Teks Penuh Perutusan Khas Mahathir
MALAYSIAKINI
 
 Dr Mahathir Mohamad pada perutusan khasnya, sebentar tadi yang  disiarkan di televisyen menjelaskan mengapa beliau meletak jawatan  perdana menteri, Isnin lalu.
Pada perutusan itu, beliau turut menjelaskan keadaan politik semasa negara.
Berikut kenyataan penuhnya itu.
Terlebih  dahulu izinkan saya memohon maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana  keadaan politik Negara yang agak kucar-kacir dan mungkin menimbulkan  keresahan dikalangan tuantuan dan puan-puan.
Seperti umum ketahui,  saya telah menyerah surat peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri  ke-7 kepada Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang  di-Pertuan Agong.
Walaubagaimanapun, saya telah dipanggil mengadap  Yang di-Pertuan Agong kemudiannya, dan setelah berbincang selama lebih  satu jam, Tuanku telah bersetuju menerima surat peletakan jawatan saya  dan setelah itu menitah saya supaya menjadi Perdana Menteri Interim.
Ada  banyak sebab mengapa saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan  bahawa saya merasa kononnya mendapat sokongan dari semua pihak sehingga  saya tidak dapat memilih pihak mana yang saya pilih.
Selain itu, terdapat juga tuduhan bahawa saya tidak berniat untuk melepas jawatan dan gila kuasa.
Maka  saya letak jawatan kerana saya tidak melihat kuasa dan jawatan itu  sebagai “be all and end all” adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan  kedudukan itu adalah “a means to an end” ataupun satu alat untuk  mencapai objektif. Dan objektif kita semua tentulah untuk kebaikan  negara.
Kerana itu saya meletak jawatan kerana bagi saya ternampak  bahawa bagi orang politik yang terpenting ialah parti mana yang  memerintah, sama ada yang kalah atau yang menang.
Sebenarnya saya  telah janji akan letak jawatan untuk memberi peluang kepada Dewan Rakyat  menentukan siapa yang akan mengganti saya. Jika benarlah saya masih  disokong saya akan kembali.
Jika tidak saya akan terima siapa sahaja  yang dipilih.
Jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada.  Hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak,  masa untuk saya letak jawatan belum tiba.

Saya  minta diberi masa. Tetapi parti saya Bersatu memutuskan untuk keluar  dari Pakatan Harapan.
Ada juga ahli dari parti komponen lain yang akan  keluar. Dengan perlakuan ini Kerajaan Pakatan Harapan akan gugur.
Kesannya  jika Bersatu sokong PAS dan Umno maka parti-parti yang kalahlah yang  akan diri kerajaan. Kerajaan ini akan didominasi oleh Umno sebagai parti  yang terbesar.
Saya sanggup terima ahli Umno yang keluar Umno dan  menyertai parti lain. Tetapi Umno akan sertai kerajaan campuran ini  sebagai parti Umno. Ini tidak dapat diterima oleh saya.
Maka terpaksalah saya letak jawatan.
Sebagai manusia biasa saya tidak sunyi dari melaku kesilapan. Saya pohon maaf jika peletakan jawatan oleh saya adalah salah.
Yang di-Pertuan Agong bertitah supaya saya dilantik sebagai perdana menteri sementara.

Saya  sedar apa juga yang dilakukan oleh saya sekarang akan ditentang dan  ditolak oleh ramai, tetapi mungkin ada yang menyokong. Saya tidak cari  untuk disukai ramai. Saya hanyalah membuat sesuatu saya anggap baik bagi  negara.
Politik, orang politik dan parti politik terlalu utama  politik sehingga lupa negara menghadapi masalah ekonomi dan kesihatan  yang mengancam negara.
Saya berpendapat betul atau tidak, politik  dan parti politik perlu diketepikan buat masa sekarang. Jika dibenar  saya akan cuba adakan pemerintahan yang tidak memihak kepada mana-mana  parti. Hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.
Jika diizin inilah yang akan saya cuba.
Saya berdoa dan saya pohon kepada Allah SWT saya diberi petunjuk dalam usaha ini.
Sekian, terima kasih. 
			
Artikel ini hanyalah simpanan cache dari url asal penulis yang berkebarangkalian sudah terlalu lama atau sudah dibuang : 
http://dialograkyat.blogspot.com/2020/02/teks-penuh-perutusan-khas-mahathir.html