Graduan Raih Rm8 000 Sebulan Hasil Ternak Kelulut
Oleh Hazira Ahmad Zaidi

 NUR Izzatie Zulkifli melakukan proses menyedut madu dari sarang kelulut. - Foto HAZIRA AHMAD ZAIDI KOTA  BHARU: Bermula dengan hanya satu 'rumah' atau sarang kelulut pada 2017,  seorang graduan sebuah universiti kini mampu meraih purata pendapatan  sehingga RM8,000 sebulan.
Bertempat di halaman rumahnya di Kampung Membatu, Ketereh, dekat  sini, Nur Izzatie Zulkifli, 25, kini mempunyai 80 sarang kelulut.
Melalui 80 sarang berkenaan, graduan Universiti Sultan Zainal Abidin  (UNISZA) Terengganu itu mampu meraih purata pendapatan antara RM3,000  hingga RM8,000 sebulan. 
Disyorkan Untuk Anda  Ternak kelulut penawar ulserSarang kelulut ubah hidup bekas pekerja kilangRezeki maduKelulut jana pendapatan SMK Soi

NUR Izzatie Zulkifli. - Foto HAZIRA AHMAD ZAIDILulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab itu, berkata madu  kelulutnya sudah mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia  (MyGAP) daripada Jabatan Pertanian.
"Kini saya dalam proses mendapatkan Pensijilan Makanan Selamat  Tanggungjawab Industri (MeSTI) daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti  Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Ia untuk membolehkan produk dipasarkan di pasar raya tempatan," katanya.
Katanya, dia menternak kelulut dari spesis 'Heterotrigona Itama' dan  'Geniotrigona Thoracica' melalui 80 sarang yang diusahakan secara  berperingkat di kawasan seluas 0.3516 hektar. 
Harga bagi satu unit sarang kelulut yang dibeli adalah antara RM300 hingga RM400.
"Walaupun tiada asas dalam penternakan kelulut, saya nekad  mengusahakannya dan berguru dengan penternak kelulut berpengalaman  selain membuat kajian menerusi internet bagi mengetahui lebih mendalam  mengenai madu kelulut," katanya.
Produk keluarannya dipasarkan secara terus melalui Facebook, Instagram Google My Business dan laman web, https://rzgarden.com.
"Saya juga memasarkan secara borong, sistem ejen dan dijual kepada  pengusaha produk kecantikan," kata anak keempat daripada tujuh beradik  ini.
Nur Izzatie berkata, rutin hariannya bermula pada setiap pagi dan  petang untuk meninjau 80 sarang kelulut dan mengeluarkan madu daripada  sarang menggunakan mesin penyedut madu.
"Biasanya, madu sesuai dituai sekitar jam 9 pagi hingga 3 petang  kerana pada waktu ini, kelulut akan keluar mencari makanan dan ia akan  mengurangkan gangguan kepada koloni.
"Menternak kelulut aktiviti paling mudah serta ringkas dan setiap  bulan saya memperoleh sekurang-kurangnya dua kilogram madu daripada  setiap sarang.
"Bagaimanapun, pada musim hujan, pengeluaran madu akan berkurangan,"  katanya menjual madu kelulut keluarannya pada harga RM35 hingga RM180  sebotol, bergantung pada berat.
Nur Izzati yang pernah mengikuti Kursus Bijak Niaga di bawah program  Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkata ada juga mereka  yang datang membeli diberi peluang menyedut terus madu daripada sarang.
Bagi memenuhi permintaan, usahawan muda ini memaklumkan, dia akan  bekerjasama membeli madu kelulut dari 11 penternak di sekitar Ketereh.
"Ini secara tidak langsung dapat membantu penduduk menjual madu yang  dituai untuk dipasarkan. Permintaan tinggi madu kelulut di Semenanjung  mendorong saya untuk melangkah lebih jauh.
"Sekarang, abang yang berada di Kuala Lumpur sedang berusaha untuk  mengeksport hasil madu ini ke Arab Saudi yang dijangka pada tahun  depan," katanya. 
Bagi memudahkan pembungkusan dan pemprosesan madu, Nur Izzatie  membuka sebuah bengkel bersebelahan rumahnya menerusi geran RM10,000  diperoleh pada tahun lalu.
"Geran itu disalurkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan  melalui Jabatan Pertanian Kelantan dan Pejabat Pertanian Jajahan Kota  Bharu," katanya.   
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/12/graduan-raih-rm8000-sebulan-hasil.html