Tekun Lancar Spin Bantu 10 000 Usahawan Informal
Oleh AMREE AHMAD

 WAN  Junaidi Tuanku Jaafar (tengah) bersama penerima Skim Pemulihan  Perniagaan Tekun selepas menyampaikan ‘mock cek’ pada majlis pelancaran  Spin di Putrajaya hari ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFAPUTRAJAYA:  Meskipun Skim Pembiayaan Informal (Spin) baru diperkenalkan bulan lalu  di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional, ia  telah pun membantu 842 usahawan mikro sektor informal seluruh negara.
Malahan, dengan peruntukan RM50 juta,  agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu menyasarkan  untuk biayai 10,000 peniaga tidak formal dalam masa terdekat.
Inisiatif Spin itu bakal menyantuni  usahawan tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan  pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sebenarnya Spin sudah bantu ratusan  peniaga informal dengan jumlah dana RM6.1 juta,” kata  Menterinya, Datuk  Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada pelancaran Spin yang juga  dihadiri Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir dan  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adam Abd. Ghani. 
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata,  langkah diambil agensi itu bagi menggalakkan peniaga tidak formal dapat  mendaftarkan perniagaan dan memudahkan proses pembiayaan dibuat.
“Mereka ini sebenarnya enggan daftar  dengan SSM kerana bimbang jika tulis jawatan sebagai pengarah syarikat,  maka ditakuti tidak layak dapat bantuan khas diberikan kerajaan,”  jelasnya.
Justeru, beliau telah mengarahkan  pegawai kementeriannya mengemukakan kertas terperinci untuk dibawa  kepada Kabinet agar golongan ini tetap dibantu kerana masih dianggap  B40.
Ini kerana beliau sedar, ada persepsi  negatif timbul untuk peniaga kecil berdaftar dengan SSM dan merekodkan  jawatan sebagai pengarah atau pemilik, konon tidak dapat bantuan  kerajaan.   
“Dianggarkan ada hampir dua juta  peniaga informal yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan saya  berharap, Spin menolong kelompok ini meneruskan perniagaan,” kata Wan  Junaidi.
Apatah lagi ujarnya, nilai pembiayaan  ditawarkan untuk pinjaman daripada RM1,000 hingga RM5,000 dengan tempoh  bayaran balik 36 bulan dan kadar keuntungan 4 peratus setahun.
Ditanya bagaimana pihak TEKUN  Nasional boleh mengenal pasti usahawan mikro itu bagi mengelak penipuan,  beliau berkata, agensi tersebut ada caranya tersendiri untuk menyiasat.
“Apabila peniaga informal ini  memohon, mereka akan semak butiran daripada kad pengenalan secara  bersilang pelbagai agensi lain dan turun padang ke tempat peniaga ini,”  katanya.
Sejarah rekod transaksi bank atau  garis masa dalam media sosial bagi peniaga atas talian, turut dijadikan  rujukan bagi memeriksa kesahihan usahawan itu sebelum permohonan  dilulus.
Bahkan Wan Junaidi memberi jaminan,  tempoh kelulusan dipercepatkan cuma tujuh hari bagi peniaga baharu atau  lima hari jika sudah ada rekod berbanding sebelum itu hampir dua bulan. – UTUSAN 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/tekun-lancar-spin-bantu-10000-usahawan.html