Selepas 4 Tahun Saman Rm13 5 Bilion Puncak Niaga Terhadap Bekas Mb Kerajaan Selangor Ke Mahkamah
                     FMT Reporters

Puncak  Niaga Holdings Bhd mendakwa Khalid Ibrahim dan penggantinya Azmin Ali  menyalahgunakan kuasa mereka dengan memaksa pengambilalihan industri  perkhidmatan air di Selangor. (Gambar Facebook)PUTRAJAYA: Saman RM13.5 bilion Puncak Niaga Holdings Bhd terhadap  bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri  akhirnya akan didengar di mahkamah empat tahun selepas difailkan.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak  permohonan Khalid dan kerajaan Selangor untuk diberi izin merayu  terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, empat bulan lalu.
Pada 11 Februari, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Puncak Niaga  untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan Khalid dan  kerajaan negeri membatalkan saman berkenaan.
Hari ini, hakim Mahkamah Persekutuan Vernon Ong Lam Kiat berkata,  permohonan pembatalan saman itu adalah satu permohonan interlokutori dan  perbicaraan penuh tidak pernah diadakan, seterusnya tiada keputusan di  peringkat Mahkamah Tinggi sama ada saman itu dibatasi peraturan had  waktu.
                                                                                                                                         Khalid dan kerajaan negeri diperintahkan membayar kos RM30,000 kepada Puncak Niaga.
Edmund Bon yang mewakili Khalid sebelumnya berhujah bahawa saman itu  dibatasi had waktu kerana anak guamnya tidak memegang jawatan itu  selepas 23 September 2014 sedangkan saman itu difailkan pada 27 Oktober  2017.
Di bawah Akta Perlindungan Penguasa Awam 1948 (PAPA), tuntutan terhadap kerajaan perlu difailkan dalam tempoh tiga tahun.
Peguam Gopal Sreenevasan yang mewakili Puncak Niaga mengakui bahawa  Khalid mengosongkan jawatan itu pada 2013 tetapi berkata, perjanjian  jual beli diselesaikan pada 10 Oktober 2015.
                                                                                                                                                                                                                       Susulan itu katanya, had tiga tahun itu berkuat kuasa pada Oktober 2018.
Dalam pada itu Puncak Niaga mendakwa Khalid dan penggantinya  Azmin Ali menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk  menyebabkan kerajaan pusat menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air  2006 untuk memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di  Selangor.
Syarikat itu menuntut ganti rugi, faedah dan kos atas  kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara berjumlah RM13.5  bilion.
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/06/selepas-4-tahun-saman-rm135-bilion.html