Bekas Adun Mohon Kaveat Halang Jual Bangunan Umno Selangor
Nizam Zain                                                                                                                                                                                                                                                                                          

Ketua  Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim  menunjukkan borang permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor di  Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam, semalam. KUALA LUMPUR – Mercu tanda UMNO Selangor didakwa cuba  dilenyapkan sekali lagi melalui usaha penjualan bangunan yang terletak  di pusat bandar Shah Alam itu dengan nilai RM40 juta.
 Susulan cadangan penjualan itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Batang Kali, Datuk Mohd Isa Abu Kasim telah membuat permohonan  kaveat terhadap bangunan UMNO Selangor itu bagi menghalang daripada  dilupuskan hak milik.
 Mohd Isa yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Hulu  Selangor telah membuat permohonan kaveat itu di Pejabat Daerah dan Tanah  Petaling, Shah Alam semalam.
 Beliau yang juga Ketua Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor  bertindak demikian selepas mendapati mesyuarat Perhubungan UMNO Selangor  pada Rabu lalu membuat undian bagi penjualan bangunan itu.
 “Pada mesyuarat perhubungan UMNO Selangor Rabu lepas, Pengerusi  Perhubungan  Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan mencadangkan untuk buat  undian dalam kalangan ketua bahagian yang datang,” katanya ketika  dihubungi MalaysiaGazette hari ini. 

Ketua  Sekretariat Selamatkan Bangunan UMNO Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kasim  selepas menghantar borang permohonan kaveat terhadap bangunan UMNO  Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Shah Alam, semalam.Pada 18 Disember tahun lalu, media melaporkan bahawa keputusan untuk  menjual bangunan UMNO Selangor hanya akan diputuskan dalam mesyuarat  khas yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.
 Menurut Mat Nadzari, ketika itu, beliau mengesahkan tiada sebarang penjualan aset akan dilakukan.
 Katanya, langkah menjual bangunan yang terletak di Seksyen 14, Shah Alam itu hanya perbincangan di peringkat awal.
 Dalam pada itu, Mohd Isa juga mendedahkan, seramai sembilan ketua  bahagian tidak membuat undian penjualan bangunan itu, antaranya Ketua  Umno Bahagian Hulu Langat Datuk Johan Abd Aziz; Ketua Umno Bahagian  Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman dan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar  Datuk Seri Jamal Md Yunos.
 “Yang tidak menyokong termasuk Ketua Bahagian Kapar, Dengkil, Pandan, Ampang dan Kuala Selangor.
 “Yang lain itu semua buat undian (sokong) termasuk ketua sayap UMNO  Selangor, Wanita, Puteri dan Pemuda untuk dijual dengan alasan  penyelenggaraan tinggi, nak baik pulih menelan kos RM15 juta dan  sebagainya,” katanya.
 Katanya lagi, pihaknya hanya bersetuju dengan cadangan mesyuarat  badan perhubungan untuk menampung masalah kewangan UMNO Selangor ini  dengan menjual aset-aset lain.
 “Kita setuju Badan Perhubungan UMNO Selangor jual aset-aset lain  kecuali kita kekalkan bangunan UMNO Selangor dan baik pulih yang mana  amat memerlukan.
 “Bila Nadzari beria teruskan undian, ramai lagi ahli UMNO tak berpuas hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/bekas-adun-mohon-kaveat-halang-jual.html