Tengku Zafrul Harus Tanding Pru15 Baru Boleh Tahu Dirinya Pejuang Atau Penghasut Rakyat
Selain kerajaan Perikatan Nasional atau PN adalah kerajaan pintu belakang kerana beroleh kuasa tanpa menang pilihanraya, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mula diperkenalkan ketika itu sebagai Menteri Kewangan juga adalah menteri pintu belakang.
Beliau tidak pernah bertanding atau menang mana-mana kerusi pilihanraya, malah tidak diketahui parti mana yang dianggotainya.
Sebelum itu, Tengku Zafrul adalah CEO bank dan kedudukannya dalam sektor perbankan dikatakan adalah asas utama perlantikannya itu.
Dengan status itu dan tidak pernah bergelumang dengan derita rakyat, malah mungkin datang pula daripada keluarga berada, beliau boleh dikata diturunkan daripada kayangan untuk menjadi Menteri Kewangan ketika Mahiaddin Md Yasin menjadi Perdana Menteri.
Sebagai Menteri Kewangan, selain mengurus ekonomi negara, memahami denyut nadi rakyat dan memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukan adalah harapan yang disandarkan kepadanya melalui jawatan tersebut.
Pemahaman mudah bagi rakyat ialah Menteri Kewangan itu kerjanya menjaga atau mengatur duit untuk kesejahteraan mereka.
Bersekali dengan pengalamannya menerajui bank yang memang berorientasikan keuntungan, tidak menghairankan bila Tengku Zafrul selalu mempamerkan sikap yang bertentangan, walhal tugas sebagai Menteri Kewangan tidak lagi berpaut kepada untung rugi.
Tugas Menteri Kewangan ialah berorentasikan perkhidmatan dan kesejahteraan, biar pun dengannya negara terus kena berhutang.
Paling ketara sikap bertentangan berkenaan adalah berkaitan pengeluaran KWSP yang dituntut oleh banyak pihak sejak Covid19 melanda lagi.
Kalau ikutkan hasrat Tengku Zafrul, beliau mungkin tidak membenarkan sama-sekali wang KWSP dikeluarkan kerana tindakan itu akan menjejaskan keuntungan masa depan kerajaan.
Dalam perjumpaan pelbagai pihak dengannya, beliau tetap menolak perkara itu.
Pengeluaran yang dibenarkan sebelum ini pun, sebenarnya telah ditolak awal-awal lagi oleh Tengku Zafrul dan beliau hanya bersetuju setelah Perdana Menteri ketika itu iaitu Mahiaddin kemudiannya mahu ia dibenarkan.
Kini, dengan banjir yang melanda negara, tuntutan agar kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP kedengaran kembali – kali ini dengan jumlah maksimumnya sebanyak RM10 ribu.
Tengku Zafrul sekali lagi memunculkan dirinya paling kerap bersuara menolak tuntutan itu.
Selain mempertikaikan niat mereka yang memperjuangkan perkara tersebut, beliau juga mendakwa mereka adalah penghasut rakyat.
Wah….hebatnya….
Soalnya, apakah memperjuangkan nasib rakyat suatu tindakan menghasut rakyat?
Jika membela nasib rakyat dianggap menghasut rakyat dan diragui niatnya, adakah tidak mengendahkan keinginan rakyat, malah menolaknya, suatu perbuatan memperjuangkan rakyat?
Dalam hal ini, Tengku Zafrul tidak ada pilihan lain melainkan mesti memberanikan dirinya bertanding dalam PRU15 akan datang agar beliau boleh tahu siapa dirinya di mata rakyat – pejuang rakyat atau penghasut rakyat? – ShahbudinHusin 02/01/2021.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://wrlr.blogspot.com/2022/01/tengku-zafrul-harus-tanding-pru15-baru.html