Tidak Miskin Orang Yang Bersedekah
1. Rasulullah ﷺ mendidik umatnya agar tidak kedekut dengan harta dunia. Bahkan Baginda yakin bahawa tidak akan berkurang harta orang yang bersedekah ini. Sabda Rasulullah ﷺ:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ، وَمَا زَادَ اللَّهُ عَبْدًا بِعَفْوٍ إِلَّا عِزًّا، وَمَا تَوَاضَعَ أَحَدٌ للَّهِ إِلَّا رَفَعَهُ اللَّهُ
“Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta kita dan Allah akan menambahkan kemuliaan bagi orang yang memberi kemaafan. Begitu juga Allah akan mengangkat kedudukan seorang yang bersifat tawaduk.” (HR Muslim)
2. Malah Rasulullah ﷺ mendidik Saidatina Aisyah bahawa harta yang kita sumbangkan akan kekal sebagai amalan. Perkara ini difahami melalui dialog Rasulullah ﷺ bersama isterinya itu. Aisyah menceritakan kepada Rasulullah ﷺ bahawa para sahabat telah menyembelih kambing untuk sumbangan. Lalu Rasulullah ﷺ bertanya kepada Aisyah:
مَا بَقِيَ مِنها؟ قالت: مَا بَقِيَ مِنها إِلَّا كَتِفُهَا، قَالَ: بَقِي كُلُّهَا غَيرَ كَتِفِهَا
“Apakah masih berbaki kambing tadi wahai Aisyah? Aisyah menjawab: Tiada yang tinggal melainkan bahagian bahu sahaja. Lalu Rasulullah membetulkan kenyataan Aisyah: (bukan begitu Wahai Aisyah) kekal semuanya yang telah disumbangkan tadi (sebagai amalan) melainkan bahagian bahunya sahaja (yang tertinggal bukan sebagai amalan). (HR al-Tirmizi)
Perhatikan bagaimana Rasulullah ﷺ mendidik Aisyah agar faham bahawa bahagian yang kita sumbangkan akan kekal sebagai pahala di sisi Allah.
3. Malah sedekah dikatakan boleh membantu dalam menyembuhkan penyakit. Pesan Rasulullah ﷺ:
دَاوُوا مَرضاكُمْ بِالصَّدقةِ
“Rawatlah pesakit itu dengan sedeqah” (HR Abu Daud, dinilai Hasan)
4. Ya! Rasulullah ﷺ menasihati kita supaya bersedeqah. Mudah-mudahan Allah berikan penawar buat sakit kita. Yang memberi dan menyembuhkan penyakit adalah Allah. Kita tidak tahu barangkali dengan sedeqah yang kita sumbangkan buat mereka yang susah akan menyebabkan untuk Allah memberikan kesembuhan kepada kita. Barangkali mereka yang menerima sumbangan tadi turut mendoakan kesembuhan buat kita.
Dalam perihal memberi, Allah berfirman:
وَمَا تُقَدِّمُوا لِأَنْفُسِكُمْ مِنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِنْدَ اللَّهِ هُوَ خَيْرًا وَأَعْظَمَ أَجْرًا
“Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu, tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah.” (al-Muzammil, 20).
Semoga Allah membimbing kita semua.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Universiti Sains Islam Malaysia
The post Tidak Miskin Orang Yang Bersedekah appeared first on Islam Itu Indah.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.islamituindah.my/tidak-miskin-orang-yang-bersedekah/