumen yang ditanda tangani.Pendedahan Mahathir itu menjungkitkan punggung ahli Pas. Kerana bimbang ahli Pas yang alergik dengan Mahathir, menyebabkan Pas cepat-cepat meralatkan alias menafikan dakwaan Mahathir itu, kononnya ia terkhilaf atau dalam bahasa sekarang diambil dari luar konteks.
Menurut Hadi kemudian dihuraikan pula oleh para pemimpin Pas, (termasuk pemimpin ikan belacak), mereka tidak berkata demikian tetapi menyokong Mahathir secara bersyarat. Syarat ialah sehingga pilihan raya ke 15. Ertinya selepas itu Pas akan menentang Mahathir? Sementara Takiyuddin pula menjelaskan bukan surat yang diserahkan tetapi sekadar deraf yang diserahkan kepada Mahathir.
(Sekiranya deraf bermakna ada maksud Pas untuk menyokong Dr Mahathir secara konkrit bertanda tangani, sekiranya Mahathir menerimanya nanti?).
Maslahat ummah.
Antara Anwar dan Hadi, Mahathir lebih percaya siapa?Untuk menjutifikasikan sokongan itu Pas seperti biasa mengambil pendekatan agama untuk menghalalkan sokongan itu.
Kononnya Pas menyokong kepimpinan Mahathir itu demi maslahat ummah. Menyedari penyatuan ummah dan bangsa kini tergugat. Hal dan alasan itulah juga digunaipakai oleh Pas semasa mereka "bersedondon" dengan Najib "ritu". Ritu itu bermakna dahulu.
Walaupun meralatkan apa didedah Mahathir dan mencari hujah menghalalkan perjumpaan dan tujuannya, namun umum faham kenapa tiba-tiba Pas mengambil langkah berdamai dan bertepuk belakang menjamah punggung dengan Mahathir itu. Kata orang jika tidak ada mengada, tempua tidak akan bersarang rendah. Ada asap adalah apinya. Jika tidak senak perut masakan berlari ke jamban?
Masalah Pas.
Ada beberapa isu atau masalah yang kini dihadapi Pas menyebabkan parti gemulah chek itu terpaksa menyemak prinsipnya. Antaranya ia ada sangkut paut dengan kepekaan SPRM yang mula menyiasat para pemimpin Pas berkaitan isu RM90 juta. Ekoran tindakan SPRM itu menyebabkan orang berspekulasi kunjungan pemimpin Pas terhadap Mahathir itu untuk mencari suaka politik daripada Mahathir.
Selain itu mungkin juga setelah Pas menginsafi langkah mereka berbaik dengan Najib Razak sebelum ini silap. Dengan kekalahan BN, Pas mengira mereka tidak lagi boleh berharap kepada Najib. Pendedahan dibuat oleh Lim Guan Eng mengenai berbagai salah laku, jenayah dan skandal membabitkan Najib dan Zahid Hamidi sehingga mereka didakwa dengan puluhan dakwaan, menyebabkan Pas baru tersedar dari mimpi indah bersama mereka.
Kita tidak mahu mengatakan kanta politik Pas tidak berubah mengikut edaran zaman. Yang pastinya Pas masih mengguna kanta mata konsevartif. Tetapi yang jelas itulah yang berlaku kepada Pas, sentiasa lambat, salah pilih dan ketinggalan bas. Ibarat untuk menunaikan Haji, Pas masih menggunakan laluan laut dan kapal layar. tertinggal jauh dengan orang yang menggunakan jalan udara menaiki kapal terbang maupun jet.
Motif dan strategi.
Sebenarnya langkah Hadi menemui Mahathir itu berserampang dua mata. Ia bukan sahaja untuk menyokong atas dasar maslahat ummah tetapi ada maksud lain. Bagi mereka yang dapat membaca kilau dalam kilat politik parti itu serta tahu history Pas mudah memahaminya. Langkah Pas mempertahankan Mahathir itu ialah untuk menafikan Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri. Itu mauduk dan motif siasahnya.
Hakikat ini semakin nyata apabila Pas membawa cerita yang kerajaan PH kini sedang diancam dari dalam. Dengan mengambil kiasan Mahathir yang menyebut PH bermasalah, ditariknya dengan memberi maksud Mahathir diancam Anwar. Turutan itu berbagai cerita dan hujah direyasa oleh Pas untuk menggoda Mahathir sekaligus menghalalkan tindakannya. Dalam masa sama memberi persepsi yang Anwar jahat.
Tujuan lain kerana untuk mengatasi masalah kewangan Terengganu. Tidak ada masalah kalau Hadi atau mana-mana pemimpin Pas mengetuk pintu pejabat PM untuk mengharap baksis kerana ia dihalalkan mengikut semangat federalisme. Tetapi kalau ia datang untuk menyuntik jarum merosakkan hubungan baik PH, ia satu perbuatan jahat. Celaka.
Dengan menerima kedatangan itu untuk mengganggu agenda Mahathir dan Anwar melakukan transisi kepimpinan PH, jelas nampak sokongan peribadi Pas kepada Mahathir itu tidak ikhlas dan bernaiwatu jahat.
Kalau Pas benar-benar menzahirkan sokongan kepada Mahathir atas maslahat ummah kenapa tidak bersama Anwar sekali. Apakah jaminan dan keistimewaan Mahhathir dalam soal ini kepada Pas? Sejauh manakah komitmen itu ada kepada Mahathir. Malahan sejarah menunjukkan Pas lebih serasi dengan pemikiran Islamisasi Anwar berbanding pemikiran Islam Mahathir. Anwar pernah dibayangkan akan mengambil alih kepimpinan Pas suatu masa dahulu.
Dari sisi chemistry pula Pas bermusuhan dan berbalah dengan Mahathir lebih awal berbanding dengan Anwar. Malahan selama lebih dua dekad, Pas bersama Anwar. Di zaman Allahyarham Mohd Fadzil Nor menjadi presiden, selamanya Pas bersama Anwar. Paslah yang mempertahankan Anwar. Pas mula menjauhi dan curigai kepada Anwar apabila ia dipimpin oleh Hadi. Kenapa? Orang mungkin terlupa untuk mengkaji ini.
Dalam game sekarang, Pas cuba mendekati dan mengambil hati Dr Mahathir dengan harapan menghalang Anwar. Dasar dan polisi kerajaan PH yang bersikap lunak terbuka terhadap royalti di Terengganu dijadikan alasan Mahathir sudah berubah, maka PM itu perlu diskong.
Pas sebenarnya "laghra" - tidak sedar perubahan pendekatan kerajaan kedua Mahathir itu adalah manifestasi kepadaa dasar dan polisi kerajaan PH yang juga diungguli Anwar Ibrahim berkonsepkan dan semangat Reformasi yang dicetusnya.
Sebagai tokoh mursyid, Mahathir menyedari akan tektik Pas yang bertanam tebu dibibir dengannya itu. Mahathir bukan pandir untuk memahami permaian politik Pas, khususnya golongan "fakuha" dalam Pas. Ia tidak ikhlas. Kalau Pas ikhlas dan concern untuk penyatauan ummah, Pas melakukan semasa pilihan raya lalu dan penyatuan itu mestilah membabitkan Anwar sama. Apakah Anwar bukan Melayu dan Islam dalam kepapa Pas?
Jika Pas ikhlas untuk menjaga perpaduan Melayu dan mengukuhkan kuasa politiknya Melayu, Pas tidak akan mengambil sikap menjadi "burung pekaka" dalam pilihan raya lalu. Maksud saya burung pekaka itu ialah "king maker". Dalam pilihan raya lalu Pas mahu menjadi king maker. Sifat dan perangai burung pekaka ialah makan secara menyambar. Tampaknya perangai itulah yang dipakai Pas kini. Burung pekaka.
Sebelum pilihan raya parti itu sambar Najib dan BN, dan selepas PH menang mereka mahu sambar Mahathir dan PH. Tidak mustahil kalau DAP mengungguli kerajana, Pas akan turut sambar parti Cina itu. Politik sebegini adalah politik meterialistik dan oportunis yang bertentangan sama sekali dengan prinsip agama Islam dan adat susila Melayu.
Percayalah Pas akan kecewa dengan startegi dan tektik "burung pekaka" itu. Tanpa membelah dada Dr Mahathir saya percaya beliau lebih percaya kepada Anwar berbanding dengan Hadi. Melihat baik dari segi kepimpinan, pengaruh dan aura dalam masyarakat Malaysia, Anwar adalah tepat untuk diangkat jadi pemimpin. Mahathir tidak mudah terasyik dengan dendangan Hadi yang menyanyikan lagu agama dan bangsa berirama usang.
Mahathir sudah cukup faham politik Pas yang suka mencabut surah Quran dan helaian hadith untuk dilemparkan dari pentas politik bagi dimakan dan ditelan oleh orang ramai. Serangan dan kebencian Pas kepada Mahathir dengan menggunakan agama sebagai alat sudah lama difahami Mahathir. Mahathir sebagai seorang yang rasional dan praktikal tidak mudah tunduk kepada khayalan atau idealis agama dibawa Pas itu.
Kesimpualnnya usaha Pas untuk merampas hati Mahathir dengan harapan, PM itu menyekat laluan Anwar untuk menjadi perdana menteri ke 8, tidak ubah semacam hendak meraih pelangi di hujung senja. Pelangi tetap indah dimata Pas tetapi tidak terjangkau dek jarinya. Dan Mahathir sendiri sedar kalau dia mengecewakan Anwar bermakna dia mengecewa rakyat yang mengharapkan Anwar jadi PM. Tentunya Mahathir dan Anwar tidak mahu menutup tirai politik mereka dengan kenduri perbalahan di kalangan rakyat.
Peringatan kepada Pas khasnya Hadi, sekiranya benar mereka ikhlas untuk membina kekuatan umah, memperkasakan kuasa politik Melayu, nah masuklah bersama PH dengan menyatakan sokongan bukan sahaja kepada Mahathir tetapi penggantinya (Anwar) juga selepas itu. Jika ini dapat dilaksanakan Pas akan dianggap sebuah parti benar-benar melaksanakan prinsip Islam dan mematuhi ajaran Nabi s.a.w. [wm.kl.10:30 am 21/02/19]
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://msomelayu.blogspot.com/2019/02/antara-hadi-dan-anwar-mahathir-lebih.html