5 Lokasi Tumpuan Pelancong Di Tokyo Yang Menyediakan Ruang Solat
Apabila kita sedang mengembara di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam, antara kekangan yang sering dihadapi adalah mencari tempat untuk menunaikan solat.
Sememangnya agak sukar untuk kita menemui masjid-masjid atau surau-surau mahupun ruang solat yang dibina khas untuk pelancong beragama Islam.
Ini menyebabkan ada antara kita yang terpaksa menunaikan kewajipan tersebut di kawasan-kawasan yang bukan dikhaskan untuk bersolat seperti di kawasan-kawasan awam, tepi-tepi dinding atau di bawah tangga.
Lebih malang, jika pergi ke negara-negara yang tidak menggunakan paip air bagi tandas awam, ia akan lebih memberi kesukaran kepada kita untuk berwuduk.
Situasi ini akhirnya akan membuatkan ada antara kita yang bertindak meninggalkan solat atau hanya mengqada selepas pulang ke tempat penginapan.
Justeru, bagi mengelakkan berlakunya situasi tersebut dan sebagai usaha untuk mempertingkatkan lagi sektor pelancongan dalam kalangan pelancong beragama Islam, negara Jepun mengambil inisiatif dengan menyediakan dan memperbanyakkan kemudahan masjid, surau dan ruang solat di lokasi-lokasi tumpuan pelancong.
Antara yang disediakan adalah di pusat beli-belah, pusat pelancongan, pusat tarikan pelancong, lapangan terbang, stesen tren dan restoran-restoran yang menyediakan makanan halal.
Berikut adalah 5 lokasi awam popular yang terletak di ibu kota Tokyo yang anda boleh temui kemudahan surau untuk digunakan.
JR East Travel Service Center
Terletak di stesen tren JR Tokyo, ruang solat ini berada di dalam JR East Travel Service Center (pintu keluar utara Marunouchi). Lengkap dengan kemudahan untuk berwuduk, ruang tersebut boleh digunakan oleh dua orang dalam satu-satu masa.
Waktu operasi: 8.30AM-7.00PM (Isnin-Jumaat)
8.30AM-5.00PM (Sabtu, Ahad & Cuti Umum)
Alamat: 1 Marunouchi, Chiyoda City, Tokyo
Akses: Tokyo (JR, Subway)
DECKS Tokyo Beach
Bagi anda yang berkunjung ke pusat beli-belah dan tumpuan pelancong popular, DECKS Tokyo Beach, anda tidak perlu risau kerana ia menyediakan ruang solat yang sederhana namun selesa. Lengkap dengan ruang mengambil wuduk yang ‘comel’, selepas ini, anda boleh membeli-belah di sini tanpa perlu berasa runsing untuk mencari tempat bersolat.
Waktu operasi: 11.00AM-9.00PM
Alamat: 1-6-1 Daiba, Minato City, Tokyo
Akses: Odaiba-Kaihinkoen (Yurikamome)
Tokyo Midtown
Tokyo Midtown merupakan sebuah kompleks bersepadu di Roppongi yang terdiri daripada hotel (The Ritz-Carlton, Tokyo), kemudahan kebudayaan seperti the Suntory Museum, lebih dari 130 lot komersial, ruang pejabat, tempat tinggal, hospital, taman dan banyak lagi. Jadi, ia merupakan sebuah lokasi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara. Berita baiknya adalah Tokyo Midtown turut menyediakan kemudahan ruang solat untuk yang beragama Islam. Bukan itu sahaja, ia turut mengasingkan ruang solat untuk lelaki di tingkat 3 dan wanita di tingkat 1.
Waktu operasi: 11.00AM-9.00PM
Alamat: 9-7-1 Akasaka, Minato City, Tokyo
Akses: Roppongi (Subway), Nogizaka (Subway)
Haneda Airport
Terletak berhadapan dengan kawasan perlepasan, tingkat perlepasan dan berhampiran dengan kaunter daftar masuk ‘L’. Ruang yang turut dilengkapi dengan tempat wuduk ini boleh digunakan dengan cara menghubungi staf lapangan terbang menggunakan intercom yang disediakan di tepi pintu masuk. Namun, jangan terkejut kerana ruang ini mungkin turut digunakan oleh penganut agama lain untuk bersembahyang.
Waktu operasi: 24 jam
Alamat: 2-6-5, Haneda Airport, Ota City
Akses: Haneda Airport International Terminal (Keikyu, Tokyo Monorail)
Takashimaya Shinjuku Store
Menyedari terdapat peningkatan signifikan dalam jumlah kedatangan pelancong asing ke Takashimaya Shinjuku Store, terutamanya dari Asia Tenggara seperti Malaysia dan Indonesia, pusat beli-belah tersebut telah menyediakan bilik solat untuk kegunaan pelancong yang beragama Islam. Berada di tingkat 11, pusat beli-belah ini juga terletak berhampiran dengan stesen tren Shinjuku, sekali gus memudahkan para pelancong untuk mencari lokasi solat di kawasan tumpuan pelancong seluruh dunia ini. Akses terdekat dari stesen Shinjuku adalah Shin-Minamiguchi, atau ‘New South Exit’.
Waktu operasi: 10.00AM-8.00PM (Ahad-Khamis)
10.00AM-8.30PM (Jumaat, Sabtu)
Alamat: 5-24-2, Sendagaya,Shibuya City, Tokyo
Akses: Shinjuku (JR, Subway, Odakyu, Keio)
Sumber: Salamtoday.com
The post 5 Lokasi Tumpuan Pelancong Di Tokyo Yang Menyediakan Ruang Solat appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.islamituindah.my/5-lokasi-tumpuan-pelancong-di-tokyo-yang-menyediakan-ruang-solat/