Tinjauan L 96 Peratus Mahu Pencen Mp Ditukar Ke Caruman Kwsp
malaysiakini.com
Diterbitkan: Jun 26, 2024
Pembaca Malaysiakini jelas mahu pencen untuk ahli parlimen digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Menurut tinjauan Makmal Berita Kini, sebanyak 96 peratus daripada 8,035 responden setuju dengan cadangan ini.
Sementara itu, 93 peratus daripada 7,778 responden setuju dengan cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar ahli parlimen hanya menerima satu pencen, walaupun mereka boleh menerima beberapa pencen melalui jawatan yang dipegang di peringkat persekutuan dan negeri.
Respons yang diterima kali ini jauh lebih banyak berbanding tinjauan Makmal Berita Kini sebelum ini, antaranya berkenaan belanjawan negara dan berkenaan tahun pertama Anwar sebagai perdana menteri, yang mendapat kira-kira 3,000 respons.
Tinjauan ini sebahagian daripada laporan dua bahagian Makmal Berita Kini berkenaan jumlah pencen dan elaun yang boleh dinikmati ahli parlimen.
Keputusan tinjauan dibuat daripada respons yang diberi pembaca bermula jam 9 pagi, 19 Jun hingga jam 10 pagi, 25 Jun.
Perlu dinyatakan ini bukan tinjauan saintifik dan secara teknikalnya, sesiapa saja boleh mengundi beberapa kali menggunakan peranti dan pelayar web yang berbeza.
Namun, ruangan komen laporan ini - yang memerlukan pembaca untuk log masuk menerusi emel - menunjukkan sentiman yang sama dengan keputusan tinjauan. Sebanyak 300 pembaca yang telah meninggalkan komen mereka.ADSBaca lanjut: Berapa banyak pencen wakil rakyat?
Suara hati pesara kerajaan
Seorang pembaca, yang menyatakan dia berkhidmat sebagai penjawat awam selama 30 tahun dalam agensi tenaga, menyuarakan rasa kecewa kerana menerima pencen yang sedikit, walaupun jika dibandingkan dengan pencen Adun, apatah lagi ahli parlimen yang hanya berkhidmat selama satu penggal.
"Saya berkhidmat...dengan keringat, air mata dan sehingga tak tidur malam untuk menangani gangguan tenaga sebelum penswastaan (agensi tenaga itu), selama lebih 30 tahun.
"Pencen saya hanya RM2,200 sebulan, sedangkan seseorang yang jadi Adun selama 36 bulan dapat lebih RM3,000 sebulan. Memang tak adil," tulisnya.
Pembaca lain pula mempersoalkan jika ahli parlimen memang layak menerima pencen dan elaun jika mereka gagal memberi khidmat kepada rakyat seperti yang diharapkan.
"Macam mana kalau ahli parlimen hanya makan elaun dan gaji buta dan tak bantu rakyat di kawasan mereka? Kalau ikutkan, memang tak adil (dapat) elaun yang banyak, selain tuntutan yang boleh dibuat.
"Bila rakyat minta bantuan dekat pejabat wakil rakyat, kerenah birokrasi panjang sampai susah nak dapat bantuan," kata pembaca yang ingin dikenali sebagai Zatie.
Dia mencadangkan agar elaun ahli parlimen dipotong jika mereka tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat, memandangkan ada banyak kerusi kosong ketika sesi-sesi sebelum ini.
Sementara itu, Matthew Robert membangkitkan askar yang mengabdikan diri demi keselamatan negara tidak layak menerima pencen jika berkhidmat tidak sampai 20 tahun, manakala ahli parlimen hanya perlu sepenggal untuk layak mendapatnya.
"Ahli parlimen harus memartabatkan lagi skim pencen tentera, dan bukan membisu daripada membela hak dan hal ehwal pesara tentera. Saya sama sekali tidak akan menyokong ahli politik yang hipokrit ini," katanya.
Beberapa responden membangkitkan isu konflik kepentingan, memandangkan ahli parlimen sendiri yang menetapkan gaji dan pencen mereka.
"Isu sebenarnya adalah mengapa ahli parlimen ada kuasa untuk meluluskan gaji atau pencen yang mereka fikir sesuai? Seperti beri kuasa kepada pekerja untuk menetapkan gaji mereka. Pastinya ini akan disalah guna," kata Peter.
Ada juga yang menggesa kelayakan pencen untuk semua penjawat awam, termasuk ahli parlimen, dipiawaikan dan disemak semula, atau sekurang-kurangnya tempoh perkhidmatan minimum untuk layak menerima pencen ditingkatkan daripada tiga tahun kepada dua hingga tiga penggal.
Bekas MP tak setuju mansuh pencen
Beberapa bekas ahli parlimen tidak setuju dengan cadangan pencen digantikan dengan caruman KWSP, dengan berkata caruman KWSP sepanjang satu penggal perkhidmatan tidak cukup untuk persaraan mereka.
Mereka juga berkata berbeza dengan penjawat awam, tiada jaminan untuk tempoh perkhidmatan mereka.
Selain itu, mereka berkata penjimatan yang diraih dengan menukar skim pencen kepada caruman KWSP tidak memadai untuk menjustifikasikan kos pentadbiran untuk melakukan perubahan itu.
Namun, pakar ekonomi Muhammad Khalid mengaggarkan menerusi penukaran itu, kerajaan dapat melakukan penjimatan sebanyak RM2.4 juta bagi setiap ahli parlimen, bersamaan kira-kira setengah bilion ringgit bagi satu kohort anggota Dewan Rakyat.
Walaupun itu jumlah kecil dalam seluruh perbelanjaan kerajaan, dia berkata ia boleh digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak seperti menaikkan gaji jururawat, guru dan anggota polis berpangkat rendah.
Sementara itu, bekas ahli parlimen Batu Kawan P Ramasamy berkata tidak adil untuk membuat perubahan secara tiba-tiba dalam skim pencen ahli parlimen untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
Menurut Ramasamy, caruman KWSP boleh menjadi "antara jawapan kepada isu pencen berganda" namun reformasi dalam perkara itu perlu dilaksanakan secara menyeluruh.
"Kerajaanlah yang perlu mencadangkan formula berkesan untuk sistem pencen yang diperbaharui.
"Anda tak boleh menimbang untuk mengurangkan pencen berganda kepada satu pencen hanya kerana kerajaan tak cukup wang. Kita tidak boleh salahkan penerima pencen atas hutang kerajaan," katanya yang juga pengerusi Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Ramasamy pernah menjadi Adun Seberang Perang, Exco dan timbalan ketua menteri Pulau Pinang, dan menerima dua pencen daripada jawatan di peringkat negeri dan persekutuan.
Laporan tambahan oleh G Vinod
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wak-labu.blogspot.com/2024/06/tinjauan-l-96-peratus-mahu-pencen-mp.html