Tips Bercuti Di Turki Ketika Musim Sejuk
Artikel ini menceritakan tips dari seorang pelajar yang berpengalaman bercuti di Turki pada musim sejuk selama 6 minggu.
Turki adalah salah sebuah dari negara yang mempunyai empat musim iaitu musim sejuk, musim luruh, musim panas dan musim bunga.
Turki menjadi destinasi pilihan
Saya memilih Turki sebagai negara pertama yang akan saya kunjungi untuk menikmati musim sejuk yang pertama. Negara yang terkenal dengan Aya Sofea dan Masjid Sultan Ahmed ini menjadi tarikan utama pelancong dari seluruh dunia.
Saya tertarik dengan Turki semenjak saya membaca buku sejarah Islam iaitu Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel.
Perjalanan Malaysia ke Turki
Kecantikan Istanbul terutamanya melalui drama Turki amat menarik minat saya untuk mengunjunginya suatu hari nanti. Alhamdulillah, dengan rezeki yang ada, saya bernekad untuk bercuti di Turki ketika musim sejuk.
Saya mendaftarkan diri dalam program kesukarelawan anjuran AIESEC iaitu satu organisasi non-profit yang diuruskan oleh pelajar universiti.
Menikmati musim sejuk selama 6 minggu
Program yang saya sertai diadakan di Bursa, Turki iaitu bahagian Asia Turki. Suhunya adalah lebih rendah berbanding Istanbul yang berada di bahagian Eropah Turki.
Saya mengambil peluang ini bukan sahaja untuk bercuti di Turki ketika musim sejuk tetapi juga untuk mengenali gaya hidup masyarakat Turki dan semua peserta program yang berbilang negara selama 6 minggu.
Persediaan Bercuti di Turki ketika Musim Sejuk
Memandangkan ini adalah percutian musim sejuk pertama, saya tidak mempunyai pakaian dan aksesori yang lengkap untuk bercuti di Turki. Harganya juga pasti mahal dan tidak berbaloi jika digunakan hanya untuk beberapa minggu.
Oleh itu, persediaan yang cukup amat diperlukan bagi menjimatkan perbelanjaan untuk bercuti di Turki ketika musim sejuk. Perkara yang menjadi kerunsingan saya adalah tiket penerbangan, tempat tinggal, makanan, pakaian, aksesori dan insurans.
Turki ialah negara Euroasia yang dikelilingi Laut Marmara iaitu lautan yang meyambungkan Laut Hitam dan Laut Aegia. Jarak antara negara Malaysia dan Turki adalah 8,328 km. Maka, harga tiket bagi dua hala adalah melebihi dua ribu.
Nasihat Dari Kawan Online
Sepanjang pembelajaran Bahasa Turki di universiti, saya telah berkawan dengan ramai kawan online dari Turki. Saya sentiasa bertanya kepada mereka tentang keadaan di Turki ketika musim sejuk. Bermula dengan perbelanjaan harian sehinggalah mengenai pakaian ketika musim sejuk.
Mengikut nasihat kawan saya yang berasal dari Izmir, Turki, harga makanan adalah mahal ketika musim sejuk termasuklah sayur-sayuran. Oleh itu, saya perlu bijak untuk membeli makanan di Turki.
Selain itu, perbelanjaan harian untuk makanan maksimum adalah 40 Lira (RM30.20) sehari. Jadi, dari situ saya boleh membuat perancangan perbelanjaan harian.
Tips Jimat untuk Percutian ke Turki
Saya akan kongsikan beberapa tips untuk menikmati percutian musim sejuk yang pertama khususnya untuk negara Turki. Penjimatan ini berdasarkan bilangan hari kita bercuti di Turki.
Kebiasaannya, pakej percutian ke Turki adalah selama 9 hari 7 malam dengan harga paling murah adalah sebanyak RM3,500.
Berikut adalah tips bagi bajet percutian selama 42 hari 40 malam (6 minggu) dengan perbelanjaan sebanyak RM 5,478.70 tidak termasuk tempat tarikan pelancongan atau rekreasi yang memerlukan yuran masuk.
Program Kesukarelawan Antarabangsa oleh AIESEC
Mendaftarkan diri sebagai ahli kesukarelawan sama ada melalui AIESEC atau organisasi lain. Kita akan ditempatkan di rumah keluarga angkat atau asrama mengikut kepada program kesukarelawan yang diambil.Beli tiket kapal terbang round trip berbanding asing-asing one-way.Beli tiket kapal terbang 6 bulan awal, harga adalah sekitar RM2,700 (Turkish Airlines) dan RM2,400 (airlines lain seperti KLM, Qatar, Etihad, Emirates). Kadang-kadang, harga Turkish Airlines lebih murah daripada Qatar. Jadi, kena selalu lihat updates di laman web airlines atau laman web perbandingan harga tiket kapal terbang seperti Skyscanner.Tiket dari Kuala Lumpur International Airport (KUL) ke Istanbul International Airport (IST) adalah lebih murah berbanding ke Sabiha Gokçen Airport (SAW).Sekiranya destinasi percutian berada di bahagian Asia Turki, SAW adalah lebih dekat. Namun, boleh juga ambil IST kemudian menggunakan bas atau feri untuk ke bahagian Asia Turki.Beli pakaian dan aksesori musim sejuk di kedai bundle. Pilihan saya adalah beli di Mr Musashi yang kilang utamanya berada di Taiping, Perak. Kilang tersebut terletak di belakang Econsave Kamunting. Harga baju sejuk hanya bermula RM5 – RM20 mengikut kualiti baju. Saya bertuah kerana ketika saya ke sana, semua jenis pakaian bernilai RM2.Beli heater pad, sarung tangan touch screen dan neck warmer di kedai Jepun seperti Daiso. Bagi tiga barang tersebut, hanya RM17.70.Beli kasut boots yang ada tumit sedikit dan permukaan yang kasar di kedai bundle. Harga serendah RM50.Beli insurans secara online kerana terdapat diskaun berbanding melalui ejen.Gunakan pek vacuum untuk membawa baju sejuk yang tebal bagi menjimatkan ruang beg.Sediakan jadual perjalanan dari Malaysia supaya perjalanan berjalan lancar dan perbelanjaan mencukupi terutamanya apabila memerlukan pengangkutan dari airport ke destinasi sebenar.Bawa ubat-ubatan yang mencukupi memandangkan suhu yang rendah boleh menyebabkan kita mudah jatuh sakit.
Pecahan Perbelanjaan
Perbelanjaan utama dibahagikan kepada sepuluh bahagian seperti berikut:
Yuran program: RM600Visa: RM 0 (Tidak perlu bagi lawatan kurang 90 hari)Insurans Melancong: RM 168.00 (Insurans Takaful Etiqa Pakej Silver)Tiket kapal terbang: RM 2,700 (Turkish Airlines)Pakaian dan aksesori musim sejuk: RM123.70Makanan: RM 1,289.00 (RM 30.20/hari)Tempat tinggal: RM 0 (Tinggal di rumah keluarga angkat)Telco: RM42 (RM21/bulan 2GB Vodafone)Pengangkutan: RM 56 (RM 28/trip) 2 trip dari airport ke Terminal Bus BursaDuit kecemasan: RM 500Jumlah keseluruhan perbelanjaan: RM5,478.70
Artikel ini ditulis oleh penulis jemputan. Sila hubungi kami sekiranya ingin menyumbangkan artikel di blog ini. Terima kasih.
The post Tips Bercuti di Turki ketika Musim Sejuk appeared first on Radio Senyap.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://www.radiosenyap.com/2019/10/tips-bercuti-di-turki-ketika-musim-sejuk.html