Jumlah Pengunjung Majlis Tidak Lagi Dihadkan Selagi Ada Jarakan Sosial Ismail Sabri
UMNO ONLINE
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. PUTRAJAYA – Jumlah maksimum peserta atau pengunjung di majlis agama,  sosial dan rasmi akan diselaras mengikut kapasiti ruang tertakluk kepada  jarakan sosial bermula 15 Julai ini, kata Menteri Kanan (Kluster  Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 
Beliau berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Khas  Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  yang bersetuju had 250 orang yang putuskan sebelum ini ditimbang semula.
“Setakat ini kita hadkan tetamu untuk majlis kahwin sebagai contoh  adalah seramai 250 orang dan jemaah masjid (serta penganut bukan Islam)  seramai satu pertiga daripada kapasiti masjid dan rumah ibadah bukan  Islam.
“Jadi untuk menyamaratakan semua sekali, kita bersetuju had tetamu  dan peserta adalah berdasarkan keluasan sesuatu tempat dengan syarat ada  penjarakan sosial sejauh satu meter,” katanya pada sidang media selepas  mesyuarat itu hari ini.
Beliau memberi contoh bagi sebuah dewan berkapasiti 1,000 orang akan  dapat memuatkan 800 individu berdasarkan pelaksanaan jarakan sosial.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju dengan  Garis Panduan Pengurusan Sekolah Berasrama yang dibentangkan oleh  Kementerian Pendidikan (KPM). 
Antara garis panduan itu ialah hanya murid dan pelajar yang sihat  sahaja dibenarkan kembali ke asrama selain perlu melakukan saringan  kesihatan semasa pendaftaran masuk ke asrama, katanya.
“Sekiranya terdapat murid yang bergejala, pihak pentadbiran perlu  mendapatkan nasihat Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan memaklumkan ibu  bapa atau penjaga untuk membawa pulang murid.
“Garis panduan yang dikeluarkan KPM ini boleh digunakan untuk  mana-mana sekolah berasrama yang lain yang tidak terletak di bawah KPM  seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah swasta,” katanya.
Beliau berkata sebagai langkah keselamatan, Kementerian Kesihatan  akan menjalankan ujian saringan COVID-19 secara rawak di asrama.
Ismail Sabri turut berkata pelajar tingkatan empat dibenarkan pulang  ke asrama bermula 15 Julai ini sementara untuk pelajar tingkatan lain,  bermula 3 Ogos.
Bagi asrama di sekolah rendah, khususnya di kawasan pedalaman, murid   tahun lima dan enam juga dibenarkan pulang ke asrama masing-masing pada  15 Julai.
Mengulas mengenai kebenaran mengadakan kelas muzik dan peperiksaan  bahasa Inggeris bagi persediaan ke luar negara TOEFL (ujian bahasa  Inggeris sebagai bahasa asing), Ismail Sabri berkata kedua-duanya adalah  dibenarkan. – BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/07/jumlah-pengunjung-majlis-tidak-lagi.html