10 Tanya Jawab Mou Kerajaan Pn Ph
Oleh: Hassan Abdul Karim
Soalan 1 : Adakah Pakatan Harapan (PH) telah menyerah kalah kepada kerajaan Ismail Sabri Yaakob apabila menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Kerajaan?
Jawapan : Tidak. PH tidak menyerah kalah. PH tetap memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di dalam Parlimen dan di luar Parlimen.
Soalan 2 : Benarkah PH tidak lagi memainkan peranan sebagai pemantau kepada Kerajaan dalam melakukan semak dan imbang?
Jawapan : Tidak benar anggapan itu. Malah di dalam Memorandum Persefahaman itu disebut secara bertulis tugas dan peranan PH sebagai Pembangkang untuk melaksanakan tugas semak dan imbang.
Soalan 3: Tidakkah dengan menandatangani Memorandum Persefahaman tersebut PH telah dianggap mengiktiraf Kerajaan Ismail Sabri Yaakob?
Jawapan : Isu mengiktiraf Kerajaan sekarang tidak berbangkit. Ismail Sabri Yaakob telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong secara sah. Jemaah Menterinya juga telah dibentuk secara sah. Kerajaannya sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan.
Soalan 4: Adakah PH tidak berminat lagi untuk membawa usul Undi Percaya atau Undi Tak Percaya terhadap Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri di Dewan Rakyat?
Jawapan : PH tidak berhasrat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri. Kerajaan yang patut membawa usul percaya terhadap Perdana Menteri Ismail Sabri seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 17 Ogos 2021 di Istana Negara di hadapan ketua-ketua semua parti politik.
Soalan 5 : Adakah benar tujuan Perdana Menteri Ismail Sabri menandatangani Memorandum Persefahaman ini untuk mempastikan Kerajaan pimpinanya tidak tumbang di Parlimen?
Jawapan : Saya percaya itu adalah satu daripada banyak sebab.
Soalan 6 : Kenapa PH tidak berusaha lagi untuk mendapatkan semula mandat rakyat untuk menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15?
Jawapan 6 : PRU ke-15, tidak lama lagi. Ada baiknya masa sekarang kedua-dua pihak, parti pembangkang dan parti kerajaan tumpukan kepada dua perkara utama, iaitu melawan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.
Soalan 7 : Apa kesan penting dari Memorandum Persefahaman yang ditandatangani itu dari segi ketenteraman dan kestabilan politik?
Jawapan : Dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman tersebut bahawa PRU-15 tidak akan diadakan sebelum 31 Julai 2022. Ini membawa makna terdapat keadaan yang pasti dan tempoh bertenang. Di pihak kerajaan boleh tumpukan kerja-kerja mentadbir negara untuk melawan pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
Soalan 8: Apa pentingnya tempoh 31 Julai 2022 itu kepada PH?
Jawapan : Dalam tempoh 10 bulan itu, adalah masa yang cukup untuk Kerajaan melaksanakan kebanyakan terma-terma yang telah dipersetujui di dalam Memorandum tersebut. PH akan turut memantau perlaksanaan MoU tersebut. Kejujuran dan kesungguhkan Kerajaan akan dapat diukur dan dilihat dalam tempoh tersebut.
Soalan 9 : Adakah tempoh terakhir persefahaman itu pada 31 Julai 2022?
Jawapan : Tempoh itu untuk mewujudkan satu tempoh yang memberi kepastian bahawa tidak ada PRU diisytiharkan dengan mengejut. Parlimen tidak dibubarkan oleh Perdana Menteri sesuka hatinya sebelum 31 Julai 2022.
Soalan 10: Apa pendirian PH jika Perdana Menteri Ismail Sabri berhasrat kerajaannya terus mentadbir sehingga tempoh penuh Parlimen Ke-14 ini hingga tahun 2023?
Jawapan : Hak kuasa prerogative Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU tertakluk kepada persetujuan Yang di-Pertuan Agong seperti kehendak Perlembagaan Persekutuan tidak akan diganggu oleh PH. PH hanya mahukan kepastian seperti yang telah dipersetujui di dalam Memorandum Persefahaman bahawa PRU-15 hendaklah diadakan selepas 31 Julai 2022. Jika Perdana Menteri Ismail Sabri mahu mengadakan PRU-15 pada tahun 2023 misalnya, PH tidak ada halangan. Tidak ada bantahan.
(Nota: Tulisan ini adalah pendapat peribadi saya, sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Pakatan Harapan. Segala kelemahan, kekurangan, kurang tepat mahupun kesilapan adalah tanggungjawab saya sendiri)
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://suarapakatandaily.com/archives/33092