Tuan Ibrahim Ahli Parlimen Raub Patut Letak Jawatan Tidak Patuh Kepada Kerajaan Yang Memerintah

KUBANG KERIAN: “Kalau dia berfungsi sebagai wakil rakyat kerajaan, yang sepatutnya dia kena mempertahankan (perintah pihak berkuasa), bukan dia pergi lawan undang-undang,” kata Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan Presiden PAS berkata demikian sebagai merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang didakwa bertindak menghalang tugas penjawat awam dalam isu pekebun durian haram di Pahang.
Beliau berkata, tindakan kerajaan melaksanakan operasi penguatkuasaan dengan menebang 200 pokok durian Musang King pada 8 April lalu, dibuat selepas mahkamah mengeluarkan keputusan.
Ahli Dewan Negeri (ADUN) Cheka, Pahang itu menegaskan wakil rakyat kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada DAP terbabit diminta melepas jawatan sekiranya tidak mampu menggalas dasar kerajaan.
“Sepatutnya dia mematuhi keputusan mahkamah, Menteri Besar dan penguatkuasa di Pahang yang bertindak di atas keputusan mahkamah. Bila ada keputusan dia (kerajaan) kena bertindak.
“Kalau tidak bertindak, tiada makna keputusan mahkamah. Jadi saya cabar kalau tidak boleh lagi, dia (Chow Yu Hui) kena letak jawatan Ahli Parlimen yang tidak layak duduk dalam kerajaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Media sebelum ini melaporkan berlaku perang mulut antara pekebun durian haram bersama kakitangan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) bagi menghalang tugas pihak berkuasa.
Rakaman video itu turut tular di media sosial yang memaparkan pertembungan berlaku antara Ahli Parlimen Raub itu yang merangkap Penasihat Save Musang King Alliance (SAMKA) dan pekebun haram.
Kumpulan tersebut mendakwa kerajaan negeri melanggar perintah mahkamah apabila menebang kira-kira 200 pokok durian Musang King yang berusia antara 40 hingga 50 tahun itu.
Bagaimanapun kerajaan negeri Pahang menafikan tuduhan terbabit, malah satu operasi dijalankan bersama Jabatan Perhutanan Negeri, Pejabat Tanah Negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). #Harakahdaily
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2025/04/tuan-ibrahim-ahli-parlimen-raub-patut.html