10 Aktiviti Outdoor Di Gopeng Perak
10+ Aktiviti Outdoor di Gopeng, Perak
Pernah tak anda rasa nak lari sekejap daripada hiruk-pikuk bandar dan tekanan harian, ‘healing’ di tempat yang tenang tapi penuh dengan aktiviti menarik?
Kalau ya, anda boleh pertimbangkan untuk berkunjung ke Gopeng, Perak!
Pekan kecil yang terletak di negeri Perak ni mungkin nampak biasa je. Tapi sebenarnya, dekat sini ada banyak tarikan dan aktiviti outdoor yang bukan je seronok tapi juga boleh buat anda jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadi!
Nak tahu apa je aktiviti outdoor yang best di Gopeng, Perak? Jom baca perkongsian di bawah.
BACA JUGA: Loghat Perak – Contoh Bahasa Perak Yang Popular
10+ Aktiviti Outdoor di Gopeng, Perak
1. Berkhemah di Kampung Jahang
Lokasi: Kampung Jahang, 31600 Gopeng, Perak
Anggaran Bajet: RM30 – RM135 seorang (bergantung pada pakej dan kemudahan yang dipilih)
Kampung Jahang adalah salah satu kawasan perkhemahan yang memang cukup popular di Gopeng, Perak. Ia dikelilingi oleh hutan hujan tropika yang menghijau dan sungai jernih yang mengalir.
Kampung Jahang mempunyai beberapa tapak perkhemahan popular seperti Riverside Camp Gopeng, Rex Camping Site, The Hideout Gopeng, Green View Riverside Camp (Uncle Keong), Gopeng Tree Tent, Murni Camp dan sebagainya.
Sumber: Riverside Camp, Gopeng
Setiap tapak perkhemahan menawarkan pelbagai pakej, bermula harga RM30 (basic) seorang hingga pakej lengkap termasuk peralatan dan makanan seharga RM135 seorang.
Dari segi kemudahan, kebanyakan tapak perkhemahan ada menawarkan tandas, bilik mandi, dan kawasan dapur yang ringkas serta surau. Ada juga tapak perkhemahan yang menawarkan bilik penginapan untuk lebih keselesaan.
Anda boleh membawa peralatan berkhemah sendiri untuk menjimatkan kos jika memilih pakej tapak perkhemahan sahaja.
Kalau malas nak masak, bolehlah pilih pakej yang sediakan makanan sekali. Nak cuba aktiviti tertentu, boleh pilih pakej yang menawarkan aktiviti anda suka dan ingin cuba. Semuanya boleh diatur!
TIPS: Pastikan buat tempahan awal, terutamanya pada hujung minggu dan musim cuti.
2. White Water Rafting di Sungai Kampar
Lokasi: Sungai Kampar, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM150 – RM200 seorang (termasuk peralatan dan panduan).
Arung jeram atau white water rafting adalah antara aktiviti outdoor di Gopeng Perak yang anda tidak boleh lepaskan.
Biasanya aktiviti ini akan dilakukan di Sungai Kampar yang terletak berdekatan sahaja dengan tapak-tapak perkhemahan yang ada di Gopeng.
Sumber: Trip Advisor
Untuk yang pertama kali dan tak pernah cuba pun aktiviti arung jeram ni, jangan risau. Sungai Kampar menawarkan pengalaman arung jeram yang sesuai untuk pelbagai tahap kemahiran, daripada pemula hingga yang berpengalaman.
TIPS: Pastikan pakai pakaian yang sesuai, bawa pakaian tambahan, dan ikut arahan jurulatih dengan teliti.
3. Abseiling di Air Terjun Ulu Geruntum
Lokasi: Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM120 – RM150 seorang.
Seterusnya, aktiviti outdoor menarik yang boleh dilakukan di Gopeng Perak ialah Abseiling & River Tubing di Air Terjun Ulu Geruntum.
Abseiling merupakan aktiviti menuruni permukaan tebing atau air terjun menggunakan tali. Di Ulu Geruntum, anda akan menuruni air terjun setinggi kira-kira 10 hingga 15 meter. Sesuai tak untuk pemula? Jawapannya bergantung pada keberanian anda.
Sumber: Trip Advisor
Sebab, aktiviti ini bukan sahaja mencabar fizikal tetapi juga mental kerana anda perlu mengatasi ketakutan anda pada ketinggian tambah-tambah lagi dengan air terjun yang sejuk.
TIPS: Sentiasa patuhi arahan jurulatih, terutamanya semasa menuruni air terjun.
4. River Tubing di Sungai Kampar
Lokasi: Ulu Geruntum, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM65 – RM135 seorang.
Selain white water rafting, river tubing juga salah satu aktiviti outdoor yang popular di Sungai Kampar.
Aktiviti ini lebih santai berbanding abseiling, di mana peserta akan duduk dalam tiub getah dan menggunakan dayung untuk menggerakkan tiub tersebut. Ala-ala macam bersampan tapi tak sesantai itulah.
Perjalanan river tubing biasanya meliputi jarak antara 2 hingga 7 kilometer, melalui jeram-jeram kecil yang membuatkan jantung berdegup laju tapi memang menyeronokkanlah!
Untuk aktiviti ini, anda akan dilengkapi dengan helmet dan jaket keselamatan, dan ditemani oleh jurupandu sungai yang berpengalaman. Aktiviti ini biasanya mengambil masa sekitar 1-2 jam untuk perjalanan sepanjang 3.5 km.
Ada sebahagian penganjur akan memberikan anda sijil penyertaan setelah aktiviti selesai.
TIPS: Jangan lupa semak ramalan cuaca sebab aktiviti ini akan dibatalkan sekiranya cuaca tidak mengizinkan.
5. Cave Exploration di Gua Tempurung
Lokasi: Gua Tempurung, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM6 – RM50 seorang (bergantung pada pakej).
Sekiranya anda suka meneroka tempat unik dan penuh misteri, caving di Gua Tempurung adalah aktiviti outdoor di Gopeng yang wajib dicuba.
Sumber: YouTube Adiputra Roslan
Gua ini merupakan salah satu gua batu kapur terbesar dan tertua di Semenanjung Malaysia. Ia mempunyai struktur semula jadi yang mengagumkan seperti stalaktit dan stalagmit yang berusia jutaan tahun!
Terdapat 4 pakej lawatan yang boleh dipilih, bergantung pada tahap pengalaman dan keberanian anda, iaitu:
Golden Flowstone (40 minit): Sesuai untuk semua orang, termasuk kanak-kanak dan warga emas.
Top of the World (1 jam 45 minit): Sikit mencabar, tapi masih okay untuk kebanyakan orang.
Top of the World and Short River Adventure (2 jam 30 minit): Dah mula lasak sikit ni!
Grand Tour (3 jam 30 minit): Yang ni untuk yang betul-betul nak adventure penuh!
Untuk Grand Tour, anda berpeluang untuk merangkak dalam terowong sempit, berenang dalam sungai bawah tanah, dan meluncur atas batu licin. Memang best giler!
Bajet untuk aktiviti ni:
Golden Flowstone: RM20 (dewasa), RM10 (kanak-kanak/warga emas)
Top of the World: RM30 (dewasa), RM15 (kanak-kanak/warga emas)
Top of the World and Short River Adventure: RM40 (dewasa), RM20 (kanak-kanak/warga emas)
Grand Tour: RM50 (dewasa), RM25 (kanak-kanak/warga emas)
Untuk sebarang perubahan harga, anda boleh semak daripada masa ke semasa ya!
TIPS: Bawa lampu suluh, sarung tangan, dan kasut yang tak licin. Elakkan pergi masa musim monsun (November hingga Mac)
6. Outdoor Rainbow Slide di Himalaya Camp Malaysia
Lokasi: Himalaya Camp Malaysia, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM10 seorang untuk dua kali pusingan.
Aktiviti outdoor di Gopeng Perak yang anda kena cuba juga ialah Rainbow Slide di Himalaya Camp Malaysia.
Gelongsor ini dibina di kawasan berbukit, bukan macam gelongsor biasa ye. Ini membolehkan anda meluncur dengan laju sambil menikmati angin segar dan pemandangan persekitaran.
@ezai_my Rainbow Slide terbaik di Himalaya Camping Resort, Perak. #mohkeperak #camping #himalayacampingresort #perak #gopeng
♬ Travel & Road Trip Background_Good Vibes, Refreshing / Off-Road, Touring, Drive, Bike, Holiday, Vacation(1326776) – Ney
Slide ni buka untuk semua orang, tak kira anda menginap kat camp tu atau tak. Waktu operasi dia pun best sebab ada tiga sesi, iaitu:
Pagi: 8.30 pagi sampai 12 tengahari
Petang: 4.30 petang sampai 7 malam
Malam: 8.30 malam sampai 10.30 malam
Jadi, anda boleh pilih nak main masa bila. Nak rasa sejuk sikit, pergi waktu pagi. Nak view cantik, cuba waktu petang. Nak rasa macam kat taman tema, datang waktu malam!
Jangan lupa bawa kawan-kawan sekali. Lagi ramai, lagi meriah!
7. Glamping di Gopeng Glamping Park
Lokasi: Lot 10846 Jalan Besar Kampung Chulek, Gopeng, Malaysia, 31600
Anggaran Bajet: Bermula RM220 (Quad Tent)
Gopeng memang popular dengan aktiviti glamping ni. Ada banyak tempat yang menawarkan pengalaman glamping yang berbeza-beza. Salah satu lokasi glamping di Gopeng Perak yang terkenal ialah Gopeng Glamping Park.
Sumber: Hotelmix
Di Gopeng Glamping Park, pelbagai pilihan penginapan glamping tersedia. Semuanya dilengkapi dengan katil empuk, kemudahan elektrik, dan peralatan asas yang membuatkan pengalaman glamping lebih menyeronokkan.
Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti luar yang boleh dinikmati seperti hiking, berbasikal, ATV, arung jeram, berkayak di sungai yang berhampiran dan macam-macam lagi.
8. Rafflesia Trekking di Hutan Gopeng
Lokasi: Hutan sekitar Gopeng.
Anggaran Bajet: RM50 – RM100++ seorang.
Gopeng adalah salah satu lokasi di Malaysia di mana korang boleh tengok bunga Rafflesia, bunga terbesar di dunia. Aktiviti trekking ni bukan je seronok tapi juga memberi anda peluang untuk mendekati flora dan fauna unik.
Trekking Rafflesia di Hutan Gopeng biasanya mengambil masa sekitar 3 jam, bermula dari titik pertemuan di kawasan Gopeng sebelum meneruskan perjalanan ke Ulu Geroh.
Sebelum memulakan trek, peserta akan diberikan taklimat oleh jurupandu yang berpengalaman mengenai keselamatan dan nasihat/peringatan agar menghormati alam sekitar.
Pemandu akan membawa anda ke lokasi-lokasi terbaik untuk melihat bunga Rafflesia, yang biasanya mekar pada waktu tertentu dalam tahun.
TIPS: Pakai kasut trekking yang sesuai dan bawa air secukupnya. Dan, jangan lupa semak waktu terbaik untuk melihat Rafflesia mekar, kerana bunga ini hanya mekar untuk beberapa hari sahaja.
9. Sunset Hiking di Bukit Batu Putih
Lokasi: Bukit Batu Putih, Gopeng Perak
Anggaran bajet: RM10 – RM30 (bergantung keperluan)
Sunset Hiking di Bukit Batu Putih adalah satu lagi aktiviti outdoor yang sangat menarik bagi mereka yang ingin menikmati pemandangan indah matahari terbenam sambil bersenam.
Sumber: gopengglampingpark
Trekking menuju ke puncak bukit ini tidak dinafikan agak mencabar, namun setiap langkah yang diambil akan membawa anda lebih dekat untuk menikmati panorama indah dari atas. Lebih-lebih lagi, semasa matahari terbit!
TIPS: Pastikan anda memulakan pendakian sekurang-kurangnya 2 jam sebelum matahari terbenam untuk memberi masa yang cukup bagi anda untuk sampai ke puncak.
10. Fun ride ATV di ATV Gopeng Perak
Lokasi: 10731, Jalan Besar, Kampung Gunung Mesah Hulu, 31600 Gopeng, Perak
Anggaran bajet: Bermula dari RM80 hingga RM150 seorang (bergantung pakej)
Untuk pengalaman ATV yang menyeronokkan di Gopeng, anda boleh cuba ATV Gopeng Perak. Tempat ini menawarkan pelbagai pilihan aktiviti ATV yang sesuai untuk semua peringkat umur dan tahap kemahiran.
Sumber: Gopeng Glamping Park
Sepanjang perjalanan, anda akan menjelajahi laluan off-road yang mencabar sambil menikmati pemandangan alam semula jadi yang menakjubkan.
Aktiviti ini sangat sesuai dilakukan secara berkumpulan bersama rakan-rakan atau ahli keluarga. Dapatlah anda luangkan masa berkualiti bersama mereka sambil beraktiviti dengan penuh keseronokkan!
11. Zipline dan Flying Fox di Adeline Villa
Lokasi: Adeline Villa & Rest House, Gopeng, Perak.
Anggaran Bajet: RM80 – RM120 seorang.
Adeline Villa terkenal dengan konsep penginapan yang berasaskan alam semula jadi dan menawarkan pelbagai aktiviti luar yang seronok seperti zipline dan flying fox.
Aktiviti-aktiviti ini membolehkan anda merasai pengalaman ‘terbang’ untuk menelusuri hutan tropika yang hijau sambil menikmati pemandangan semula jadi yang mempesonakan daripada bahagian atas.
Dengan kelajuan yang cukup mendebarkan, anda berpeluang merasai nikmat ‘kebebasan’ sambil menghirup udara yang segar.
Ada banyak lagi aktiviti outdoor menarik yang ditawarkan oleh Adeline Villa. Anda boleh pilih pakej ikut bajet dan kesesuaian anda.
BACA JUGA:
12 Kafe di Ipoh – Estetik & Highly Recomended!
20+ Tempat Menarik Di Ipoh, Sesuai Untuk Percutian Santai!
Penutup
Gopeng memang destinasi terbaik untuk korang yang nak lari dari kesibukan bandar dan nikmati pelbagai aktiviti outdoor.
Dengan landskap semula jadi yang menakjubkan, aktiviti mencabar, dan penduduk tempatan yang mesra, Gopeng menawarkan pengalaman yang takkan dilupakan.
Jadi, tunggu apa lagi? Plan perjalanan korang sekarang dan nikmati keindahan Gopeng, Perak!
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/aktiviti-outdoor-di-gopeng/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=aktiviti-outdoor-di-gopeng