Umat Islam Perlu Henti Dewakan Pemimpin Abuya Titah Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah bahawa baginda tidak mahu sebarang ajaran sesat dan menyeleweng daripada agama Islam yang sebenar serta tidak mengikuti landasan Ahli Sunah Waljamaah bertapak di negeri itu.
Baginda bertitah supaya rakyat Pahang menjadi mata dan telinga pemerintah dengan melaporkan sebarang penyebaran ajaran sesat serta berpegang teguh kepada Ahli Sunah Waljamaah, al-Quran, dan al-Sunah.
“Janganlah kita mendewa-dewakan, mentaasub pada mana-mana pemimpin ataupun guru-guru ataupun abuya. Hentikan semua ini. Saya tunggu laporan polis (mengenai) keadaan (ajaran sesat di Pahang).
Saya dimaklumkan untuk berkongsi bersama sepanjang apa yang saya lalui dan dimaklum di Pahang, suatu ketika ada 34 ajaran sesat ataupun salah. Alhamdulillah, hari ini ada enam sahaja masih aktif. Yang sedihnya itu, ada dua di Pekan, tempat saya lahir, titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian semasa Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang Tahun 1446 Hijrah/2024 Masihi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Isnin.
Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. Hadir sama, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan exco kepimpinan kerajaan negeri.
Al-Sultan Abdullah bertitah baginda telah meminta pihak polis dan Jabatan Agama Islam Pahang untuk menyiasat ajaran yang didakwa sesat serta terpesong itu dan berharap ia dapat diselesaikan dengan cara yang baik serta tidak menganiayai atau mengaib sesiapa.
“Nabi Muhammad SAW telah diutuskan dengan membawa ajaran Islam yang sebenar. Namun, dunia akhir zaman ini, fitnah dan kesesatan bermaharajalela.
Sesungguhnya, umat Islam dihadapkan dengan pelbagai ujian yang menguji keimanan termasuk golongan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Dalam menghadapi fitnah akhir zaman ini, kita perlu memperkuatkan iman dan takwa kepada Allah SWT, titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah baginda akan berjumpa dengan setiap pengusaha sekolah pondok dan maahad tahfiz di Pahang dalam usaha memperkasakan institusi pendidikan agama itu.
“Usaha yang sedang saya bincang dengan pelbagai pihak khususnya kerajaan (negeri), yang saya cukup khuatir kedudukan pondok dan maahad tahfiz yang ada di negeri ini. Saya tidak pernah beri arahan tutup mana-mana madrasah, maahad tahfiz, tetapi ini tidak bermakna saya tidak mengambil perhatian.
Saya bimbang, bukan keseluruhannya, ada juga pondok yang amat malu saya nyatakan keadaan dan perjalanannya tidak begitu sempurna. Saya tidak mahu mengaibkan mana-mana pihak dan saya telah nyatakan hasrat untuk berjumpa setiap operator supaya kita dapat satukan semula dengan jadikan ia dalam keadaan baik dan betul perjalanannya, titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah kejayaan Maahad Tahfiz Negeri Pahang yang muncul sekolah terbaik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 harus dijadikan sebagai pemangkin atau contoh kepada sekolah pondok dan maahad tahfiz lain dalam menambah baik struktur organisasi serta kurikulum.
Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan beberapa anugerah antaranya kepada Allahyarham Abdul Razak Abu yang dinobat sebagai Tokoh Maulidur Rasul Negeri Pahang Ahmad Faizul Ghazali Al-Hafiz (Anugerah Ummah) dan Abu Bakar Mat Saad (Anugerah Pendidikan). #FreeMalaysiaToday
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2024/09/umat-slam-perlu-henti-dewakan-pemimpin.html