Anak Orang Asli Dari Pos Betau Bertekad Membuktikan Pemilihannya Adalah Tepat
KUANTAN - Penyerang muda Sri Pahang FC, Lokman Bah Din yang juga daripada masyarakat Orang Asli akan membuktikan pemilihannya dalam skuad itu adalah tepat.
Justeru, pemain berusia 20 tahun itu tekad tidak akan sesekali mengecewakan pengurusan Sri Pahang FC ketika bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super musim ini.
"Alhamdulillah, rezeki saya bermain pada tahap yang tinggi. Tetapi pada masa sama, banyak lagi perlu saya belajar. Misi saya musim ini ialah mengharapkan dapat pergi jauh dan bersaing serta belajar dengan pemain berpengalaman dalam pasukan ini.
"Pengalaman yang dimiliki pemain senior seperti Nor Azam Azih, Fadhli Shas, Azri Nasrulhaq dan pemain lain akan dimanfaatkan sebaiknya.
"Bagi saya, jangan terlalu selesa dengan pujian orang ramai kerana ia boleh memakan diri sendiri," kata pemain berasal dari Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Lipis, Pahang itu.
Lokman antara pemain Orang Asli yang pernah bersama skuad Piala Belia Pahang pada 2020 sebelum menimba pengalaman bersama skuad Projek FAM-MSN selama dua musim iaitu 2021-2022.
Menerusi hantaran pada akaun Facebook Sri Pahang FC kelmarin, kelab itu berbesar hati mengumumkan penyerang muda, Lokman sebagai pemain terbaru Sri Pahang.
Pada masa sama, kehadiran Lokman dalam Sri Pahang turut mendapat perhatian Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Beliau berbangga dengan pencapaian Lokman kerana terpilih menyarung jersi skuad Tok Gajah musim ini.
"Pencapaian Lokman diharap membuka mata lebih ramai lagi anak muda dalam kalangan masyarakat Orang Asli untuk bergiat aktif dalam bidang sukan di negara ini.
"Berita baik yang sekian lama kita tunggu-tunggu, akhirnya menjadi realiti apabila dikhabarkan Lokman terpilih untuk bersama skuad Sri Pahang FC pada musim ini," kata Wan Rosdy. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2023/01/anak-orang-asli-lipis-tekad-pemilihan.html