Tragedi Zara Qairina Laungan Allahuakbar Iringi Zara Qairina Penduduk Dakwa Hidu Bau Harum
Laungan “Allahuakbar” bergema berulang kali di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, pada malam Sabtu lalu, mengiringi pemergian seorang anak syurga, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun. Suasana penuh sebak itu disaksikan penduduk kampung dan orang ramai yang hadir sejak awal petang, sebagai tanda kasih dan solidariti buat keluarga kecil ini.
Menurut laporan Sinar Harian, seawal jam 2 petang, kawasan pekarangan tanah perkuburan mula dipenuhi orang. Ada yang datang dari kampung berdekatan, ada juga yang sanggup memandu jauh, semata-mata untuk memberi penghormatan terakhir. Ketika trak polis membawa jenazah keluar, takbir bergema dari setiap sudut, mengiringi perjalanan anak ini dengan doa.

Foto Via Sinar Harian
Jeffry Fauzi Rahman, 53, dari Kampung Maligan, berkongsi pengalaman yang menggetarkan hati. “Sebelum proses menggali kubur dimulakan, doa dibacakan. Masa itu, saya terhidu bau harum seperti bunga. Wangian itu datang secara tiba-tiba… sukar untuk saya lupakan,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, kehadiran malam itu adalah sebagai sokongan kepada ibu arwah, Noraidah Lamat, dan sebagai doa agar keadilan dapat ditegakkan. “Saya ikut perkembangan kes ini sejak awal. Walaupun dari jauh, saya mahu lihat sendiri proses ini. Harap segalanya dilakukan dengan telus,” ujarnya.
Proses penggalian yang dilakukan Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula sekitar 5.30 petang dan selesai pada jam 7.15 malam. Jenazah kemudian dibawa ke Hospital Queen Elizabeth I untuk proses bedah siasat, sambil disaksikan pasukan peguam dan ahli keluarga.
Semoga roh Zara Qairina ditempatkan di kalangan anak-anak syurga, dan semoga keadilan untuk keluarga ini ditegakkan. Moga ibu dan keluarga Zara Qairina terus diberi kekuatan oleh Allah untuk menghadapi ujian berat ini.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.majalahpama.my/tragedi-zara-qairina-laungan-allahuakbar-iringi-zara-qairina-penduduk-dakwa-hidu-bau-harum/