Allah Ambil Seorang Tapi Allah Ganti Seorang Kuatnya Semangat Ibu Ini Buat Ramai Sebak
“ALLAH ambil seorang, tapi Allah ganti seorang. Anak-anak kini menjadi penguat semangat dan menggembirakan saya.”
Begitu kata Katijah Abdul Karim, 36, balu kepada Allahyarham Mohamad Suhaimi Khamis, 38, yang maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 372 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara dekat Slim River, 23 Februari lalu.
Katijah yang kini sarat mengandung tujuh bulan terpaksa berhenti menjual kuih di tepi jalan, lebih-lebih lagi dia masih dalam tempoh iddah.
“Jika dahulu suami ada, dia menjadi tulang belakang keluarga untuk memberikan nafkah dan perbelanjaan keluarga. Kini, saya terpaksa memikul tanggungjawab itu dengan hasil jualan kuih.
“Bagaimanapun, saya bersyukur walaupun dalam keadaan mengandung dan bakal bersalin tidak lama lagi, rezeki kami sentiasa ada walaupun selepas suami tiada.
“Rakyat Malaysia sangat pemurah apabila memberikan sumbangan kepada saya,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han di rumahnya di Bukit Kinrara, dekat sini, semalam.
Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Penguat kuasaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Selangor, Wan Kefli Hamid.
Menurutnya, dia kini hanya membuat kuih di rumah untuk memenuhi tempahan pelanggan.
“Walaupun suami sudah tiada, Allah permudahkan semuanya. Saya hanya mahu hidup gembira dan meneruskan kehidupan dengan membesarkan anak-anak saya,” katanya.
Katanya, meskipun dia ditakdirkan kehilangan seorang suami, namun Tuhan memberikannya seorang ahli keluarga baru iaitu anak yang sedang dikandung ketika ini.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Katijah berkata, selepas bersalin kelak, dia mahu mengembangkan perniagaan kuih dengan mendapatkan bantuan trak makanan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
“Saya sentiasa bersyukur kerana (PERKESO) pantas memberikan bantuan yang sepatutnya saya terima walaupun hanya beberapa hari suami meninggal dunia,” katanya.
Sementara itu, Wan Kefli berkata, Katijah layak menerima faedah daripada caruman suaminya yang meninggal dunia ketika sedang bertugas.
“Dia layak menerima Pencen Faedah Orang Tanggungan yang dibayar secara berkala sepanjang hayat manakala semua anaknya termasuk yang sedang dikandung juga akan menerima bayaran itu sehingga berusia 21 tahun,” katanya.
Harian Metro sebelum ini melaporkan Mohamad Suhaimi yang memandu lori tangki membawa muatan diesel rentung selepas kenderaan dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebuah lori lain dalam kemalangan itu.
Hasil siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan tiga lori yang memandu dari arah selatan menuju ke utara.
Sebuah lori membawa muatan besi berhenti di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah manakala sebuah lori lagi daripada syarikat sama dan membawa muatan sama turut berhenti untuk membantu.
Apabila selesai, kedua-dua pemandu lori berkenaan meneruskan perjalanan dan seorang daripada pemandu melihat lori tangki terbabit yang bergerak dari laluan tengah terus ke lorong kecemasan.
Lori tangki itu kemudian melanggar belakang lori kedua membuatkan lori berkenaan merempuh pula belakang lori pertama yang berhenti di lorong itu.
Akibat pelanggaran itu lori tangki yang dipercayai membawa muatan diesel terbakar dan merebak ke lori yang dirempuhnya.
Beberapa foto dan video mengenai kejadian itu turut tular di laman sosial dan WhatsApp.
sumbe r: hmetro
The post “ALLAH ambil seorang, tapi Allah ganti seorang…” Kuatnya Semangat Ibu Ini Buat Ramai Sebak appeared first on Suara Viral Malaysia.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suaraviral.org/allah-ambil-seorang-tapi-allah-ganti-seorang-kuatnya-semangat-ibu-ini-buat-ramai-sebak/