Tiga Dos Vaksin Beri Perlindungan Penuh Kata Dr Anthony Fauci
AGENDA DAILY
Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan Amerika Syarikat hanya memberi kelulusan penggunaan kecemasan dos penggalak kepada individu yang mempunyai masalah sistem imun dan ketahanan tubuh badan.
Dengan peningkatan jangkitan Covid-19 yang kembali mengancam nyawa rakyat, pegawai kesihatan Amerika Syarikat (AS) menjelaskan suntikan penggalak perlu bermula segera – beberapa minggu sebelum Pentadbiran Ubat-Ubatan dan Makanan (FDA) memberi kelulusan mereka.
“Sebab itu, tiga dos suntikan vaksin diperlukan untuk memberi perlindungan sepenuhnya,” kata Dr Anthony Fauci.
Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit AS itu memetik dua laporan penyelidikan dilakukan Israel yang menunjukkan penurunan jangkitan terhadap individu yang mendapat suntikan ketiga atau penggalak.
Terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa dos ketiga sebenarnya akan bertahan lama, dan jika tahan lama, maka anda mungkin akan memerlukan sistem tiga dos sebagai rejim rutin, katanya.
Ketua Penasihat Perubatan White House itu bagaimanapun berkata ianya bergantung kepada FDA untuk memutuskan sama ada penduduk AS perlu mendapatkan tiga dos vaksin Covid-19 atau tidak.
Bagaimanapun FDA akan mempertimbangkan persoalan itu akhir bulan ini setelah Moderna dan Pfizer memohon kebenaran penggunaannya sebagai dos ketiga setelah enam atau lapan bulan selepas suntikan dos kedua.
Cadangan pengambilan dos penggalak itu akan mewujudkan keperluan vaksin kepada sejumlah besar populasi, dan boleh dimulakan pada 20 September ini, kata Pakar Bedah Umum, Dr Vivek Murthy.
“Pada titik tertentu, kita mungkin memiliki cara untuk memberitahu siapa yang memerlukan suntikan tambahan, dan siapa yang tidak. Sekarang ini kita tidak mempunyai indikator.
“Sebab itu kita sekarang menggalakkan orang ramai mendapatkan suntikan vaksin, tidak kira sama ada mereka dijangkiti pada masa lalu atau tidak, tetapi juga apabila tiba masa untuk mengambil dos tambahan bagi mengekal dan meningkatkan perlindungan. Itu kita lakukan secara meluas,” katanya.
Sebelum ini, FDA hanya memberi kelulusan penggunaan kecemasan dos penggalak kepada individu yang mempunyai masalah sistem imun dan ketahanan tubuh badan.
Sejak 13 Ogos hingga kini, lebih sejuta individu yang mempunyai masalah itu sudah diberikan suntikan ketiga sama ada dos Pfizer atau Moderna.
Walaupun dosnya belum tersedia untuk orang ramai, pihak perkhidmatan kesihatan menerima banyak panggilan daripada orang ramai untuk membuat janji temu mengenainya, lapor Persatuan Kebangsaan Jabatan Kesihatan Daerah dan Bandar.
Namun, penekanan tetap diberikan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan populasi AS bagi membantu mengekang penularan Covid-19. Dianggarkan 52.7 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi AS telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.
Bagaimanapun, daripada 10 negeri yang teruk dilanda Covid-19 sejak lebih seminggu lalu, tujuh daripadanya adalah dalam kalangan 10 yang terbaik dalam kadar vaksinasi, menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). – Agensi
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://dialograkyat.blogspot.com/2021/09/tiga-dos-vaksin-beri-perlindungan-penuh.html