Video Ajak Turun Ke Jalan Pemimpin Otai Reformis Beri Keterangan
M Fakhrull Halim
Timbalan  Pengerusi Otai Reformis 1998, Mustapa Mansor memberikan keterangan di  Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini berhubung  rakaman video yang dimuat naik di Youtube bulan lepas.
Bercakap  kepada pemberita kira-kira jam 2.30 petang tadi sebelum masuk memberikan  keterangan, Mustapa memaklumkan beliau dihubungi unit siasatan Bukit  Aman petang semalam.
Dalam video yang dimuat naik tiga hari  sebelum sidang parlimen pada 18 Mei lalu, Mustapa menggesa agar mandat  rakyat ditentukan menerusi parlimen dan sekiranya tidak, rakyat akan  bangkit menyatakan pendirian mereka di jalan raya.
Untuk rekod,  sidang parlimen selama sehari itu hanya mendengar titah Yang di-Pertuan  Agong tanpa melibatkan sebarang urusan lain, termasuk usul kerajaan  mahupun pembangkang. 
Ia  sekali gus menutup pintu untuk sebarang usul undi tidak percaya  terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang menerajui kerajaan  Perikatan Nasional (PN) selepas tercetusnya krisis politik Februari  lalu.

Pihak  pembangkang dari Pakatan Harapan (PH) dan beberapa ahli Bersatu yang  dipertikaikan, menuntut majoriti PN ditentusahkan menerusi undian di  parlimen. 
Mengulas hal itu, kata Mustapa, kenyataan yang  dibuatnya dalam video itu adalah berdasarkan kenyataan Dr Mahathir  Mohamad pada pagi 1 Mac lalu, yang memberitahu memiliki akuan bersumpah  daripada 114 ahli parlimen.
Menurut Mustapa, pengumuman itu menafikan majoriti yang didakwa dimiliki Perikatan Nasional (PN).
Dalam  videonya, beliau juga mendakwa menyokong kenyataan bekas menteri  pertahanan, Mohamad Sabu mengenai kemungkinan kembali ke jalan raya jika  soal majoriti tidak dapat ditentukan di parlimen.
'Kali ini semua bangsa akan turun ke jalan'
Disoal  mengenai hal itu, Mustapa berkata rakyat berhak menggunakan apa saja  cara yang dibenarkan undang-undang, termasuklah perhimpunan secara aman.  
"Kami berkeyakinan, sekiranya tiada solusi melalui parlimen, rakyat berhak untuk turun ke jalan. 
"Kalau kali ini, bukan Melayu saja, tapi semua bangsa akan turun ke jalan sebab tak ada pilihan. Mana ada pilihan? 

"Rakyat  tak mahu dicemuh, dicaci, dihina dan sebagainya. Padahal kalau  katakanlah dibuat secara baik di parlimen, apa salahnya? Tak ada  salahnya di situ," katanya di hadapan kira-kira 30 orang yang hadir  memberikan sokongan tadi.
Mustapa turut menyoal penyokongnya yang  hadir, apakah pilihan mereka sekiranya isu majoriti tetap tidak dapat  diselesaikan dalam sidang parlimen Julai nanti.
"Ke jalan raya!" jawab rata-rata penyokong yang mengiringinya. 
Mustapa  dilihat masuk ke IPD Dang Wangi kira-kira jam 3 petang dan difahamkan  hanya keluar dari bangunan IPD pada jam 4.35 petang, setelah lebih sejam  memberikan keterangan. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/06/video-ajak-turun-ke-jalan-pemimpin-otai.html