Agenda Baru Bumiputera Tak Sekat Peluang Kaum Lain Muhyiddin
Anne Muhammad & Alyaa Alhadjri
30 Dec 2018, 10:37 am
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Agenda Baru Bumiputera adalah sebahagian polisi Pakatan Harapan (PH) yang akan dilaksanakan tanpa menyekat peluang kaum lain.
Katanya menerusi dasar itu kerajaaan akan memastikan pertumbuhan ekonomi akan dapat dinikmati setiap lapisan rakyat.
“Jika dasar ini menjejaskan daya saing negara, ia bukan Agenda Bumiputera.
“Jika dasar ini menggalakkan amalan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, ia bukan Agenda Bumiputera.
“Malah, jika dasar ini menyekat peluang yang adil untuk kaum-kaum lain maju dan berjaya, ia juga bukan Agenda Bumiputera,” kata Muhyiddin dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu yang ke-2 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Selain mengulangi komitmen PH untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa, Muhyiddin menegaskan dasar baru itu tidak akan menyekat bangsa lain untuk berjaya.
“Prasyarat utama dasar ini ialah ia mesti mewujudkan kemakmuran negara yang dapat dikongsi secara adil dan saksama oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, kelas dan wilayah.
“Yang ingin kita wujudkan ialah keadilan dan kesaksaman dalam pendapatan dan pemilikan kekayaan di kalangan rakyat.
“Tidak ada satu kumpulan pun dalam masyarakat kita yang ketinggalan. Dengan itu, kita dapat mewujudkan kestabilan, kesepaduan dan kemakmuran dalam negara kita yang dikecapi oleh semua rakyat,” katanya.
Beliau turut menegaskan, ia bukan agenda kaum sebaliknya agenda nasional.
Anggota Parlimen Pagoh itu turut berkata, agenda tersebut boleh dinamakan sebagai “Pelan Kemakmuran Bersama” dan ia perlu mendapat sokongan semua pihak.
Turut berada dalam dewan tersebut adalah Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan lebih 1000 perwakilan parti itu.
Menjelang akhir ucapan itu, Muhyiddin meminta agar Dr Mahathir menyokong dan menerima cadangan pelaksanaan dasar baru tersebut.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://wak-labu.blogspot.com/2018/12/agenda-baru-bumiputera-tak-sekat.html