Zahid Pesan Terus Duduk Luar Salim Tegas Tetap Setia Dengan Umno
Bekas ketua Umno Jempol Salim Sharif digantung keahlian enam tahun pada Januari 2023 kerana didakwa mensabotaj calon parti pada PRU15.
PETALING JAYA: “Saya tetap sabar dan setia dengan Umno,” tegas bekas Ahli Parlimen Jempol Salim Sharif walaupun Presiden Zahid Hamidi berkata mereka yang ‘keluar sekejap’ atau dipecat parti boleh terus ‘duduk di luar selama-lamanya’.
Salim tidak dicalonkan semula di Parlimen Jempol pada PRU15, sebaliknya digantikan dengan timbalannya, Shamshulkahar Deli yang menang dengan majoriti 5,857 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Bekas ketua Umno Jempol itu kemudian digantung keahlian enam tahun pada Januari 2023 kerana didakwa mensabotaj calon parti, yang menurutnya, suatu dakwaan tidak berasas dan tidak benar.
Beliau kemudian membuat rayuan terhadap penggantungan keahliannya yang sehingga kini masih belum diluluskan.
“Sehingga hari ini, saya tetap dengan Umno dan masih menunggu khabar gembira. Biarlah masa menentukan, jika saya masih diperlukan untuk bersama Umno, saya ada di sini,” katanya kepada FMT.
“Lebih baik diterima kembali (ahli setia). Politik ini mungkin ada langkah atau komen yang tidak disukai pihak tertentu, tetapi akhirnya pendirian orang itu yang sangat penting… kalau tetap, tetaplah.”
Terdahulu, dalam program audio siar TV3, Zahid berkata, mereka yang telah meninggalkan parti boleh terus ‘duduk di luar selama-lamanya’, manakala yang masih kekal perlu menunjukkan taat setia kepada pimpinan parti.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata, tidak guna jika Umno mempunyai ahli paling ramai tetapi menjadi ‘buih di lautan’.
Selain Salim, pemimpin yang turut digantung enam tahun terdiri daripada Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein; bekas ketua penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan; dan bekas ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang.
Bekas ketua Umno Selangor Noh Omar dan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin pula dipecat daripada parti.
Mengulas lanjut, Salim yang juga bekas pengerusi Risda berkata, dalam perjuangan politik, perbezaan pendapat ialah perkara biasa, namun ia tidak membuktikan seseorang itu tidak setia kepada parti.
“Kalau nak pergi mana-mana (parti), saya dah pergi dah, tetapi sehingga hari ini, dah dua tahun lebih, saya tetap di sini (tidak masuk mana-mana parti).
“Keluar sekejap ke rehat sekejap ke, mereka ini mempunyai pandangan berbeza tetapi DNAnya Umno. Apabila sehingga kini, tidak beralih kepada mana-mana parti, maksudnya masih setia dengan Umno.
Salim kini aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan di Parlimen Jempol walaupun tidak lagi bergelar wakil rakyat. - FMT
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2025/02/zahid-pesan-terus-duduk-luar-salim.html