Vaskin Yang Ditunggu Tunggu Akhirnya Tiba Di Bumi Malaysia
Vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu untuk melindungi penduduk di Malaysia, selamat tiba apabila pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi ini.
Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi.
Dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 bagi membawa vaksin COVID-19 tersebut.
Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.
Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.
Selesai proses pemindahan, trak syarikat logistik itu diiringi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk ke lokasi penyimpanan vaksin yang ditetapkan sebagai langkah keselamatan.
Perjalanan vaksin itu dari kilang Pfizer di Belgium telah diuruskan oleh syarikat farmaseutikal itu dan DHL, peneraju dalam industri logistik, melalui perjanjian di peringkat global.
Vaksin itu berlepas dari Puurs, Belgium dan transit di lapangan terbang di Jerman iaitu Leipzig Halle Airport, sebelum meneruskan perjalanan ke Singapura untuk pengedaran ke negara-negara Asia Pasifik lain termasuk Malaysia.
Kementerian Kesihatan (KKM) mewakili kerajaan Malaysia telah memeterai perjanjian dengan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd pada 11 Jan lepas (2021) untuk pembelian vaksin Pfizer-BioNTech itu, setelah memulakan perbincangan pada penghujung tahun 2020.
Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin pertama yang memperoleh kelulusan bersyarat daripada Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) pada 8 Jan lepas.
Ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 itu merancakkan momentum Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan iaitu program vaksinasi terbesar di negara ini yang akan bermula 26 Feb ini.
Program imunisasi itu dibahagikan kepada tiga fasa dengan yang pertama bermula 26 Feb hingga April 2021, melibatkan petugas barisan hadapan sektor awam dan swasta serta pertugas dalam perkhidmatan penting dan pertahanan serta keselamatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos 2021, bagi baki petugas kesihatan serta dalam perkhidmatan penting dan pertahanan, kumpulan berisiko tinggi iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Fasa ketiga pula bermula dari Mei 2021 hingga Februari 2022, untuk golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara, dengan keutamaan kepada mereka yang berada dalam zon merah, diikuti zon kuning dan hijau.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menawarkan diri untuk menerima suntikan vaksin berkenaan pada hari pertama pelaksanaan program itu pada 26 Feb, bersama-sama petugas barisan hadapan.
Program vaksinasi terbesar dengan tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ adalah strategi kerajaan untuk memastikan sebanyak mungkin penduduk di Malaysia menerima vaksin COVID-19 bagi menyelamatkan nyawa.
Sejak pandemik itu dilaporkan di Malaysia pada 25 Jan 2020, sebanyak 1,051 kes kematian dilaporkan di negara ini akibat COVID-19 setakat Sabtu (20 Feb). Virus itu dilaporkan telah menjangkiti 280,272 orang, dengan 244,753 orang telah sembuh.
– Bernama
The post Vaskin yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba di bumi Malaysia appeared first on MYKMU.NET.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2021/02/21/vaskin-yang-ditunggu-tunggu-akhirnya-tiba-di-bumi-malaysia/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=vaskin-yang-ditunggu-tunggu-akhirnya-tiba-di-bumi-malaysia