Tempat Penginapan Jauh Sangat Sesuai Tunai Umrah Selepas Solat Subuh Santai Dan Tidak Meletihkan
Hari Wukuf di Arafah bagi musim Haji 1445H dijangka jatuh pada 16 Jun 2024. Majoriti jemaah haji Malaysia biasanya telah pun tiba awal di Makah antara 20 - 25 hari.
Ruang waktu dan hari yang banyak sementara menanti saat rukun Haji paling utama iaitu hari wukuf pada 9 Zulhijah, para bakal haji sudah tentu ingin mengambil peluang dan kesempatan untuk menunaikan umrah sunat sebeberapa banyak yang boleh dilakukan mengikut kemampuan masing-masing.
Berdasarkan pengalaman sendiri menunaikan Umrah Sunat pada musim haji 2024, kebetulan hotel tempat saya ditempatkan terletak jauh dari Masijidilharam, kira-kira1km, lalu saya mengambil keputusan untuk melakukan Umrah Sunat pada waktu pagi selepas solat Subuh.
Setiap hari ke masjid berjalan kaki sejauh 2km pergi dan balik jika mampu dan keadaan ini sudah tentu memberi kesan yang agak berat mengeluarkan banyak daya tenaga kepada mereka terutama yang sudah berumur, ditambah pula dengan cuaca yang sangat panas menyebabkan ramai menghidapi masalah kesihatan seperti demam batuk dan selesema. Alternatif terbaik mengatasi masalah tersebut anda boleh menggunakan perkhidmatan teksi dengan kos 20 riyal sekali perjalanan.
Berdasarkan isu-isu tersebut di atas yang sering dihadapi, maka saya memilih untuk melaksanakan Umrah Sunat bermula selepas solat Subuh (Subuh Mekah 4.11pagi) di hotel kerana apabila tubuh kita cukup rehat dan cukup tidur, ia sangat membantu untuk memulihkan kembali tenaga tubuh menjadi lebih segar. Satu perkara lagi, cuaca pada waktu pagi amat nyaman dan masih sejuk sesuai dengan tubuh kita.
Selepas bersarapan, jam 5.30 pagi terus berangkat ke miqat terdekat iaitu Tanaim, jika naik teksi ia mengambil masa kira- kira 20 minit. Selesai solat tahiyat masjid, solat sunat ihram, dan berniat umrah dan berihram, segera bertolak ke Haramain. Biasanya kos tambang 50 Riyal dari hotel ke Tanaim dan ke Masidilharam. Pastikan duit tambang mesti di bayar ketika telah tiba di Masjidilharam.
Ketika tiba diperkarangan masjid kira-kira jam 6.00 pagi, cuaca masih lagi nyaman dan persekitaran Kaabah masih lagi redup. Segeralah tunaikan tawaf 7 keliling dengan tenang, tidak perlu tergesa-gesa mahu cepat selesai. Tenang is good.
Bermula dari sudut hajar aswad, mulakan dengan mengangkat tangan kearah hajar aswad dan takbir 3 kali, bismillahi allahuakbar, bismillahi allahuakbar, bismillahi allahuakbar dan kucup tangan lalu teruskan pusingan.
Masalah yang sering timbul ketika tawaf ramai yang terlupa atau was-was berapa bilangan pusingan yang telah dilakukan. Maka cara terbaik untuk mengingat bilangan pusingan tawaf adalah dengan menyediakan doa-doa tertentu yang berbeza dibaca pada setiap pusingan ketika berada dari penjuru Kaabah rukun Iraqi, rukun Syam hingga penjuru Kaabah rukun Yamani. Anda boleh sediakan nota ringkas atau nak mudah beli saja nota umrah di kedai atau shoppe. InsyaAllah anda tidak akan terlupa setiap pusingan tawaf.
Doa yang dibaca ketika berada dari penjuru Kaabah hajar aswad ke rukun Iraqi adalah sama setiap pusingan, "Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah allahuakbar, walahaulawala kuwata illa billa hil aliyil aziim". Baca berulang kali.
Manakala doa ketika berada antara rukun Yamani ke penjuru hajar aswad pula bacalah, "Robbana aatina fidunia hasanah wafilaakhirati hasanah wakina azabannaar" berulang kali.
Selesai tawaf pada pusingan ke tujuh secara sedikit demi sedikit anda harus bergerak mengarah ke kanan untuk laluan keluar dari tawaf dan pastikan telah melepasi garisan penjuru aswad, dan lakukanlah solat sunat tawaf setentang berhadapan pintu Kaabah atau Makam Ibrahim.
Kemudian segera bergegas ke tempat Saie dan lakukan Saie bermula dari Sofa. Ketika melakukan Saie sama juga halnya sering terlupa bilangan. Kaedah untuk mengingat sama seperti ketika tawaf iaitu sediakan doa-doa ringkas berbeza bagi setiap kali Saie.
Selesai saja Saie segeralah menggunting rambut untuk bertahalul, maka selesailah sudah pekerjaan Umrah. Semoga memberi manfaat kepada anda. Setelah 3 jam selesai umrah cuaca masih lagi nyaman, tidak panas. Anda berjaya menyelesaikan ibadah umrah kira-kira jam 9.30 pagi. Enak bukan.
Para jemaah haji sering dinasihatkan dan dingatkan oleh pihak Tabung Haji supaya sentiasa menjaga kesihatan diri fizikal dan mental kerana menjelang hari-hari ketika berada di Arafah hingga Mina, ia adalah hari-hari yang sangat mencabar menguji kesabaran dan kecergasan diri setiap tetamu Allah.
Justeru, dua minggu atau sekurang-kurangnya 10 hari sebelum hari wukuf para jemaah haji dinasihatkan supaya tidak melakukan aktiviti berat seperti tidak melakukan Umrah dan sebagainya untuk memastikan setiap individu berada dalam keadaan yang cukup bersedia dari aspek kesihatan diri serta kemampuan fizikal dan mental tahap tinggi bagi menghadapi hari-hari yang penuh dengan pelbagai ujian.
Demi keselamatan kesejahteraan dan kesihatan diri, supaya ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sempurna dan menepati syarat dan dan syariat maka semua para tetamu Allah perlu peka dan patuh dengan segala arahan dan maklumat daripada pihak Tabung Haji. Semoga ibadah haji dan umrah kita diterima Allah swt, Aamiin.
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang :
https://www.orangmuo.my/2024/06/tempat-penginapan-jauh-dari.html