Tfc Layak Ke Suku Akhir Piala Malaysia Menang Agregat 9 3 Ke Atas Sri Pahang
KUALA TERENGGANU - Terengganu FC (TFC) melangkah bergaya ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menang dengan agregat 9-3 menumpaskan Sri Pahang FC pada aksi pusingan 16 pasukan.
Dalam perlawanan timbal balik yang berlangsung dalam keadaan hujan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak malam ini, skuad Penyu kendalian Nafuzi Zain menumpaskan Tok Gajah 4-2 selepas menang 5-1 pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur Kuantan, Khamis lalu.
Dengan kemenangan itu, gergasi Pantai Timur ini bakal menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir selepas skuad kendalian Bojan Hodak itu menang dengan agregat 4-0 menumpaskan PDRM FC.
Bagaimanapun kemenangan skuad Penyu itu terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi selepas tonggak pertahanan tengahnya, Shahrul Nizam Ros Hasni dilayangkan kad merah oleh pengadil, Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah selepas mengasari penyerang, Steven Rodriguez pada minit ke-38.
Terdahulu berbekalkan hampir 18,000 peminat setia, pesta jaringan tuan rumah bermula menerusi tandukan penyerang sensasi, Kpah Sherman pada minit kedua selepas menerima umpanan daripada Faisal Halim.
Tersentak gol awal TFC, pelawat memperoleh peluang pada minit ke-11 menerusi rembatan Lee Tuck, namun berjaya ditolak keluar penjaga gol, Suhaimi Husin.
Tuan rumah kembali mengatur gerakan, hasilnya pada ke-29, Faisal berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti selepas menerima umpanan Sherman.
Selepas jaringan itu, pemain tuan rumah bagaikan 'dirasuk' apabila berjaya menambah gol ketiga menerusi rembatan deras pemain pertahanan, Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-35 selepas Faisal bijak mengumpan bola untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Walaupun TFC terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain, semangat juang mereka tidak luntur apabila berjaya mendapat gol keempat pada minit ke-44 menerusi sepakan penalti Sherman selepas Faisal dijatuhkan Baqiuddin Shamsudin.
Ketinggalan 4-0 tidak sesekali mengendurkan asakan pelawat kendalian Datuk Dollah Salleh yang terus mengasak sebaik wisel babak kedua ditiupkan, namun kecemerlangan Suhaimi di dalam gawang gol menafikan deretan percubaan lawan.
Bagaimanapun usaha berterusan skuad Tok Gajah berhasil apabila rembatan bekas pemain TFC, Tuck menerjah jaring gol pada minit ke-71 untuk menjadi kedudukan 4-1.
Pada minit ke-83, Rodriguez menambah jaringan kedua pasukannya menerusi rembatan padu dalam kotak penalti yang gagal ditepis keluar penjaga gol untuk kedudukan muktamad kekal 4-2. #sumber
http://www.pahangdaily.blogspot.com
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
http://pahangdaily.blogspot.com/2022/11/terengganu-fc-layak-ke-suku-akhir-piala.html