Suasana Pasca Banjir Di Aceh Tamiang Macam Bandar Zombi
Suasana Pasca Banjir Di Aceh Tamiang Macam ‘Bandar Zombi’
Kejadian banjir dan tanah runtuh di Aceh membangkitkan semula trauma lama dalam kalangan penduduk yang pernah melalui tragedi tsunami.
Manakan tidak, banjir yang berlaku pada kali ini memberi impak yang agak besar kepada mereka. Banyak rumah dan infrastruktur mengalami kerosakan, hampir 1,000 maut dan ratusan masih lagi hilang.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ujian yang dihadapi mereka ini benar-benar meruntun jiwa.
Dalam pada itu, baru-baru ini tular beberapa perkongsian di media sosial yang menyaksikan keadaan selepas banjir surut.
Dengan keadaan jalan dan kawasan rumah yang dipenuhi lumpur, kawasan di Aceh khususnya di Aceh Tamiang digelar sebagai ‘bandar zombi’.
Menurut BBC Indonesia, Aceh Tamiang merupakan salah satu kawasan yang mengalami kesan buruk selepas dilanda banjir.
Bau mayat sangat kuat
Seorang penduduk, Arif, berkata keadaan bandar musnah sepenuhnya dan bau mayat mula menyengat di sepanjang jalan.
“Bau mayat sangat kuat, mungkin ada mayat manusia di sebalik runtuhan tetapi tidak kelihatan, tetapi bau itu ada.
“Orang sudah tidak kisah tentang mayat, sebab semua orang tengah ‘memburu’ makanan dan air. Saya tengok muka-muka orang penuh lumpur, semua terpinga-pinga di jalanan.
“Seperti bandar mati, kata orang macam bandar zombi,” katanya.
Ujarnya lagi, seluruh bandar seperti ‘bandar hantu’ kerana tiada bekalan elektrik, air bersih dan telekomunikasi tersedia untuk penduduk.
Selain itu, keseluruhan jalan mengalami kerosakan dan dipenuhi lumpur setebal 50 sentimeter.
Banyak rumah penduduk yang ranap menyembah bumi, bumbung berlubang, pagar pecah dan tingkap serta pintu tercabut.
Di tepi jalan, dahan pokok berselerak bersama-sama harta benda penduduk yang musnah dilanda banjir.
Apabila waktu malam tiba, bandar itu ‘tenggelam’ dalam kegelapan. Tiada siapa yang berani merayau di jalanan.
Arif juga berkata dia menyaksikan sendiri beberapa haiwan ternakan penduduk seperti lembu dan kambing mati serta dibiarkan bergelimpangan.
Banjir musnahkan kehidupan penduduk
Sementara itu, wartawan Kompas TV, Budi Satria tidak menyangka banjir tersebut memusnahkan bandar itu.
Dia dan dua rakan sekerja berjaya menerobos masuk ke kawasan terpencil di Kota Kuala Simpang dan menyaksikan impaknya.
“Habis hancur…saya tidak menyangka kerosakan akibat banjir memberi impak yang begitu besar terhadap kehidupan masyarakat.
“Beberapa kampung turut musnah, hanya tinggal serpihan konkrit dan lumpur,” katanya.
@kang.so_ra
“Tamiang kota Zombie” mobil-mobil itu tidak ditinggalkan, pemilik nya sudah menjadi mayat di dalam selama berhari-hari.. #tamiang
♬ Never Forgive Me, Never Forget Me – Avith Ortega & Akira Yamaoka
Sumber: BBC Indonesia
The post Suasana Pasca Banjir Di Aceh Tamiang Macam ‘Bandar Zombi’ appeared first on Siakap Keli.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://siakapkeli.my/2025/12/09/suasana-pasca-banjir-di-aceh-tamiang-macam-bandar-zombi/