Tiga Maut Seorang Lagi Kritikal Akibat Keracunan Karbon Monoksida
Bernama                                                                                                                                                                                                                                                                                                                  

Tiga  yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah  Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan,  manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar  kepada Nor Adilah.             BUTTERWORTH – Tiga wanita maut manakala seorang lagi berada dalam  keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas  mereka tertidur dalam kereta sewaktu berehat di kawasan parkir sebuah  stesen minyak di Sama Gagah, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah SPT ACP Shafee Abd Samad  berkata polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40  pagi tadi, dan tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali  sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor  Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang  merupakan kembar kepada Nor Adilah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati keempat-empat rakan baik  berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, dekat sini sempena  cuti umum Hari Malaysia semalam, dan difahamkan mereka dalam perjalanan  pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila  mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan.
“Mereka yang menaiki kereta jenis Honda Odyssey berhenti di stesen  minyak di kawasan Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara untuk berehat,  namun mereka dipercayai tertidur sehingga masing-masing tidak sedarkan  diri dan mengalami keracunan karbon monoksida,” katanya di sini hari  ini.
Katanya menurut ibu kepada Ayuni, anaknya menghantar mesej kepada  beliau pada pukul 9.15 malam tadi memaklumkan berada di stesen minyak  itu untuk berehat sebentar, namun sehingga pukul 11 malam tadi Ayuni  tidak pulang ke rumah di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, menyebabkan dia  mulai bimbang.
Shafee berkata bapa Ayuni telah pergi ke stesen minyak itu untuk  mencari anaknya sebelum menemui kereta dinaiki mereka, namun empat rakan  baik itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan enjin  kenderaan masih hidup, manakala pintu dan tingkap tertutup.
Katanya sebaik sahaja ambulans tiba di lokasi pada pukul 1.00 pagi,  Sharifah Fariesha Syed Fathi yang merupakan penumpang hadapan didapati  telah meninggal dunia, manakala Ayuni Shazwanie dilaporkan meninggal  dunia semasa menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ), dan Nor  Adilah pula meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi  (ICU) di Hospital Angkatan Tentera Lumut, di Perak, pada kira-kira  pukul 4.23 petang.
Nor Aqilah pula kini dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku  Mizan Zainal Abidin di Kuala  Lumpur, dan menurut Shafee pasangan kembar  itu dibawa ke dua hospital berkenaan kerana kemudahan di sana mempunyai  mesin untuk rawatan keracunan karbon monoksida.
Shafee berkata seorang juruteknik yang membuat pemeriksaan awal ke  atas kereta Honda Odyssey berkenaan mengesyaki kemungkinan ada kebocoran  di bahagian ekzos kereta itu kerana semasa pemeriksaan, ekzos berkenaan  mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.
Sementara itu, ibu saudara kepada Sharifah Fariesha yang ditemui di  bilik mayat HSJ, Nor Jamilah Ahmad berkata anak saudaranya itu merupakan  anak tunggal kepada kakak dan abang iparnya malah beliau sangat rapat  dengan arwah yang dipanggil Fariesha itu.
“Mereka (empat orang) memang rakan baik dan baru habis belajar di  sebuah kolej swasta di Batu Caves, Selangor dalam bidang kejururawatan,  Fariesha baru bekerja di sebuah klinik swasta dan arwah sangat teruja  untuk keluar bersama tiga kawannya itu semalam kerana mahu  berjalan-jalan di Pantai Jerejak.
Wanita berusia 30-an itu berkata beliau hanya mengetahui mengenai  kejadian itu selepas dihubungi ibu Fariesha yang memaklumkan anak  saudaranya itu tidak pulang ke rumah di Amanjaya di Sungai Petani  selepas lewat malam sebelum dia menghubungi rakan-rakan arwah.
“Kami baru hendak keluar mencari Fariesha sebelum tunangnya  menghubungi saya semula memaklumkan mereka semua telah ditemui namun  perlu ke hospital, saya memang terkejut dan terus ke HSJ.. sebaik sampai  kami dimaklumkan dia telah meninggal, ibu arwah terus rebah kerana  sangat terkejut,” katanya.
Menurutnya jenazah anak saudaranya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Lalang selepas solat Asar hari ini.— BERNAMA
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/09/tiga-maut-seorang-lagi-kritikal-akibat.html