Abim Saran Kerajaan Bentang Belanjawan Konsensus 2021 Disertai Pembangkang
MALAYSIAKINI 
Angkatan  Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa satu jawatankuasa khas bipartisan  (dwiparti) yang bersifat konsensus seperti dibenarkan Peraturan  Mesyuarat 81(1) Peraturan Dewan Rakyat diwujudkan dengan penglibatan  wakil kerajaan dan pembangkang.
Presidennya, Muhammad Faisal Abdul  Aziz, berkata ia perlu untuk merangka, memantau serta melaksanakan Rang  Undang-undang Perbekalan 2021 yang perlu ditubuhkan sebagai komitmen  dan pelibatan secara berkesan serta inklusif.
"Memandangkan  kerajaan sedia ada memerlukan dukungan pembangkang untuk mengukuhkan  legitimasinya, Abim mencadangkan supaya pembentangan Belanjawan 2021  dibuat secara bersama antara pihak kerajaan diketuai perdana menteri dan  pihak pembangkang diketuai ketua pembangkang, Anwar Ibrahim.
"Pembentangan  Belanjawan Konsensus ini harus membabitkan kepentingan kedua-dua belah  pihak dengan agenda rakyat mengharungi Covid-19 harus menjadi agenda  bersama dalam menangani dampak penularan Covid-19.
"Seterusnya  seluruh ahli parlimen termasuk daripada pembangkang harus diberikan  akses setara dengan ahli parlimen kerajaan untuk diterima pandangan  serta sumbang saran supaya belanjawan yang berorientasikan rakyat dapat  diketengahkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad  Faizal berkata demikian merujuk kepada pergolakan politik negara yang  masih bergolak dan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin minggu lalu  mencadangkan darurat diisytiharkan.
Kedudukan Muhyiddin sebagai  perdana menteri juga dipercayai tergugat apabila Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menolak saranan tersebut.
Menurut  Muhammad Faisal saranan Abim itu juga selaras dengan semangat titah  Agong yang mahukan seluruh ahli politik bersama-sama menumpukan  perhatian menjaga kepentingan rakyat.
"Pendekatan Belanjawan  Konsensus 2021 juga selari dengan intipati penyataan raja-raja Melayu  pada 25 Okt yang menekankan peri pentingnya mekanisme semak dan imbang  dihormati," katanya.
Tambah Muhammad Faisal, Abim berasa negara  perlu bergerak ke hadapan atas prinsip inklusif sebagai asas utama  memelihara kesejahteraan rakyat.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/10/abim-saran-kerajaan-bentang-belanjawan.html