Umno Pas Melangkah Maju
KERJASAMA UMNO PAS telah dimeterai secara rasmi pada Sabtu lepas. Sebelum pemeteraian itu berlaku, banyak sekali reaksi daripada pelbagai pihak, terutamanya beberapa pemimpin utama Pakatan Harapan.
Berbagai label yang diberikan. Ramai yang mempersoalkan rasionalnya. Ada juga nasihat yang tidak munasabah diutarakan.
Apapun, kita dapat merasakan bahawa ada rasa ‘anxiety’ yang sukar dipendam dalam pimpinan Pakatan Harapan. Pastinya kerana dijangka kerjasama UMNO dan PAS ini akan menjadi ancaman paling besar kepada Pakatan Harapan.
Kita menghormati semua pandangan mereka. Yang baik akan kami jadikan sandaran dan yang lainnya, kami baca begitu sahaja.
Realitinya, kerjasama UMNO dan PAS akan mengubah jalan politik Malaysia untuk selamanya. Tiada apa jua hujah atau pun kritikan, yang akan dapat menahan kemaraan UMNO dan PAS ini.
Apatah lagi, ia telah mengambil langkah yang sangat besar, daripada hanya penyatuan ummah kepada gerakan Muafakat Nasional.
Ini adalah ‘game changer strategy’ yang akan mencorakkan peranan UMNO dan PAS di arena politik nasional.
Yang pasti ialah, UMNO dan PAS telah menyatakan ikrar dan iltizamnya, untuk memimpin gerakan permuafakatan nasional demi kemakmuran dan kesejahteraan Malaysia.
Ia bukan lagi tentang sekadar politik Melayu dan Islam. Itu adalah ‘a done deal’.
Sekarang, cabarannya ialah, bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu boleh menjadi lonjakan untuk mempelopori gerakan kesepakatan, perpaduan dan keeratan nasional dalam kerangka demokrasi dan dipandu nilai demokratik.
Jawapannya, ada pada pengalaman politik UMNO dan PAS. Sesuatu yang kita harus hargai tentang PAS ialah bagaimana ia sebagai sebuah gerakan Islam, telah memilih untuk memperjuangkan Islam dalam kerangka demokrasi.
Berpuluh tahun bertanding dalam pilihanraya, dan selalunya tewas, PAS tidak pernah mengalah. Ia terus percaya dan yakin kepada amalan demokrasi dan berpegang teguh dengan prinsip-prinsip demokratik.
PAS tidak pernah lelah dalam memajukan demokrasi di Malaysia. Maka kerana itulah, PAS senantiasa mengambil pendekatan dinamik dengan membentuk kerjasama politik dengan pelbagai pihak selama ini.
Matlamatnya ialah untuk mematangkan demokrasi di Malaysia. Kerana itulah, amat sukar dimengerti, apabila PH melihat kerjasama UMNO dan PAS semata-mata dari sudut ‘menyemarakkan politik perkauman dan agama’.
Sedangkan, selama UMNO dan PAS berfungsi dalam politik Malaysia, kedua-duanya telah membuktikan betapa kedua-duanya adalah pendukung tegar ideal demokratik serta pelbagai institusinya yang berpaksikan demokrasi.
Kepada rakan-rakan dalam Pakatan Harapan, pesanan saya ialah, bersangka baiklah. Jangan terlalu sangat berprasangka yang bukan-bukan. Imaginasi kalian kadang-kadang keterlaluan.
UMNO dan PAS akan diadili oleh rakyat Malaysia melalui proses demokrasi. Jika Muafakat Nasional ini tidak diterjemahkan seperti iltizam kami dalam Piagam yang telah ditandatangani, biarlah rakyat yang menentukannya melalui pilihanraya.
Justeru kami akan berusaha bersungguh-sungguh dalam menterjemahkan aspirasi Muafakat Nasional ini.
Tindakan selanjutnya ialah untuk pergi ke peringkat seterusnya. Iaitu menjelaskan tawaran UMNO dan PAS melalui Muafakat Nasional ini.
Pastinya rakyat ingin tahu, visi bagaimana yang akan digagaskan oleh Muafakat Nasional ini untuk negara tercinta. Dan kemana akan kami bawa tanahair ini.
Insyallah, selepas ini, Muafakat Nasional akan secara berperingkat mengumumkan pelbagai dasar alternatif untuk pertimbangan rakyat.
Muafakat Nasional akan bersaing dengan Pakatan Harapan dengan menggunakan idea, pemikiran dan kecerdasan. Bukan sentimen kaum dan agama.
Kami senantiasa memilih jalan konstruktif dan akan mempelopori pembaharuan dasar yang progresif.
Insyallah, akan kami tawarkan kepada rakyat Malaysia ini, politik yang bukan sekadar matang dan demokratik, tetapi progresif, bersandar idea dan ilmu termaju serta berkeadilan dan inklusif, insha Allah
*Penulis adalah Timbalan Presiden UMNO
***Penafian : Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia sama sekali tidak semestinya mencerminkan pendirian Utusan Malaysia dan Utusan Online.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/09/17/umno-pas-melangkah-maju/