Vaksin Kawalan Pergerakan Kendiri Kini Pertahanan Utama Lawan Covid 19
MALAYSIAKINI 
Suntikan  vaksin dan kawalan pergerakan kendiri, adalah pertahanan utama dan  penting bagi setiap rakyat ketika ini dalam usaha untuk melumpuhkan  penularan COVID-19 yang dilihat kembali memuncak sejak awal April lepas.
Presiden  Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal  Ariffin Omar berkata dua tindakan itu harus dilaksanakan dan digembleng  bersama-sama oleh semua pihak, untuk memastikan negara mampu melandaikan  semula lekuk penularan wabak maut itu.
Beliau berkata pelaksanaan  vaksinasi ketika ini perlu ditambah baik agar lebih sistematik  merangkumi proses pendaftaran dan penerimaan suntikan, selain  memaksimumkan keupayaan fasiliti kesihatan awam serta swasta untuk  mempercepatkan proses pelalian kepada kira-kira 10 juta rakyat yang  berdaftar bagi Program Imunasi COVID-19 Kebangsaan.
"Apabila  bekalan vaksin kembali stabil, kerajaan perlu tingkatkan pembabitan  sektor kesihatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan  untuk bersama-sama melaksanakan suntikan kepada rakyat di semua jenis  fasiliti kesihatan.
“Saya fikir semua pihak bersedia untuk bantu  KKM, malah kita mungkin boleh pertimbangkan untuk laksanakan proses  suntikan sepanjang hari atau 24 jam, agar lebih ramai rakyat disuntik,"  katanya dihubungi Bernama, baru-baru ini.
Dr Zainal Ariffin  berkata pendekatan lain ialah pemvaksinan di kawasan panas seperti di  lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selain ruang  penambahbaikan sentiasa wujud dengan kerajaan perlu meneliti semula  perancangan sebelum ini yang mungkin tidak lagi sesuai dengan keperluan  semasa.
"Jika kita lihat sambutan rakyat mendaftar vaksin di  MySejahtera serta pendaftaran sukarela vaksin AstraZeneca, jelas  menunjukkan ramai mahukan vaksin dan ini isyarat kepada kerajaan untuk  percepatkan proses vaksinasi," katanya.
Selain itu, Dr Zainal  Ariffin turut mencadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) meneliti  semula prosedur operasi standard (SOP), agar lebih sesuai mengikut  keperluan dan mengambil kira ciri-ciri virus yang kini sudah bermutasi  dan wujud varian of concerns (VOC) yang lebih mudah merebak.
Beliau  berkata selain penguatkuasaan SOP had masa operasi sektor ekonomi,  kawalan jumlah pergerakan orang keluar rumah perlu dilaksanakan seperti  membenarkan hanya seorang atau dua ahli keluarga keluar untuk aktiviti  harian dan urusan penting.
"Terdapat kajian yang mendapati  penyebaran COVID-19 juga berlaku secara bawaan udara (airborne) selain  rembesan cecair (droplets), justeru itu penting untuk rakyat sedar dan  patuh kepada amalan 'elak 3 S' iaitu jangan sembang dekat, elak kawasan  sesak dan ruang sempit.
"Sebelum nak keluar rumah, semak dahulu  keadaan jangkitan wabak di kawasan sekitar menerusi hotspots COVID-19 di  MySejahtera. Jika tiada keperluan penting duduk di rumah dan jika  terpaksa keluar pakai pelitup muka seperti yang disarankan," katanya.
Dalam  tempoh Mei 2021 sahaja, hampir setiap hari negara mencatatkan kes  positif COVID-19 baharu tertinggi dengan kumulatif 541,224 kes setakat  semalam (27 Mei), manakala jumlah korban seramai 2,491 orang.
- Bernama
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2021/05/vaksin-kawalan-pergerakan-kendiri-kini.html