Yakin Menang Lebih 60 Kerusi Punca Pkr Tolak Tun Mahathir
Menerusi sesi Facebook live, Presiden PKR Anwar Ibrahim beberapa kali menolak cadangan Opsyen 2, menetapkan Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri (PM) selama 6 bulan dan Anwar menjawat Timbalan Perdana Menteri (TPM).
Sesi live ke udara hampir setiap hari itu sering kali dipenuhi sindiran-sindiran tajam Anwar ke atas Tun yang didakwa mempunyai muslihat untuk tidak menyerahkan kuasa buat kali kedua sekiranya dilantik sebagai PM ke 9.
Kepada Pakatan Harapan (PH) pula, kerap Anwar mengingatkan para pimpinan utama jangan terpengaruh pujukan Tun Mahathir yang mungkin akan memecahbelahkan PH.
Shafie calon PM 9
Serangan dan kebuntuan berhubung isu siapa PM itu memunculkan idea baharu dari Tun mencalonkan nama Presiden Warisan, Shafie Apdal sebagai PM dari Malaysia Timur. Pencalonan itu jelas menambah ketidakpuasan hati Anwar.
Kunjungan hormat Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng minggu lalu juga tidak merobah sedikit pun pendirian Anwar. Sebaliknya dalam sesi FB semalam, Anwar seolah-oleh memberi amaran jika mahu meneruskan kerjasama dalam PH maka lebih baik para sekutunya melupakan terus Tun Mahathir.
“Saya tegaskan dengan rakan-rakan dalam PH kalau mahu kita bersama mesti kekal dengan landasan perjuangan. Kalau mahu bersama maka semangat dalam PH itu jangan dirungkai.
“Jangan terdesak, bergantung kepada dahan yang rapuh yang kemudian akan menikam kita sebagaimana yang telah berlaku sebelum ini,” katanya.
Bunyinya tampak keras, jika terdesak sangat untuk mendapatkan kuasa bersama sekutu Tun maka PH akan ‘goyang’. Bagi Anwar perjuangan membela rakyat wajib diutamakan dan satu permulaan baharu mesti diusahakan.
Rakyat tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Anwar berada pada tahap melampaui keyakinan munasabah sehingga memberi arahan kepada komponen PH untuk bersamanya menentang Tun Mahathir?
Sekiranya ditinjau analisis agensi kajian pendapat seperti EMIR Research dan beberapa agensi lain, PH hampir pasti akan tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 sekiranya berlaku dalam tahun 2020. Kajian menunjukkan tahap kepuasan hati rakyat meningkat selepas kerajaan PN berjaya menyelamatkan nyawa 30 juta warganegara daripada dijangkiti wabak Covid 19.
Begitu juga tinjauan ke atas penduduk di luar bandar, rata-rata kaum Melayu (60% pengundi) gembira prestasi kerajaan Muhyiddin kerana menghulur ribuan ringgit nilai bantuan per keluarga sepanjang tempoh PKP yang lalu. Apatah lagi kemungkinan besar PN akan memasuki PRU 15 mengunakan simbol BN dan Pas. Malah GPS juga bersetuju menggunakan lambang BN.
Itu belum diambil kira PN yang dipenuhi menteri BN merancang penipuan undi sebagaimana PRU 13 lalu. Jadi apakah yang meyakinkan Anwar bahawa PH akan selamat merempuh tsunami Melayu dalam PRU 15?
Perjanjian dengan Muhyiddin
Pada awalnya DAP dan AMANAH curiga kemungkinan Anwar mempunyai perjanjian sulit dengan Muhyiddin dan mahu membentuk kerajaan bersama puak Bersatu yang belot pada Februari lalu. Namun logik alasan itu terbantut kerana Anwar tidak memulakan sebarang usaha memujuk komponen PH untuk bersamanya. Sekiranya beliau mahu PKR sahaja diserap ke dalam kerajaan PN, tiada pula petunjuk-petunjuk jelas Anwar cuba meyakinkan paksi yang alergi kepada Umno dan Pas dalam PKR berkongsi idea tersebut.
Oleh kerana tidak mahu penyokong PH terlalu berspekulasi maka para pemimpin AMANAH dan DAP mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak setuju sekiranya pembentukan kerajaan baharu melibatkan para pengkhianat. Mereka hanya bersetuju bersama pimpinan yang mendapat mandat rakyat pada PRU 14 lalu.
Bagaimanapun Anwar tidak juga meredakan serangannya ke atas Tun dan sindiran kepada pemimpin dua komponen PH. Oleh itu, tanda tanya semakin meluas mengapakah Anwar begitu yakin?
Tentu sekali sesiapa yang waras bersetuju bahawa perjuangan beliau untuk membela kelompok B40 dan mahu konglomerat besar berkongsi keuntungan dengan rakyat ketika pandemik ekonomi adalah politik yang murni. Namun untuk memadankan dengan real politik Malaysia, hal itu sangat sukar. Terutama konglomerat dan taikun-taikun adalah legasi BN. Mereka ini juga yang berkonspirasi menyumbat beliau bertahun-tahun ke dalam penjara dengan tuduhan liwat dan korupsi.
Pada sisi lain, selepas 2018 DAP dan AMANAH mempunyai sudut pandang baharu, iaitu segala-galanya tidak boleh dilakukan secara paksa atau segera tetapi perlu pendekatan mengambilalih kuasa terlebih dahulu untuk beransur-ansur menjinakkan kelompok taikun. Sebarang usaha yang tidak mengikuti formula itu dianggap utopia dan tidak akan berhasil.
Malah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar yang sering bergelut dengan tinjauan arah sokongan rakyat turut mengingatkan PH baru-baru ini betapa perlu mengubah strategi mendepani PRU 15.
Beliau berkata, realitinya PRU 14 PH bertanding tiga penjuru tetapi dalam PRU 15 mereka menghadapi Muafakat Nasional. Dalam erti kata lain beliau memberi petunjuk bahawa PH akan kalah jika kekal dengan slogan utopia yang dilaung-laungkan sejak PRU 1999 tetapi tidak pernah berjaya merebut kuasa sehinggalah ‘bapa kapitalis’ Dr Mahathir membantu.
Analisis kekuatan luar biasa
Merungkai misteri keyakinan luar biasa ini, terdapat sumber-sumber yang rapat dengan PKR mendakwa kumpulan pemikir yang hampir kepada presiden parti itu telah dibentangkan analisis big data yang meyakinkan baru-baru ini. Analitik (analytics) tersebut didakwa mengesahkan PKR secara bersendirian akan menang lebih 60 kerusi Parlimen sekiranya PRU diadakan pada 2020. Angka ini jika dicampurkan dengan kerusi DAP 42 dan Amanah 11 maka melebihi 112. Bermakna PH boleh membentuk Kerajaan Persekutuan yang baharu.
Mungkin analisis inilah yang membuat pasukan Anwar yakin rakyat berada di samping mereka dan ternanti-nanti untuk menguburkan PN dalam PRU 15.
Bagaimanapun, sekiranya benar terdapat analisis sedemikian yang mempengaruhi pimpinan maka analisis big data di Malaysia mempunyai kelemahan tersendiri. Invoke pada 2016 – 2018 sering membuat analisis seperti itu namun hasilnya hanya ‘menjadi’ di Pantai Barat, tidak di Pantai Timur Semenanjung. Misalnya analisis awal Invoke mendapati Pas tidak menang satu kerusi Parimen pun di Kelantan dan Terengganu. Analisis hampir PRU pula menyebut kerusi Pas kurang daripada 5. Namun hakikatnya Pas mendapat 18 kerusi.
Kaedah analitik menyedut kecenderungan rakyat membicarakan isu politik di media sosial. Apakah carian utama mereka di internet. Maklumat tersebut diolah dan menghasilkan statistik arah tuju politik rakyat. Masalahnya Pas menang di kawasan yang capaian internet bermasalah. Big data tiada maklumat pengundi yang tidak berbicara politik di internet tetapi mengundi dalam PRU. Maka kaedah sampling sebagaimana yang dilasanakan oleh Ilham Centre lebih tepat dalam senario politik Malaysia.
Masalahnya, andai kumpulan pimpinan sekeliling Anwar yakin dengan data analitik tersebut dan berada dalam ilusi bahawa PH akan menang 120 kerusi. Hakikatnya analisis big data perlu disesuaikan dengan data-data dari agensi penilai sokongan lain agar ianya logik. Sekiranya big data digunakan sebagai solusi tunggal maka keadaan sebaliknya akan berlaku dalam PRU 15.
Ambil tanggungjawab
Bagi pemimpin PKR, jika kalah mungkin mereka memberi alasan rakyat telah membuat keputusan dan PH perlu menerima. Namun bagi sekutu yang sama-sama berkorban tidak membentuk kerajaan kali kedua bersama Tun Mahathir tentunya mereka terkilan.
Oleh itu, mesyuarat Majlis Presiden PH esok perlu bergerak di atas landasan yang logik. Sekiranya PKR mempunyai data menang 120 kerusi maka analisis itu perlu dibentang dan dibincangkan dengan teliti. Keputusan tidak boleh dibuat secara satu sumber dan keyakinan beberapa orang pemimpin, sebaliknya cara terbaik adalah melalui konsensus serta pelbagai sumber rujukan.
Sekiranya PH kalah PRU 15 maka mereka perlukan 5 tahun untuk mengambil semula pemerintahan negara. Berapa banyak kerosakan yang akan dilakukan jika BN kembali berkuasa? Bukankah mengelakkan rakyat dari didera BN juga merupakan salah satu tiang seri perjuangan PH selama ini?
Sekiranya berhalangan melaksanakan perjuangan secara keseluruhan maka ketepikan utopia, ambillah pendekatan berubah secara beransur-ansur. Kata-kata hikmat dari pimpinan Pas terdahulu seperti Nik Aziz dan Fadzil Noor wajar dijadikan panduan: ‘Jika tidak dapat kesemuanya, jangan tinggalkan kesemuanya’
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://suarapakatandaily.com/archives/28604