Yang Di Pertuan Agong Mencemar Duli Tinjau Rumah Di Baik Pulih Di Bina Baharu Di Pekan
PEKAN - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli meninjau rumah yang dibaik pulih dan dibina baharu di tanah kesultanan di sini pada Rabu.
Ketibaan Seri Paduka Baginda pada kira-kira jam 10.50 pagi di Kampung Permatang Pauh disambut Pegawai Daerah Pekan, Datuk Zaliza Zulkipli dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Datuk Ahmad Hairi Hussain.
Selain Kampung Permatang Pauh, Seri Paduka Baginda turut berkenaan berangkat dan meluangkan masa bersama pemilik rumah di Kampung Parit Engku Dato dan Kampung Padang Polo serta menyampaikan sumbangan peribadi kepada kesemua mereka.
Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang turut diberikan taklimat ringkas oleh pihak kontraktor terlibat, Platinum Victory yang menjalankan kerja-kerja membaiki dan membina rumah berkenaan sebagai program tanggungjawab sosial korporat syarikat.
Pengarahnya, Shaik Ahmad Sufian Shaik Kamal Farid berkata, program hari ini melibatkan penyerahan empat rumah yang dibaiki dan sebuah rumah yang dibina baharu di daerah Pekan.
“Secara keseluruhan di tanah Pekan kami mempunyai 38 rumah untuk dibaiki termasuk sembilan dibina baharu dan hari ini kami serahkan lima yang telah siap kepada pemilik masing-masing.
“Rumah-rumah yang terlibat kebanyakan yang telah uzur dan mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung atau lantai, jadi kami baiki dan cat semula rumah mereka,” katanya.
Sementara itu, Syed Mohd Ariffin Syed Hussin, 52, yang menetap di Kampung Padang Polo, di sini bersyukur dan teruja apabila kediamannya yang usang telah dibaik pulih, dan kini lebih selesa untuk didiami berbanding sebelum ini.
Beliau yang menetap di rumah berkenaan sejak kecil berkata, proses keseluruhan baik pulih mengambil masa lebih dua bulan dan hasilnya amat memuaskan untuk mereka sekeluarga.
"Bahagian depan rumah kami dirobohkan dan dibina baharu manakala seluruh rumah turut dicat, sangat seronok, ia seolah-olah kami dapat sebuah rumah yang baharu. Kami turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat sepanjang proses pembinaan ini dan menjunjung kasih atas keprihatinan Seri Paduka Baginda yang turun padang melawat rumah kami," katanya.
Warga emas, Syed Omar Syed Mohamad, 72, berkata, beliau terlalu gembira selepas mendapat kediaman baharu memandangkan keadaan rumah kayunya yang didiami sejak puluhan tahun lepas itu sudah terlalu uzur.
"Syukur sangat kini saya dapat rumah batu dan dilengkapi dua bilik tidur selain lantai mozek, tak sangka di usia sebegini saya mendapat penghargaan bantuan sebesar ini,” katanya. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2021/11/yang-di-pertuan-agong-mencemar-duli.html