Zara Qairina Kronologi Perkembangan Kes Terkini
Kes buli membabitkan seorang pelajar Tingkatan 1 yang bernama Zara Qairina telah mencuri perhatian ramai pihak dengan pelbagai kontroversi.
Bermula daripada isu kecederaan misteri, desakan keluarga untuk mendapatkan keadilan sehingga tularnya hashtag #JusticeForZara di media sosial, kes ini menjadi simbol kebangkitan suara masyarakat menentang budaya buli yang masih membelenggu sekolah di Malaysia.
Zara Qairina Mahathir, murid Tingkatan Satu yang meninggal dunia pada 17 Julai 2025 selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang asrama sekolahnya di Papar, Sabah.
Berikut dikongsikan info lebih lanjut mengenai kes Zara Qairina termasuklah kronologi, bukti dakwaan buli, siasatan awal dan perkembangan terkini.
BACA JUGA: Buli, Gangguan Di Tempat Kerja Adalah Kesalahan Jenayah – Ini Cara Laporkan
Siapa Zara Qairina?
Zara Qairina Mahathir merupakan seorang pelajar Tingkatan 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah. Nama beliau mula menjadi perhatian seluruh negara selepas kematian tragis yang berlaku pada 16 Julai 2025 di kawasan sekolahnya.
Pada pagi kejadian, Zara ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah sebelum segera dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.
Beliau kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak yang dikaitkan dengan jatuhan dari tingkat tiga bangunan asrama.

Zara Qairina
Namun, pihak keluarga serta masyarakat bangkit dengan rasa curiga apabila terdapat kesan lebam dan kecederaan lain pada tubuh Zara, yang dilihat oleh ibunya sendiri ketika memandikan jenazah. Keadaan ini menimbulkan persoalan besar sama ada kematian itu benar-benar kemalangan atau berpunca daripada insiden buli dan penganiayaan serius.
Tragedi ini menggemparkan seluruh negara, sehingga mencetuskan desakan masyarakat agar kes disiasat dengan teliti dan telus.

Ibu Zara Qairina
Di media sosial, gelombang solidariti semakin kuat dengan penggunaan hashtag #JusticeForZara, yang menjadi simbol tuntutan agar keadilan ditegakkan tanpa kompromi.
Kini, nama Zara Qairina tidak lagi sekadar dikenang sebagai seorang pelajar, tetapi telah menjadi lambang perjuangan menentang budaya buli, pengabaian dan ketidakadilan di sekolah.
Kronologi Kes
16 JULAI 2025
3 pagi: Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama.
3.45 pagi: Pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kinarut, Sabah tiba untuk memberikan rawatan awal, ketika itu, Zara Qairina masih bernafas.
4 pagi: Pihak sekolah menghubungi ibu Zara Qairina untuk memaklumkan mengenai kejadian.
4.27 pagi: Mangsa dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah untuk rawatan lanjut, setibanya di hospital, doktor segera memakaikan alat bantuan pernafasan.
8 pagi: Laporan maklumat pertama dibuat seorang guru asrama mangsa.
10 pagi: Ibu mangsa tiba di hospital untuk melihat keadaan anaknya.
17 JULAI 2025
Zara Qairina menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa hampir 22 jam. Doktor mengesahkan kematian akibat kecederaan otak yang teruk.
18 JULAI 2025
Zara disemadikan di kampung halaman tanpa pemeriksaan bedah siasat post-mortem pada awalnya.
Namun, munculnya tanda lebam dan kesan yang mencurigakan pada tubuh Zara, yang tidak dipanjangkan kepada pihak polis oleh pihak sekolah pada awalnya, menimbulkan kontroversi dan desakan siasatan lebih telus.
8 & 9 OGOS 2025
Pada 8 Ogos 2025, pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan rasmi supaya kubur Zara Qairina dieksumasi.
Proses ini dijalankan pada keesokan harinya, 9 Ogos, di kawasan perkuburan Islam Kampung Air, Sipitang, Sabah dengan kawalan ketat pihak berkuasa.
Bedah siasat dilakukan selama lapan jam, dikendalikan oleh pakar patologi dan hadir bersama pasukan forensik dan pegawai polis. Proses ini dilakukan untuk memastikan sama ada terdapat unsur jenayah yang mungkin tidak dikesan sebelum ini.
11 OGOS 2025
Zara kemudiannya dikebumikan semula di tempat asal selepas 8 jam proses bedah siasat.
16 OGOS 2025
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan tarikh prosiding inkues untuk September bagi menentukan punca dan sebab kematian serta sama ada terdapat unsur jenayah.
Seramai 195 saksi dikenal pasti akan dipanggil dalam inkues.
18 OGOS 2025
Jabatan Peguam Negara mengumumkan beberapa suspek akan dituduh atas kesalahan membuli.
Lima remaja perempuan bawah umur diumumkan akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu kerana berkaitan kes buli yang dikaitkan dengan kematian Zara.
Pendakwaan ke atas suspek tersebut dijadualkan bermula pada 20 Ogos 2025.
19 OGOS 2025
Pasukan undang-undang ibu Almarhumah Zara Qairina hari ini telah memohon agar pendakwaan terhadap lima remaja yang terlibat ditangguh sementara.
Permohonan ini dibuat agar pertimbangan semula dapat dilakukan supaya lima remaja tersebut didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, bukan Seksyen 507C(1) yang asalnya dijadualkan untuk prosiding.
Pasukan undang-undang khuatir jika pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan dan mereka mengaku bersalah, lima remaja itu tidak dapat didakwa lagi di bawah kesalahan yang lebih berat kerana prinsip ‘Double Jeopardy’ dalam Perlembagaan Persekutuan.
(Perkembangan kes akan dikemaskini daripada masa ke semasa)
Gelombang #JusticeForZara
Kes kematian Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, yang berlaku pada 16 Julai 2025, telah mencetuskan satu gelombang besar dalam masyarakat Malaysia, dikenali sebagai #JusticeForZara.
Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asramanya dan kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan otak teruk.
Sumber: Bernama
Siasatan awal kes ini menemui pelbagai kontroversi. Pada peringkat awal, bedah siasat tidak dilakukan kerana permintaan keluarga yang mahu pengebumian segera.
Namun kemudiannya selepas timbul spekulasi dan desakan awam, mayat Zara digali semula untuk bedah siasat forensik yang mengesahkan terdapat kecederaan lain selain kesan jatuh.
Rakaman audio tular menunjukkan luahan hati Zara tentang buli dan gangguan oleh pelajar senior, memperkuatkan dakwaan buli yang dikaitkan dengan kematiannya.
Polis menubuhkan pasukan khas untuk menyiasat kekurangan dan ketidakpatuhan prosedur dalam siasatan awal, termasuk dakwaan cubaan menutup kes dan penglibatan pihak tertentu.
Gelombang #JusticeForZara menjadi simbol perjuangan masyarakat menuntut keadilan yang adil dan telus. Pelbagai selebriti, tokoh masyarakat, dan aktivis kesihatan tampil menyuarakan sokongan mereka, membuka mata masyarakat tentang impak buli dan perlunya perlindungan kepada pelajar.
Media sosial menjadi platform utama kesedaran dan protes, walaupun pihak berkuasa menyeru agar tiada spekulasi dan fitnah yang boleh mengganggu siasatan rasmi.

Kes ini turut membuka perbincangan lebih luas mengenai keselamatan pelajar di sekolah asrama, penguatkuasaan undang-undang buli dan kepentingan sistem sokongan psikologi bagi pelajar.
Kes kematian Zara Qairina dan gelombang #JusticeForZara menggambarkan satu transformasi sosial yang penting dalam kesedaran masyarakat Malaysia terhadap isu buli dan keperluan keadilan untuk anak-anak muda.

Gelombang #justiceforZara
Pengesahan Post Mortem Zara Qairina
Post mortem terhadap Zara Qairina telah mengesahkan bahawa beliau meninggal dunia disebabkan jatuh dari tempat tinggi, iaitu dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya.
Kecederaan yang paling serius adalah pada otak, di mana beliau mengalami kecederaan otak yang sangat teruk serta hypoxic-ischaemic encephalopathy (kecederaan otak akibat kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak).
Keterangan ini disahkan melalui dua peringkat:
Pertama, oleh doktor di hospital ketika rawatan awal selepas insiden berlaku yang mengesahkan kecederaan otak sebagai punca kematian.
Kedua, melalui laporan post mortem forensik yang dijalankan oleh empat pakar patologi termasuk seorang pakar forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Selangor (Dr. Khairul Anuar Zainun) selepas mayat Zara digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara.
Proses post mortem ini dijalankan secara telus dan rapi dengan kehadiran peguam keluarga serta pegawai polis sebagai pemerhati.
Hasil post mortem turut mengesahkan terdapat kecederaan lain pada tubuhnya yang konsisten dengan kesan jatuh dari ketinggian, membantah dakwaan awal bahawa kematian hanya disebabkan kemalangan biasa.
Kes ini kini dalam proses siasatan lanjut dan prosiding inkues akan dijalankan untuk menentukan sepenuhnya punca dan keadaan kematian Zara Qairina.
Prosiding Inkues Zara Qairina
Maksud Prosiding Inkues
Prosiding inkues adalah satu siasatan rasmi yang dijalankan oleh Mahkamah Koroner untuk menentukan punca dan sebab kematian seseorang, terutama dalam kematian yang luar biasa, mengejutkan, atau mencurigakan.
Tujuan utama prosiding inkues bukan untuk mencari siapa yang bersalah, melainkan mendapatkan fakta mengenai bagaimana, bila, di mana, dan apa yang menyebabkan kematian tersebut.
Prosiding ini biasanya dijalankan apabila kematian berlaku dalam keadaan yang tidak diketahui puncanya, kematian tidak semula jadi, kematian dalam tahanan, atau tiada sijil kematian perubatan dikeluarkan. Siasatan akan melibatkan pemeriksaan bedah siasat, keterangan saksi, dan bukti lain.
Koroner akan membuat keputusan apakah kematian itu disebabkan oleh kematian semula jadi, kemalangan, pembunuhan, bunuh dir atau keputusan terbuka jika bukti tidak mencukupi.
Prosiding Inkues Untuk Zara Qairina

Prosiding Inkues Untuk Zara Qairina (Sumber: Marhamah Rosli)
Dalam konteks kes Zara Qairina, Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan supaya prosiding inkues dijalankan bagi menyiasat punca kematiannya secara bebas dan telus.
Ini bertujuan mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebab lain yang membawa kepada kematian Zara.
Prosiding inkues akan membolehkan saksi dipanggil memberi keterangan, di mana keluarga juga berperanan sebagai pihak berkepentingan khas yang boleh mendapatkan maklumat dan memberi soalan semasa prosiding.
Prosiding inkues ini sangat penting dalam kes Zara Qairina kerana ia memastikan adanya siasatan mendalam dan keputusan rasmi yang memadai mengenai punca kematian serta memberikan peluang bagi keadilan dilaksanakan secara berterusan.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan prosiding pada:
3-4 September 2025
8-12 September 2025
17-19 September 2025
22-30 September 2025
Tindakan Undang-undang & Perkembangan Siasatan Terkini Kes Zara Qairina
Setakat ini, Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar mengesahkan 5 remaja bawah umur akan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu pada 20 Ogos 2025.
Kesemua mereka akan didakwa mengikut seksyen 507c (1) Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menggunakan/membuat apa-apa perkataan/komunikasi yang mengancam, kesat/menghina.

Perkembangan Kes Zara Qairina
Walaubagaimanapun, pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina memohon agar pendakwaan tersebut ditangguh sementara untuk membolehkan siasatan lanjut diselesaikan.
Mereka mendakwa pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) terlalu ringan dan tidak setimpal dengan tragedi yang berlaku.
Mereka juga bimbang jika pendakwaan diteruskan dan tertuduh mengaku bersalah, prinsip ‘Double Jeopardy’ akan menidakkan kemungkinan pendakwaan atas kesalahan yang lebih berat di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan pada masa hadapan.
Seksyen 507D(2) memperuntukkan hukuman denda atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, memberikan ruang untuk tindakan yang lebih tegas jika dibuktikan.

Kenyataan Media yang dikongsikan oleh pasukan undang-undang ibu Almarhumah Zara Qairina
Peguam Negara menegaskan pendakwaan akan diteruskan mengikut Seksyen 507C(1) berikutan bukti yang ada dan bagi memastikan proses keadilan berjalan lancar tanpa mengganggu prosiding inkues kematian Zara Qairina yang juga telah ditetapkan bermula September 2025.
Pendakwaan dan inkues diuruskan secara berasingan dan tidak bertindih dalam prosedur mahkamah.
Mahkamah Koroner Kota Kinabalu menetapkan 3 September 2025 ini untuk prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Zara Qairina.

Kenyataan Media Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan penangguhan pendakwaan oleh pasukan Zara Qairina
Keseluruhan siasatan sedang dijalankan secara telus dengan kawalan ketat dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman bagi memastikan tiada pegawai polis yang terlibat dalam ketidakpatuhan prosedur akan terlepas tindakan.
BACA JUGA: Buli Di Sekolah: Definisi, Contoh, & Pengendalian Aduan
Laungan “Kami Benci Buli” di Sekolah
Fadhlina Sidek menegaskan bahawa kes kematian Zara Qairina menjadi perhatian utama KPM dan kementerian komited memastikan kebenaran dan keadilan ditegakkan.
Pengetua dan guru besar diwajibkan melaksanakan laungan “Kami Benci Buli” sebelum dan selepas sesi persekolahan untuk menanamkan rasa benci terhadap gejala buli dalam kalangan pelajar.
KPM turut menambah baik ciri keselamatan sekolah seperti pemasangan CCTV dan peningkatan bilangan warden asrama, dengan kerjasama guru, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta komuniti setempat.
Selain itu, KPM akan memperkukuh latihan bagi pentadbir, guru, dan warden meliputi pengurusan emosi pelajar, intervensi krisis dan tatacara pengendalian aduan buli secara profesional.
Isu buli ini mendapat perhatian serius dan mendorong pelbagai usaha reformasi di sekolah bagi membendung budaya buli serta memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar.
Langkah laungan “Kami Benci Buli” di sekolah di bawah inisiatif KPM ini merupakan usaha untuk membina kesedaran dan budaya anti-buli yang lebih kukuh dalam kalangan pelajar, sebagai respons kepada kes tragis yang menimpa Zara Qairina.
Sumber:
Bernama
Astro Awani
Facebook Liyana Marzuki
Facebook Marhamah Rosli
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/zara-qairina/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=zara-qairina