Ulasan Tranya T20 Lebih Baru Lebih Baik
Baru sahaja saya ulas Tranya T10B, TWS paling unggul untuk kategori bawah RM100, kini saya berpeluang untuk mencuba satu lagi TWS daripada jenama popular ini. Kini Tranya hadir dengan model T20, satu model kemaskini daripada T10B. Kemaskini baru ini dibina dengan mengambil kira maklum balas daripada para pengguna siri T10.
PANDANG PERTAMA
Mula-mula sekali memegang kotak Tranya T20 ini, sudah pun nyata perbezaan daripada kotak abangnya, T10B. Ia kini lebih lebar dan lebih nipis, memberi gambaran bahawasanya T20 ini adalah produk dan model yang sememangnya berbeza dengan T10B. Ia adalah reka semula secara menyeluruh, bukan hanya sekadar solekan kecil.
Pakej di dalam kotak masih lagi seperti biasa. Sekeping pelekat berlogo Tranya, buku manual, kabel USB-C, getah telinga tambahan dan sudah tentu, sebuah TWS Tranya T20. Sekali imbas, rekaannya kini lebih nipis dengan berat yang lebih ringan.
KUALITI BINAAN
Binaan baru adalah fokus utama pada Tranya T20 baru ini. Ia kini lebih nipis dan mudah dibawa di dalam poket. Kedua-dua belah earbuds juga telah direka semula menjadi lebih kecil dan ringan berbanding dengan model terdahulu. Masih lagi mengekalkan warna hitam sebagai binaan utama.
Pengecasan menggunakan USB-C. Earbuds juga telah direka agar lebih ergonomik untuk mereka dengan telinga yang lebih kecil terutama sekali wanita dan individu bertelinga kecil. Bahagian dalam telinga direka dengan lebih tirus dan halus, memberikan lebih keselesaan pemakaian.
Tranya T20 masih lagi mengekalkan penarafan IPX7. Secara teori, IPX7 bermakna anda boleh bawa ia pergi berenang. Saya belum cuba. Jika ada yang sudah cuba, tolong kongsi dengan saya, haha.
BATERI
Tranya T20 menjanjikan 8 jam ketahanan bateri dengan sekali cas pada kedua belah earbuds. 8 jam adalah satu masa yang lama. Saya tak pasti siapa yang mampu tahan dengar lagu sehingga 8 jam, tapi jika ada sesiapa yang mahukan pendengaran yang lama, T20 boleh jadi pilihan anda.
Bekas pengecas menggunakan port USB-C dan menyokong teknologi pengecasan pantas. Ia boleh mengecas sepasang earbuds sehingga 5 kali kitaran cas penuh. Setiap earbuds berkapasiti 50mAh dan bekas pengecas mempunyai kapasiti sebesar 500mAh.
KUALITI BUNYI
Tranya T20 menggunakan pemacu audio magnetik 6mm salutan grafene. Satu penurunan daripada model T10B yang menggunakan pemacu grafene 12mm. Ini bermakna Tranya T20 menghasilkan bass yang lebih jinak dan kurang menggegar kerana saiz pemacu yang lebih kecil.
Masih lagi mengekalkan 3 mod bunyi, Bass Mode, Normal Mode dan juga Gaming Mode. Untuk Gaming Mode, bunyi dan latency sangat cemerlang. Hampir tiada kelewatan bunyi semasa bermain permainan pada telefon pintar.
Normal Mode sangat berbeza dengan T10B. Bunyinya kini lebih seimbang dan julat bass terasa lebih kecil dan sempit. Karakter bass kini lebih kepada thump berbanding punch. Bass seolah-olah terhasil dari sebuah gendang kecil yang bekerja keras. Mid dan High terkawal elok dengan kejelasan dan tidak menikam telinga.
Bass Mode berupaya mengubah karakter bunyi pada Tranya T20. Dengan Bass Mode, soundstage dilebarkan dan bunyi bass lebih ke hadapan. Bass kedengaran lebih jelas dan tumbukan terasa lebih kuat. Ketara juga perbezaan gegaran bass antara Normal Mode dan Bass Mode dan bentuk bunyi menjadi V dengan mid agak tenggelam. Namun begitu, secara peribadinya saya rasakan bass pada Tranya T20 ini masih kurang memuaskan berbanding T10B jika kita ingin bercakap dalam konteks bass semata-mata.
Karakter pada Tranya T20 ini lebih kepada keseimbangan. Jika anda memang basshead, mungkin T20 tidak sesuai untuk anda. Tapi tidaklah saya kata langsung tiada bass pada T20 ini. Cuma, berbanding T10B, bass pada T20 ini lebih jinak dengan sifat yang berbeza. Bagi saya, ia sudah mencukupi kerana kekurangan bass ditampung dengan kekuatan pada mid dan high yang lebih tepat dan tidak hingar.
KUALITI SAMBUNGAN
Tranya T20 menggunakan sambungan Bluetooth 5.1. Ia menyokong codec SBC dan codec kualiti tinggi AAC menjadikan ia sesuai untuk Android mahupun iOS. Sambungan juga automatik dengan telefon sekiranya anda telah menyambungkan TWS anda dengan telefon anda.
Ia juga akan terpadam sendiri selepas anda memasukkan semula ia ke dalam bekas pengecas. Sambungan juga stabil sepanjang saya menggunakan TWS ini selama seminggu. Gaming Mode sangat cemerlang dan hampir tiada langsung kelewatan bunyi semasa bermain permainan video di telefon saya.
KAWALAN
Kawalan pada Tranya T20 kini dikemaskini berbanding T10B. Kini anda boleh mengawal kelantangan dengan menggunakan 2 kali sentuhan. Tahan selama 2 saat jika anda ingin main/jeda lagu. Tekan 3 kali untuk main lagu seterusnya/sebelumnya. Tekan 4 kali untuk memanggil perisian pembantu anda. Tekan 5 kali di sebelah kiri untuk menukar mod kepada Bass Mode/Normal Mode. Tekan 5 kali di sebelah kanan untuk mengaktifkan Gaming Mode.
Sentuhan juga sensitif dan bertindak balas dengan baik. Ia dapat mengesan sentuhan walaupun tangan berpeluh dan sejuk. Fungsi tekan 1 kali masih lagi tidak tersedia seperti pada model T10B.
KELEBIHAN
Kekuatan pada T20 ini adalah rekabentuknya yang lebih kecil dan mudah dibawa. Earbuds juga telah direka semula, memberikan pemaikaian yang lebih ergonomik dan selesa. Ia lebih ringan dan muat untuk telinga yang kecil. Anda juga mendapat 6 set getah telinga dengan saiz dan ketebalan berbeza untuk lebih keselesaan pemakaian.
Bunyi pada T20 juga lebih seimbang dengan mid dan high yang cantik. Bass mungkin jadi kelebihan atau kekurangan bergantung kepada selera individu. Bass pada T20 ini lebih sempit berbanding T10B yang lebih luas dan kuat.
Gaming Mode sangat cemerlang dan hampir tiada delay dan Bass Mode juga ada kesan yang signifikan dalam pendengaran.
KEKURANGAN
Tranya T20 datang dengan tanda harga yang agak tinggi, pada RM149 di Shopee. Untuk julat harga ini, ia tiada aptX, tiada ANC dan tiada fungsi pengesanan telinga. Agak banyak permintaan saya untuk TWS berharga RM149, tapi kini di pasaran sudah ada TWS dengan fungsi tersebut pada julat harga yang lebih kurang sama.
KESIMPULAN
Tranya T20 adalah satu kemaskini yang bagus daripada model lama siri T10. Ia memperbaiki antara isu utama pada T10 seperti rekabentuk, keselesaan dan juga kawalan. Sayangnya, ia berharga hampir dua kali ganda lebih mahal berbanding model lama. Ia sesuai untuk mereka yang sukakan bunyi TWS yang lebih neutral dengan bass yang jelas. Jika tanya pada saya, harga yang sesuai buat T20 ini adalah bawah RM120 sahaja.
Dapatkannya di Shopee Mall Tranya Malaysia: https://bit.ly/3o0MwVS (RM149)
The post Ulasan Tranya T20: Lebih Baru, Lebih Baik appeared first on OMG! Hackers?.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://omghackers.com/ulasan-tranya-t20-lebih-baru-lebih-baik/