Waktu Solat Aidil Adha Bila Waktu Sesuai Untuk Bertakbir
Waktu Solat Aidil Adha & Bila Waktu Sesuai Untuk Bertakbir?
Tidak lama lagi umat Islam seluruh dunia bakal menyambut Hari Raya Aidil Adha, iaitu pada 10 Dzhulhijjah.
Hari Raya Aidil Adha adalah merupakan salah satu perayaan terpenting dalam Islam bagi memperingati kisah Nabi Ibrahim bersama putranya, Nabi Ismail. Allah SWT menguji keimanan Nabi Ibrahim dengan perintah untuk menyembelih putranya, Nabi Ismail.
Melihat ketakwaan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail, Allah SWT menggantikan Nabi Ismail dengan seekor haiwan ketika Nabi Ibrahim hendak menyembelihnya. Kemudian, daging haiwan sembelihan tersebut dikongsikankan kepada orang-orang muslim.
Selain itu, Hari Raya Aidil Adha juga dikenali sebagai Hari Raya Haji. Hal ini kerana, ia bertepatan dengan pelaksanaan ibadah Haji. Sehari sebelumnya, iaitu pada 9 Dzulhijjah jemaah haji akan melaksanakan wukuf di Padang Arafah.
BACA JUGA: Salam Aidil Adha: Tarikh Hari Raya Korban 2024 & 30 Contoh Ucapan
Waktu Solat Aidil Adha
Solat Sunat Aidil Adha ditunaikan pada 10 Dzulhijjah, iaitu antara ketika mula terbit matahari sekadar segalah hingga tergelincirnya matahari.
Disunatkan untuk tidak mengambil sarapan sebelum menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya, katanya:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَا يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ حَتَّى يَطْعَمَ وَلَا يَطْعَمُ يَوْمَ الْأَضْحَى حَتَّى يُصَلِّي
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW tidak keluar ke tempat solat pada Aidilfitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu. Dan baginda tidak makan pada Aidiladha sehinggalah baginda solat terlebih dahulu.”
(HR at-Tirmidzi, hadis sahih)
Bila Waktu Sesuai Untuk Bertakbir?
Merujuk laman sesawang Mufti WP, terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri.
Pada Hari Raya Aidiladha, waktu Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah.
Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
NOTA:
Takbir Muqayyad – Perlaksaanan takbir ini terikat dengan perlaksanaan solat-solat maktubah (solat fardhu lima waktu).
Oleh itu, apabila masuk waktu bertakbir Hari Raya Aidiladha, kita disunatkan untuk bertakbir selepas setiap kali solat fardhu.
Takbir Muqayyad ini hanya berlaku bagi Hari Raya Aidiladha dan tidak disunatkan pada malam Hari Raya Aidilfitri melainkan Takbir Mursal (perlaksanaannya tidak terikat dengan waktu solat) lebih ditekankan bagi Aidilfitri.
Lafaz Takbir Hari Raya Aidil Adha
Daripada Saiyiduna Ibn Abbas R.Anhuma bahawa dia bertakbir bermula Subuh Hari Arafah sehingga akhir Hari Nafar, dan tidak pada waktu Maghrib, tiga kali dengan lafaz berikut:
اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ اللهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ اللهُ أَكْبَرُ وَأَجَلُّ اللهُ أَكْبَرُ عَلَى مَا هَدَانَا
Imam al-Nawawi menyebut dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (2/81) bahawa Syeikh Ibn Sibagh, pengarang kitab al-Syamil bahawa tiada masalah untuk bertakbir dengan cara kebiasaan manusia, sebanyak tiga kali, seperti lafaz berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ
Maksudnya: “Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada sembahan yang benar melainkan Allah, dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan untuk Allah segala pujian.”
Disunatkan untuk ditambah selepas itu lafaz berikut:
اللَّهُ أَكْبَرُ كَبِيرًا وَالْحَمْدُ لِلَّهِ كَثِيرًا وَسُبْحَانَ اللَّهِ بُكْرَةً وَأَصِيلًا لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَلَا نَعْبُدُ إلَّا إيَّاهُ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ [ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ ] [5] وَهَزَمَ الْأَحْزَابَ وَحْدَهُ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَاَللَّهُ أَكْبَرُ [ اللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّهِ الْحَمْدُ]
Maksudnya:
“Allah Maha Besar dengan sebenar-benar Kebesaran-Nya, dan pujian bagi Allah sebanyaknya. Maha suci Allah di waktu pagi dan petang. Tiada Tuhan melainkan Allah dan tidaklah kami menyembah melainkan-Nya dengan tulus ikhlas menuruti Agama-Nya, sekalipun dibenci oleh orang kafir. Tiada Tuhan melainkan Allah sahaja. Dia membenarkan janjinya, membantu hambanya dan memuliakan tenteranya serta mengalahkan pakatan tentera Ahzab secara bersendirian. Tiada Tuhan melainkan Allah. Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala pujian”
Sumber:
IRSYAD AL-FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE- 20 : KAIFIAT DAN WAKTU TAKBIR HARI RAYA AIDILADHA – Mufti WP
BAYAN LINNAS SIRI KE-110 : KELEBIHAN HARI ARAFAH DAN HARI RAYA AIDILADHA – Mufti WP
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://ecentral.my/waktu-solat-aidil-adha/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=waktu-solat-aidil-adha