5 Penyakit Berjangkit Utama Selepas Banjir Yang Sangat Merisaukan
5 Penyakit Berjangkit Utama Selepas Banjir Yang Sangat Merisaukan
“Air dah surut, tapi penyakit baru nak mula.” – Public Health Malaysia (PHM)
Inilah realiti yang sering berlaku setiap kali banjir melanda. Bila air mula surut, ramai menarik nafas lega. Rumah mula dibersihkan, barang diangkat satu persatu, kehidupan perlahan-lahan cuba kembali seperti biasa.
Namun, pada waktu inilah risiko penyakit berjangkit sebenarnya berada di tahap paling tinggi.
Air banjir yang kotor, persekitaran lembap, longgokan sampah serta keadaan sesak di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjadi ‘medan subur’ untuk kuman dan virus merebak.
Jika kita alpa dan anggap semuanya sudah selamat, kesannya boleh memudaratkan diri sendiri dan orang sekeliling.
Jadi, berikut 5 penyakit berjangkit utama selepas banjir yang sangat merisaukan dan wajib diberi perhatian, seperti dikongsikan oleh PHM.
1. Leptospirosis (kencing tikus)
Datang daripada air banjir yang tercemar dengan kencing tikus dan haiwan lain.
Gejala: demam tinggi, sakit kepala, sakit otot (terutama betis), muntah, mata merah.
Risiko tinggi pada mereka yang bersihkan rumah tanpa kasut but, sarung tangan atau luka terdedah pada air banjir.
2. Penyakit bawaan air dan makanan
Contoh: cirit-birit teruk, kolera, typhoid, Hepatitis A.
Berlaku bila air minuman dan makanan tercemar dengan najis atau air banjir.
Gejala: cirit-birit berulang, muntah, sakit perut, demam, mata dan kulit jadi kekuningan (untuk Hepatitis A).
3. Jangkitan kulit dan luka
Kulit yang terendam lama dalam air kotor mudah dijangkiti kuman.
Gejala: kulit merah, gatal, melecet, bernanah, bengkak dan sakit bila disentuh.
Luka kecil yang dibiarkan tanpa dilindungi pun boleh jadi jangkitan serius.
4. Jangkitan pernafasan (selsema, batuk, radang paru-paru)
PPS yang sesak, kurang pengudaraan dan cuaca lembap memudahkan jangkitan tersebar.
Gejala: batuk, selsema, sakit tekak, demam, sesak nafas.
Berisiko teruk pada bayi, warga emas serta mereka yang ada masalah jantung dan paru-paru.
5. Penyakit bawaan vektor (denggi dan lain-lain)
Selepas banjir, air yang bertakung jadi tempat pembiakan nyamuk.
Gejala: demam mengejut, sakit kepala, sakit belakang mata, sakit sendi dan ruam (untuk denggi).
Walaupun banjir sudah reda, nyamuk masih aktif di kawasan rumah dan PPS.
Apa yang anda boleh buat?
Gunakan air bersih untuk makan dan minum, cuci tangan dengan sabun, pakai kasut dan sarung tangan semasa bersihkan rumah, tutup takungan air di sekeliling rumah, dan dapatkan rawatan segera jika ada demam, cirit-birit teruk, sesak nafas atau sakit luar biasa selepas banjir.
Kita mungkin tak dapat elak banjir setiap kali musim hujan, tapi kita boleh kurangkan risiko jatuh sakit selepas banjir.
Semoga bermanfaat.
BACA: Berat Normal Tapi Perut Buncit, Ini Bahaya Yang Korang ‘Wajib’ Tahu
Sumber: Public Health Malaysia
The post 5 Penyakit Berjangkit Utama Selepas Banjir Yang Sangat Merisaukan appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/15/5-penyakit-berjangkit-utama-selepas-banjir-yang-sangat-merisaukan/