120 Ekor Lembu Hilang Jadi Mangsa Korban Banjir Di Segamat
WARTA RAKYAT
TIADA kata yang mampu diungkap, hanya air mata menjadi saksi kehibaan Tey Teng Swee apabila kandang lembu yang diusahakannya sejak lima tahun lepas hilang sekelip mata ‘ditelan’ dalam kejadian banjir di Batu 7 Jalan Muar, Segamat, sejak Ahad lepas.
Wajah penternak berusia 60 tahun itu juga kelihatan sugul memikirkan nasib 120 ekor lembu pedaging dari baka Charolais, Bali, Belgian Blue dan Brahman yang masih hilang dalam kejadian banjir yang melanda daerah itu.
Ketika ditemui Bernama, Teng Swee berkata, beliau tidak menyangka kandang setinggi lapan kaki yang dibinanya akan ditenggelami air.
“Saya dan pekerja cuba untuk mengeluarkan lembu-lembu berkenaan tetapi gagal kerana kawasan sudah dipenuhi air dan haiwan tersebut sudah kelihatan penat kerana tidak diberikan makanan.
“Kami hanya berjaya menyelamatkan kira-kira 20 ekor lembu dengan menggunakan bot, yang kemudianya terpaksa ditambatkan di tepi jalan,” katanya yang memakai anduh pada tangan kirinya, akibat patah ketika cuba menyelamatkan lembu-lembunya itu.
Lebih memilukan, biarpun berjaya menyelamatkan sebahagian ternakannya, kebanyakan haiwan ternakannya itu berada dalam keadaan lemah, sehingga ada yang mati akibat kepenatan dan kelaparan, kata Teng Swee.
Beliau berkata, walaupun Jabatan Perkhidmatan Veterinar ada membantu dengan memberi bantuan makanan kepada haiwan ternakannya, tetapi dalam keadaan banjir, lembu tersebut tidak mampu untuk bergerak apatah lagi mengharungi air banjir yang deras.
“Saya tidak tahu nak buat apa sekarang, dengan keadaan lembu yang masih lemah… saya harap saya boleh bangkit lagi selepas ini,” katanya.
Teng Swee berkata, berikutan bencana itu beliau menganggarkan jumlah kerugian sekitar RM600,000 melibatkan empat baka lembu pedaging yang diusahakannya itu. – Bernama
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2022/01/120-ekor-lembu-hilang-jadi-mangsa.html