Akar Umbi Umno Selangor Mahu Mat Nadzari Diganti
Manzaidi Mohd Amin                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Ketua  Sekretariat Badan Bertindak "Selamatkan Bangunan Umno Selangor", Datuk  Mohd Isa Abu Kasim pada sidang media membantah tindakan untuk menjual  Bangunan Umno Selangor di perkarangan Bangunan Umno Selangor, Shah Alam,  Selangor. foto AFIQ RAZALI 
SHAH ALAM – Sekretariat Badan Bertindak Selamatkan Bangunan  UMNO Selangor akan menghantar memorandum kepada Presiden, Datuk Seri  Ahmad Zahid Hamidi supaya menilai semula pelantikan Datuk Mat Nadzari  Ahmad Dahlan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu.
 Pengerusinya, Mohd Isa Abu Kassim berkata, Mat Nadzari yang mengambil  alih jawatan itu dari Datuk Seri Noh Omar pada 5 Julai tahun lalu,  dilihat gagal mentadbir dan mengurus pengurusan parti itu dengan baik.
 Tegas beliau, Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor itu juga gagal  menyatukan kepimpinan UMNO negeri serta ahli dan rakyat dikatakan tidak  selesa dengan kepimpinan beliau.
 Kata beliau, memorandum itu akan dihantar kepada Presiden dan Timbalan Presiden dalam tempoh terdekat ini.
 “Memorandum ini juga serentak dengan gesaan kita meminta Ahmad Zahid  dan Datuk Seri Mohamad Hasan campur tangan untuk menyelamatkan bangunan  UMNO Selangor yang sekian lama menjadi mercu tanda parti,” katanya pada  sidang media di pekarangan luar bangunan UMNO negeri di sini, hari ini.
 Mengulas lanjut, Mohd Isa menjelaskan, bukti kepimpinan Mat Nadzari  tidak diterima, apabila pada 22 November tahun lalu, seramai 16 Ketua  UMNO Bahagian tdak hadir ke Mesyuarat Perhubungan Negeru.
 Jelas beliau, macam mana UMNO negeri hendak merampas Selangor dari  Pakatan Harapan (PH), kalau 16 Ketua Bahagian tidak hadir dan 11 ketua  bahagian tidak setuju bangunan UMNO dijual.
 “Macam mana kita hendak tunjukkan kepada rakyat bahawa kita kuat?  Jadi, Presiden dan Timbalan Presiden kena berlapang dada untuk mendengar  pandangan akar umbi memintanya memilih calon yang lebih sesuai untuk  menerajui UMNO Selangor.
 “Kita mesti menanam tekad dalam hati dan diri kita, parti mesti diutamakan daripada individu,” katanya.
 Mat Nadzari mula tidak diterima oleh sebahagian pemimpin UMNO di  negeri itu berikutan keputusannya yang dibuat dalam mesyuarat  perhubungan hendak menjual bangunan UMNO Selangor.
 Keputusannya itu dikatakan mendapat bantahan keras lebih separuh  daripada 22 ketua bahagian, yang menyifatkan bangunan itu milik parti,  bukan hak milik syarikat persendirian. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/akar-umbi-umno-selangor-mahu-mat.html