Umno Pas Mampu Gugat Ph
SEJAK menjadi pembangkang, UMNO dilihat sudah bijak mengatur strategi dalam meraih kembali sokongan rakyat.
Keputusan parti itu untuk bekerjasama dengan Pas juga dilihat satu tindakan tepat bagi mengukuhkan kuasa menghadapi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Namun sejauh mana deklarasi Piagam UMNO-Pas yang akan ditandatangani pada 14 September depan antara kedua-dua parti itu boleh menjejaskan pengaruh PH?
Ikuti pandangan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Madya Dr Jeniri Amir mengenai Deklarasi Piagam UMNO-Pas.
SINAR HARIAN: Dengan wujudnya Deklarasi Piagam antara UMNO dan Pas, adakah ia sesuatu yang baik untuk kedua-dua parti tersebut?
JENIRI: Untuk memenangi PRU15 nanti, kedua-dua parti tiada pilihan melainkan harus menjalin kerjasama yang bukan sahaja dapat mengukuhkan parti tetapi ikhlas bagi berdepan dengan PH kerana selagi tidak wujud keikhlasan dan kemantapan, selagi itu mereka tidak dapat menewaskan PH atau menghakis sokongan terhadap PH.
Jadi cadangan mewujudkan Deklarasi Piagam tersebut satu permulaan yang baik untuk kedua-dua parti itu ke hadapan bagi memastikan bukan sahaja memberi keyakinan kepada penyokong tetapi juga memberi gambaran baik kepada rakyat keseluruhan bahawa kali ini mereka betul-betul ada matlamat bagi berdepan PH pada PRU15.
Adakah deklarasi tersebut juga menjadi isyarat kepada PH agar kembali ke laluan sebenar berbanding terus terpalit dengan pelbagai isu yang boleh menghakis sokongan pengundi terhadap mereka?
JENIRI: Kerajaan PH perlu segera menyelesaikan konflik yang berlaku dan bergantung bagaimana PH dapat selesaikan masalah yang berlaku sekarang. Jika gagal untuk selesaikannya, mereka akan rugi.
Dan satu lagi jika mereka gagal memenuhi aspirasi rakyat dengan memenuhi janji dan manifesto, ia akan mengundang padah pada PH.
Pengukuhan kedudukan Pas dan UMNO juga semakin berjaya di Parlimen apabila gabungan mereka menduduki kerusi Parlimen boleh mencabar kedudukan PH. Adakah ia perlu dikekalkan?
JENIRI: Pas dan UMNO kini dilihat semakin selesa dan kukuh dengan kedudukan kerusi di Parlimen, jadi jika mereka berjaya mengagihkan kerusi dengan sepatutnya dan tidak berlaku pertembungan sesama mereka di Parlimen, maka mereka dilihat boleh mencabar PH pada PRU15.
Saya fikir dengan 56 kerusi di Parlimen milik Pas dan UMNO kini, mereka memiliki peluang baik untuk menguasai Parlimen dan menghakis penguasaan PH.
Adakah kelewatan PH menangani isu berbangkit dengan segera ketika ini boleh menyebabkan bakal pengundi berusia 18 tahun akan lebih tertarik dengan strategi UMNO dan Pas?
JENIRI: PH jangan fikir mereka berada dalam fasa berbulan madu lagi. Justeru penting untuk mereka tangani isu berkaitan dengan pengundi muda dan kenalkan dasar yang dapat membangunkan golongan pengundi muda kerana jumlah pengundi muda ini besar dan menjadi penentu kemenangan pada masa akan datang.
Jika tidak pastinya pengundi 18 tahun ini tertarik dengan UMNO dan Pas yang semakin hari semakin kukuh dengan pelbagai strategi yang disusun.
SINAR HARIAN
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://mykmu.net/2019/07/26/umno-pas-mampu-gugat-ph/