30 Alasan Kenapa Saman Terhadap Hadi Perlu Didengar Di Mahkamah
FMT Reporters -July 2, 2021
Presiden PAS Abdul Hadi Awang bulan lalu berjaya membatalkan saman dua individu dari Sabah terhadapnya atas dakwaan membuat kenyataan bersifat hasutan terhadap penganut agama Kristian. (Gambar Bernama)PUTRAJAYA: Dua individu dari Sabah mengemukakan 30 alasan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan saman mereka terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang atas dakwaan membuat kenyataan bersifat hasutan terhadap penganut agama Kristian.
Menurut mereka, paling utama tafsiran hakim perbicaraan Akhtar Tahir disifatkan lunak berhubung kenyataan buruk Hadi terhadap badan kehakiman yang dibuatnya di Facebook pada 4 Mac.
Dalam memorandum yang difailkan di Mahkamah Rayuan awal minggu ini, individu terbabit Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil @ Maximilhian berkata, hakim silap dari segi undang-undang dan fakta dengan tidak menganggap serius serangan Hadi terhadap badan kehakiman.
Pada 11 Mei, Akhtar mengizinkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman itu dengan berkata, Maklin dan Lawrence tiada “locus standi” untuk membuat tuntutan itu.
“Tuntutan itu juga semberono dan menyalah guna proses keadilan,” kata hakim dalam keputusan lisannya.
Beliau turut memerintahkan Maklin dan Lawrence masing-masing membayar RM50,000 kepada Hadi sebagai kos kerana katanya, permohonan mereka “menyesakkan sistem keadilan dengan litigasi yang tidak perlu”.
Kata Akhtar, Maklin dan Lawrence patut dipersalahkan kerana menimbulkan kembali perkara yang berlaku pada 2016.
Beliau berpandangan, kenyataan Hadi itu ditujukan kepada mubaligh yang membayar wang supaya orang memeluk agama Kristian, bukannya terhadap orang Kristian secara umum.
Maklin and Lawrence berkata, Akhtar juga salah dalam membatalkan saman mereka tanpa menurut Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan tidak mahu mengiktirafnya sebagai litigasi kepentingan awam.
Perintah untuk membayar kos juga kata mereka, bersifat menindas, tidak seimbang dan tidak adil kepada mereka.
Dalam saman mereka yang difailkan tahun lalu, Maklin dan Lawrence memohon perisytiharan bahawa Hadi melakukan kesalahan itu bawah Seksyen 3 Akta Hasutan dan beliau juga tidak layak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.
Dalam saman pemula mereka, kedua-duanya mendakwa Hadi membuat kenyataan bersifat hasutan terhadap penganut agama Kristian dan/atau mubaligh Kristian dalam akhbar Harakah terbitan PAS pada 18 Jan 2016.
Dalam afidavit untuk menyokong tindakan itu mereka juga berkata, kenyataan Hadi itu turut disiarkan oleh FMT pada hari sama.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2021/07/30-alasan-kenapa-saman-terhadap-hadi.html