Umno Pas Carilah Persamaan Bukan Perbezaan
 Oleh Nazri Abu Bakar

 Gabungan dan kerjasama parti UMNO dan PAS sentiasa dinantikan oleh rakyat di negeri ini menjelang PRN Melaka. MELAKA:  Gabungan dan kerjasama parti UMNO dan PAS sentiasa dinantikan oleh  rakyat di negeri ini menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20  November depan.
Bagi mereka, perpecahan dan pertandingan membabitkan parti itu tidak  memberi keuntungan kepada rakyat kerana ia bakal mengurangkan kuasa  Melayu dalam pentadbiran negeri berkenaan.
Ahli perniagaan, Ismail Musa, 54, berkata rata-rata mereka amat  menantikan jalinan kerjasama berkenaan bagi mengelak pertembungan tiga  penjuru sehingga berlaku perpecahan undi Melayu. 

Ismail MusaJusteru, katanya, amat wajar semua pemimpin parti Muafakat Nasional  (MN), malah Perikatan Nasional (PN) duduk menyelesaikan perkara  berkenaan dari hati ke hati bagi menuju jalan penyelesaian.
"Malah, kenyataan positif pemimpin PAS Pusat dan isu berkaitan  jalinan kerjasama itu disambut baik, sekali gus menolak salah faham yang  tidak memberi apa-apa kelebihan kepada masa depan generasi muda kaum  ini.
"Jadi, saya mengharapkan parti terutama UMNO, PAS dan juga BERSATU  terus berusaha membuka pintu rundingan ke arah kerjasama tanpa  bertembung sesama sendiri.
"Secara logiknya, kekuatan lebih padu jika bersama-sama dalam sebuah  pasukan berbanding dengan bergerak sendirian kerana perpecahan, terutama  dalam MN bakal menyebabkan kelebihan yang ada kepada UMNO, malah PAS  tetap tergugat sekali gus membuka ruang Pakatan Harapan (PH) menguasai  PRN Melaka," katanya. 

Bahar SarudiPenduduk, Bahar Sarudi, 63, berkata dia juga menyokong usaha  kerjasama kerana rakyat mahu melihat perpaduan bangsa dalam menegakkan  Islam dan kekuatan ekonomi Melayu yang lebih drastik jika MN dan PN  membentuk kerajaan.
"Bagi akar umbi, mereka hanya menunggu arahan untuk bertindak  bersama-sama kerana perpecahan yang sekian lama tidak memberi manfaat  besar kepada rakyat," katanya. 

Jalil IsmailJalil Ismail, 74, pula berkata kerjasama lebih baik kerana mewujudkan  persefahaman yang positif dalam membina negeri dalam tempoh lima tahun  akan datang.
Baginya, cari persamaan kerana ia menjadi amalan Islam dengan mengetepikan perbezaan kerana setiap masalah ada penyelesaiannya.
"Jika kerjasama ini berjaya dibentuk, ia amat menarik terutama dalam  situasi pandemik ketika ini sekali gus memberi nilai tambah kepada  bangsa Melayu," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,  dilaporkan berkata pihaknya optimis MN dan PN akan menuju penyatuan  menjelang PRN Melaka walaupun masa semakin suntuk menjelang tarikh  penamaan calon pada 8 November depan.  
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/10/umno-pas-carilah-persamaan-bukan.html